Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aturan baru tempat duduk, sanitiser tangan disediakan di pusat penjaja dalam Fasa 2

Semua pusat penjaja yang diuruskan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan menampilkan aturan baru bagi tempat duduk, dengan bangku dan meja ditandakan bagi saiz kumpulan berbeza untuk para pengunjung yang makan di situ.

Anggaran Waktu Membaca:
Aturan baru tempat duduk, sanitiser tangan disediakan di pusat penjaja dalam Fasa 2

Pelanggan memakai pelitup sedang mereka beratur untuk membeli makanan di sebuah pusat penjaja di Singapura pada 22 Apr 2020. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Diterbitkan : 17 Jun 2020 08:52AM Dikemas Kini : 17 Jun 2020 10:08PM

SINGAPURA: Semua pusat penjaja yang diuruskan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan menampilkan aturan baru bagi tempat duduk, dengan bangku dan meja ditandakan bagi saiz kumpulan berbeza untuk para pengunjung yang makan di situ. NEA menyatakan demikian pada Selasa (16 Jun) sedang Singapura bersiap sedia untuk melangkah ke Fasa 2 pembukaan semula selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 berakhir.

Pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 mengumumkan pada Isnin bahawa Fasa 2 akan bermula pada 19 Jun. Kebanyakan kegiatan dan perniagaan akan dibenarkan untuk disambung semula termasuk menjamu selera di cawangan makanan dan minuman (F&B).

Had ke atas perhimpunan tidak melebihi lima orang kekal dilaksanakan. Meja-meja pula mesti dijarakkan sejauh 1 meter.

Berdasarkan garis panduan ini, pengunjung ke pusat penjaja sepatutnya duduk hanya di tempat duduk dan meja yang tidak bertanda ketika makan, tegas NEA. Meja-meja tertentu juga boleh ditutup atau mempunyai tempat duduk tambahan yang ditandakan untuk memudahkan jarak antara kumpulan pelanggan berbeza.

"Berbanding kepada tempoh sebelum pelaksanaan pemutus rantaian jangkitan, kapasiti tempat duduk keseluruhan di pusat-pusat penjaja kami akan secara amnya lebih tinggi di bawa Fasa 2 sekalipun sesetengah tempat duduk atau meja ditandakan.

"Serupa dengan amalan semasa, para individu harus tetap mengekalkan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter pada setiap masa apabila beratur untuk membeli makanan atau menunggu gilirian mereka untuk membuat pesanan," menurut NEA.

Dispenser cecair pembasmi kuman automatik juga akan dipasangkan di kesemua 114 pusat penjaja dan pasar yang diuruskan oleh NEA.

Jumlah dispenser yang akan dipasangkan bergantung kepada saiz dan susun atur pusat penjaja. Dispenser itu akan diletakan berdekatan tempat masuk, tempat keluar dan lobi lif.

NEA menyatakan: "Jika keadaan mengizinkan, beberapa dispenser mungkin ditempatkan berdekatan rak untuk mengembalikan dulang supaya pelanggan dapat membersihkan tangan mereka setelah memulangkan dulang sekiranya ada barisan beratur di besen mencuci tangan".

Pengunjung dinasihatkan supaya terus memakai pelitup kecuali apabila sedang minum atau makan serta menggunakan kod QR SafeEntry untuk keluar masuk pada setiap kunjungan.

Langkah-langkah urus keselamatan sedia ada kekal tidak berubah di pasar-pasar semasa Fasa 2.

Akses ke empat pasar - Pasar Geylang Serai, Pasar Chong Pang, pasar di Blok 20/21 Marsiling Lane dan di Blok 505 Jurong West Street 52 - akan terus dihadkan berdasarkan angka terakhir nombor kad pengenalan para pengunjung.

Pengunjung juga digalakkan mengurangkan kesesakan dan mengekalkan jarak selamat ketika membuat pembelian di gerai-gerai di pasar.

Semua pusat penjaja dan pasar akan terus memastikan piawai tinggi bagi tahap kebersihan, menurut NEA. Langkah-langkah dipertingkat seperti kekerapan kerja pembersihan tandas serta tempat-tempat yang seringkali disentuh akan diteruskan sedang kebenaran untuk makan di premis disambung semula dalam Fasa 2.

Pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat akan terus dikerahkan ke pusat penjaja dan pasar untuk memastikan langkah-langkah keselamatan dipatuhi.

NEA juga menggesa orang ramai supaya mengamalkan tanggungjawab sosial dan elak daripada mengunjungi pasar atau pusat penjaja sekiranya sakit atau berasa kurang sihat. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan