Images
  • sg hong kong skyline
    (Gambar: Unsplash, Reuters)

Aturan perjalanan udara S'pura-HK diteruskan; dengan ujian tambahan COVID-19 dilaksanakan ke atas pelawat dari Hong Kong

SINGAPURA: Para pelawat yang tiba di Singapura melalui aturan perjalanan udara Singapura-Hong Kong kini perlu menjalani ujian COVID-19 di Lapangan Terbang Changi, satu langkah tambahan menyusuli lonjakan pada jumlah kes virus korona di Hong Kong.

Pelancaran aturan perjalanan udara Singapura-Hong Kong akan diteruskan seperti yang dirancangkan, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam satu kenyataan media pada Sabtu (21 Nov). Penerbangan pertama akan berlepas dan mendarat di kedua-dua bandar seperti yang dijadualkan pada Ahad (22 Nov).

Syarat tambahan yang memerlukan para pelawat menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) adalah "langkah berjaga-jaga menyusuli peningkatan pada jumlah kes COVID-19 di Hong Kong sepanjang beberapa hari lalu, dan ditetapkan di bawah perjanjian ATB Singapura-Hong Kong", menurut CAAS.

"Lebih banyak jangkitan dijangkakan di Hong Kong dalam masa beberapa hari akan datang disebabkan oleh kemunculan kelompok-kelompok baru. Pihak berkuasa Singapura dan Hong Kong saling berhubung rapat dan sedang memantau keadaan."

Di bawah aturan perjalanan udara itu, ia akan digantung jika purata bergerak bagi bilangan kes tanpa hubung kait sepanjang tempoh tujuh hari melebihi lima setiap hari.

Purata sedemikian bagi Hong Kong buat masa ini adalah 2.14, menurut CAAS.

"Purata ambang itu akan meningkat jika terdapat lebih daripada 22 kes tanpa hubung kait di Hong Kong dalam masa tiga hari akan datang. Ini akan mencetuskan tempoh notis selama dua hari dan selepas itu penggantungan akan dikuatkuasakan.

"Peraturan yang dikuatkuasakan sekarang - Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari bagi para pelawat dari Hong Kong - akan dikuatkuasakan sebaik saja mereka tiba di Singapura."

CAAS menambah: "Hong Kong mempunyai sistem pemantauan kesihatan awam yang menyeluruh dan kadar kes secara keseluruhannya masih rendah."

- CNA/HA/ha

Top