Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ASEAN persetujui garis panduan pertembungan udara, pertingkat kerjasama menentang pengganasan

Para menteri pertahanan negara-negara ASEAN memeterai garis panduan pelbagai pihak yang pertama di dunia berhubung ruang udara pada Jumaat (19 Okt), bertujuan menangani pertembungan yang tidak dirancang antara pesawat-pesawat tentera, terutamanya di kawasan yang sedang dipertikaikan.

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN persetujui garis panduan pertembungan udara, pertingkat kerjasama menentang pengganasan

Para menteri pertahanan negara-negara anggota ASEAN (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Oct 2018 03:06PM Dikemas Kini : 19 Oct 2018 03:11PM

SNIGAPURA: Para menteri pertahanan negara-negara anggota ASEAN memeterai garis panduan pelbagai pihak yang pertama di dunia berhubung ruang udara pada Jumaat (19 Okt). Langkah tersebut bertujuan menangani pertembungan yang tidak dirancang antara pesawat-pesawat tentera, terutamanya di kawasan yang sedang dipertikaikan seperti Laut China Selatan.

Para menteri juga memperkukuh kerjasama antipengganasan serantau dan menubuhkan rangkaian menentang ancaman kimia, biologi dan radiologi.
Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) berlangsung di Hotel Shangri-La di sini.

Di majlis menanda tangani perisytiharan bersama itu, Menteri Pertahanan Singapura NG Eng Hen berkata Garis Panduan mengenai Pertembungan Udara Pesawat Tentera akan membantu "mengurangkan risiko salah kira dan mengurangkan ketegangan semasa pertembungan tidak dirancang antara pasukan-pasukan tentera".

Garis panduan itu diumumkan menyusuli pelaksanaan satu kod tatalaku pertembungan di laut yang dipersetujui di mesyuarat ADMM-Plus tahun lalu, yang juga melibatkan Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN pada Ogos lalu, ASEAN dan China juga bersetuju bagi satu rangka dokumen yang akan menjadi asas rundingan untuk kod tatalaku di Laut China Selatan.

Menurut Dr Ng, pelaksanaan garis panduan pelbagai pihak itu adalah "satu pencapaian besar yang menunjukkan kepimpinan kita dalam mempertingkat keamanan dan keselamatan serantau".

KERJASAMA ANTIPENGGANASAN

Para menteri ASEAN juga bersetuju untuk melaksanakan daya inisiatif "Our Eyes" yang dicadangkan Indonesia bagi meningkatkan pertukaran maklumat dalam usaha menentang pengganasan.

Satu rangkaian baru yang terdiri daripada para pakar ancaman kimia, biologi dan radiologi akan ditubuhkan untuk berkongsi amalan terbaik dan perhubungan pantas dalam waktu-waktu krisis.

"Para menteri juga mengalu-alukan rangka kerja 3R Singapura - Daya Tahan, Respons, Pemulihan dalam memimpin usaha mengatasi pengganasan," kata Dr Ng.

Perhimpunan itu merupakan kali kedua Singapura mempengerusikan ADMM sejak 2006.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan