Images
  • burung
    Gambar fail itik di sebuah ladang penternakan itik. (Gambar: GEORGES GOBET/AFP)

AVA sekat ayam itik Belanda buat sementara ekoran wabak demam burung

SINGAPURA: Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) menyekat import ayam itik dan produk-produk lain dari sebuah kawasan di Belanda buat masa ini menyusuli satu wabak demam burung di sebuah ladang penternakan itik di sana.

Import ayam itik dan produk-produk berkaitan serta burung-burung peliharaan yang datang dari kawasan terlarang iaitu 10 kilometer di sekitar ladang penternakan itik yang terjejas di Biddinghuizen, Belanda itu akan disekat buat sementara ini, menurut pihak berkuasa dalam responsnya kepada Mediacorp hari ini (15 Dis).

Ini menyusuli wabak demam selsema burung H5 yang mudah berjangkit melanda ladang penternakan itik itu.

Namun, produk ayam itik yang melalui proses penghangatan iaitu mematuhi keperluan bagi memusnahkan virus, tidak terjejas, menurut AVA.

Sejauh ini, tiada sebarang ayam itik dan produk berkaitannya ataupun burung-burung peliharaan yang diimport dari kawasan yang terjejas itu, tambah AVA.

Pihak Belanda sudahpun mengesahkan penularan virus demam burung itu menyebabkan hampir 16,000 itik dimatikan, menurut Pertubuhan Sedunia bagi Kesihatan Haiwan awal minggu ini.

Virus H5N6 itu ditemui di ladang penternakan itik di Biddinghuizen pada 7 Disember dan sebuah zon pantauan seluas 3 kilometer dan zon perlindungan 10 kilometer diisytiharkan di kawasan berkenaan.

- CNA/SM/sm

Top