Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ASEAN, China setujui draf bagi asas perundingan kod tata laku Laut China Selatan

Para menteri ehwal luar Asia Tenggara dan China mencapai persetujuan berhubung satu draf tunggal yang akan dijadikan dokumen asas bagi rundingan-rundingan tentang kod tata laku Laut China Selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN, China setujui draf bagi asas perundingan kod tata laku Laut China Selatan

Para menteri ehwal luar Asia Tenggara dan China dalam Mesyuarat ASEAN-China hari ini (2 Ogos). (Gambar: Roslan Rahman/ AFP)

Diterbitkan : 02 Aug 2018 06:49PM Dikemas Kini : 02 Aug 2018 06:51PM

SINGAPURA: Para menteri ehwal luar Asia Tenggara dan China mencapai persetujuan berhubung satu draf tunggal yang akan dijadikan dokumen asas bagi rundingan-rundingan tentang kod tata laku Laut China Selatan.

Ini diumumkan Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan hari ini (2 Ogos) semasa mesyuarat tahunan peringkat Menteri ASEAN, antara China dan anggota-anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Selain menjadi pengerusi ASEAN tahun ini, Singapura juga adalah penyelaras bagi dialog-dialog ASEAN-China.

Rundingan tentang kod tata laku Laut China Selatan bermula pada bulan Mac, dan kedua-dua pihak memuktamadkan draf pertama dalam sesi perbincangan yang diadakan dua bulan lalu di bandar Changsha, China, kata Dr Balakrishnan.

Menyifatkannya sebagai "satu lagi pencapaian", Dr Balakrishnan berkata bahawa draf tersebut "adalah dokumen rasmi dan rujukan bagi kod tata laku rundingan-rundingan pada masa akan datang". Kedua-dua pihak turut menyetujui prosedur-prosedur utama bagi rundingan-rundingan akan datang.

Dr Balakrishnan, yang mempengerusikan secara bersama mesyuarat hari ini (2 Ogos), berkata kerjasama antara ASEAN dengan China "sangat baik" sejak tiga tahun kebelakangan ini. Hubungan baik itu dirangsang kerjasama ekonomi yang kukuh, tambahnya.

China adalah rakan dagang utama ASEAN selama lapan tahun berturut-turut, sementara Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan China dipertingkat pada 2015.

Kedua-dua pihak menyasarkan perdagangan bernilai AS$1 trilion (S$1.37 trillion) dan pelaburan bernilai AS$150 bilion (S$205 bilion) menjelang 2020.

ASEAN dan China juga memperbaharui komitmen masing-masing untuk mempercepat rundingan tentang Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), sebagai sebahagian daripada usaha-usaha untuk menggalak persepaduan dan perdagangan bebas.

Ada juga kerjasama rapat dalam bidang-bidang lain, termasuk antirasuah, ketersambungan, pendidikan, pembangunan tenaga kerja, sains dan teknologi.

Filipina akan mengambil alih sebagai penyelaras selepas mesyuarat hari ini (2 Ogos), yang diadakan sebagai sebahagian daripada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN (AMM) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang bakal diadakan di Singapore Expo minggu ini.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan