Images
  • house
    Platinum Dogs Club. (Gambar: Jeremy Long) 

AVA akan semak peraturan perniagaan khidmat jagaan haiwan peliharaan

SINGAPURA: Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) merancang untuk menyemak peraturan berhubung perniagaan khidmat penjagaan haiwan peliharaan, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling pada Rabu (13 Feb).

Ia adalah sebahagian daripada "semakan menyeluruh" terhadap pendekatan kawal selia industri haiwan peliharaan, tambahnya.

"AVA akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk para pemilik haiwan peliharaan, pemain industri dan Kumpulan Kebajikan Haiwan, untuk mencari keseimbangan yang betul bagi kesemua keperluan dan kepentingan berlainan," menurutnya.

Cik Sun berkata demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen GRC Nee Soon Louis Ng sama ada kementerian itu akan memperkenalkan keperluan mendapatkan lesen bagi perniagaan kemudahan penjagaan haiwan peliharaan di samping piawaian dan latihan-latihan terbaik yang disenaraikan dalam Kod Kebajikan Haiwan.

Industri penjagaan haiwan peliharaan diteliti setelah sekurang-kurangnya seekor anjing di pusat penjagaan haiwan peliharaan Platinum Dogs Club didapati mati semasa di bawah penjagaannya.

Di bawah Akta Haiwan dan Burung, pesalah yang gagal menjalankan tanggungjawab terhadap haiwan-haiwan itu semasa melaksanakan perniagaan berkaitan haiwan, mungkin boleh dikenakan denda sehingga S$40,000, dan/atau dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

- CNA/NA/na

Top