Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Asatizah digalak rebut laluan baru; beri manfaat 'terbaik' kepada masyarakat

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menyesuaikan strategi bagi sebilangan sektor di bawah Skillsfuture serta menekankan kemahiran dan latihan yang sesuai supaya para asatizah dapat merebut peluang kerjaya dan laluan baru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menyesuaikan strategi bagi sebilangan sektor di bawah Skillsfuture serta menekankan kemahiran dan latihan yang sesuai supaya para asatizah dapat merebut peluang kerjaya dan laluan baru.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata demikian semasa Majlis Perjumpaan Hari Raya di Hotel Mariott Tang Plaza hari ini (14 Jun).

Ini menjangkaui bidang-bidang tradisional di masjid dan madrasah, sebaliknya akan membuka peluang kerjaya yang lebih baik untuk para asatizah supaya masyarakat Melayu/Islam mendapat manfaat "terbaik" daripada kemahiran mereka.

"Kemahiran masyarakat kita mencorakkan apakah kita masyarakat yang menyumbang atau menjadi beban negara. Mujur, golongan pekerja kita sedar bahawa kita akan lebih berdaya tahan dan boleh merebut peluang jika kita terus mempertingkatkan diri, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang deras berubah," kata Encik Masagos, sambil menekankan peri pentingnya Kemahiran sebagai salah satu dasar Masyarakat Gemilang.

Inisiatif tersebut juga sebahagian daripada usaha MUIS untuk mempertingkatkan keupayaan profesional bagi sektor agama, dengan memastikan "seramai-ramainya" pelajar agama melewati "garisan biru", iaitu memasuki dan menjangkaui pendidikan di universiti.

Dalam ucapannya, Encik Masagos turut melahirkan rasa besar hatinya: "Hari ini, kita harus berbangga kerana semakin ramai anak-anak kita diberi tanggungjawab yang besar dan anak-anak Melayu/Islam memainkan peranan penting dalam kemajuan Singapura di sektor privet dan awam seperti menjadi pengurus besar, sebagai penjawat awam ataupun sebagai pemegang jawatan politik di kementerian-kementerian dan seperti Presiden Halimah Yacob, yang menjadi ketua negara."

Beliau, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air berkata demikian menyusuli pembentukan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA), yang bertanggungjawab memahami trend sosio-agama yang menjejas masyarakat Melayu/Islam serta memberi saranan tentang bagaimana para asatizah dibangunkan menjadi pemimpin masa hadapan yang berkeyakinan.

Encik Masagos berkata saranan yang dikemukakan COFA juga akan dijadikan sebagai panduan kepada usaha MUIS bagi memastikan para asatizah masyarakat kita terlatih dan dikerahkan untuk memenuhi keperluan masyarakat Melayu/Islam yang berubah-ubah.

Usaha MUIS ini juga selaras dengan tugas utama MENDAKI bersama masyarakat dalam memastikan “garisan merah”, iaitu sekurang-kurangnya pendidikan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) terkawal , manakala “garisan biru” pula ditingkatkan lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan