Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Asatizah 'melampau' akan digugurkan dari ARS, tegas Masagos

Hanya asatizah yang "melampau" akan digugurkan pertauliahan mereka, tegas Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di Parlimen pada Selasa (12 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Feb 2019 10:06PM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 10:15PM

SINGAPURA: Hanya asatizah yang "melampau" akan digugurkan pertauliahan mereka, tegas Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di Parlimen pada Selasa (12 Feb).

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Zainal Sapari mengenai sama ada asatizah yang digugurkan daripada Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dibenarkan untuk menyertai semula skim tersebut.

"Bukan mudah untuk seseorang asatizah hilang pengiktirafan (ARS) dengan begitu saja. Mungkin melampau tindakannya sehingga kehilangan pengiktirafan tersebut. Maka itu proses pentauliahannya juga tidak boleh dipandang ringan," tegas Encik Masagos lagi.

"Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan MUIS akan mengkaji bagaimana untuk memastikan agar para asatizah kita tidak berdepan dengan keadaan sehingga pendaftaran ARS mereka dibatalkan."

Di bawah ARS, para asatizah perlu mematuhi Kod Etika yang termasuk tidak menyebarkan fahaman yang menyesatkan dan mengancam perpaduan masyarakat.

"Saya ingin memberi jaminan kepada Dewan bahawa Lembaga Pengiktirafan Asatizah dan MUIS memandang serius terhadap pendaftaran ARS. Proses-proses yang ditetapkan memastikan para asatizah yang berdaftar dan diiktiraf ARS boleh menjalankan peranan yang diamanahkan masyarakat," kata Encik Masagos.

Proses-proses ini termasuk menetapkan tempoh pengawasan dan mengadakan temu bual tambahan jika dianggap perlu oleh ARB.

Setiap asatizah juga dikehendaki memperbaharui pendaftaran mereka setiap tiga tahun.

Menurut Encik Masagos, ARS bekas guru agama Murad Mohd Said digugurkan Mei lalu kerana melanggar kod etika. Ini sebelum Murad dikenakan perintah sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada Disember. Ia juga merupakan kali pertama perintah tersebut dikenakan ke atas seorang bekas guru agama yang pernah diiktiraf sejak skim itu dikuatkuasakan pada 2017.

"Inilah caranya bagaimana sistem ARS sepatutnya dilaksanakan. Ia memantau dan mengambil tindakan terhadap mereka yang ajarannya menggugat perpaduan sosial dan mereka diharamkan daripada mengajar," kata Encik Masagos semasa menjawab soalan AP Dilantik Mohamed Irshad.

Encik Irshad bertanya tentang langkah-langkah perlindungan bagi para asatizah bertauliah dan sama ada terdapat mekanisme untuk menyemak dan memperbaharui pentauliahan ARS mereka dari masa ke semasa.

Encik Masagos menjelaskan bahawa semua asatizah yang diiktiraf ARS diwajibkan menjalani latihan dengan kerap dan kesesuaian mereka disemak dari masa ke semasa.

Jika terdapat aduan atau tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka tidak layak menjadi seorang guru agama, status ARS mereka akan dibatalkan, tegas Encik Masagos. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan