Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AS, Korea Utara mahu wujudkan kedamaian di Semenanjung Korea, kata Dr Balakrishnan

Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata ada keikhlasan dan keinginan dari kedua-dua pihak, Amerika Syarikat dan Korea Utara, untuk mewujudkan perdamaian di Semenanjung Korea.

Anggaran Waktu Membaca:
AS, Korea Utara mahu wujudkan kedamaian di Semenanjung Korea, kata Dr Balakrishnan

Dr Vivian Balakrishnan semasa lawatan kerja ke Pyongyang (Gambar: Facebook/Dr Vivian Balakrishnan)

Diterbitkan : 09 Jun 2018 09:00PM Dikemas Kini : 09 Jun 2018 09:05PM

SINGAPURA: Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata ada keikhlasan dan keinginan dari kedua-dua pihak, Amerika Syarikat dan Korea Utara, untuk mewujudkan perdamaian di Semenanjung Korea.

Beliau membuat kenyataan itu selepas melakukan lawatan lima hari ke Washington dan Pyongyang.

Bercakap kepada para wartawan di China hari ini(9 Jun), Dr Balakrishnan berkata Amerika dan Korea Utara gembira dengan persiapan yang dilakukan di Singapura bagi sidang puncak antara Presiden Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada Selasa ini.

KEMAJUAN NEGARA, MASYARAKAT KOREA UTARA

Korea Utara sebuah negara yang mungkin kurang dikenali dunia sebelum ini.

Bagaimanapun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dunia mempunyai pandangan yang berbeza terhadap negara yang menyendiri itu.

"Jika anda ke Pyongyang sekarang, anda akan dapat lihat sebuah bandar yang bersih, hijau, moden, cantik. Saya nampak kren binaan, bangunan-bangunan sedang dibina. Jelas sekali, pemerintahnya telah bekerja keras selama puluhan tahun ini untuk meningkatkan prasarana," kongsi Dr Balakrishnan.

"Selain itu, saya juga melihat masyarakatnya yang berdisiplin, mempunyai azam kuat dan berdikari. Mereka sedar mereka menghadapi cabaran-cabaran besar selama hampir satu abad di Korea Utara. Namun, mereka bangga dengan diri sendiri dan identiti mereka. Saya dapat lihat azam mereka untuk meneruskan kehidupan dan berkembang maju."

Dr Balakrishnan membuat pengamatan itu semasa melakukan lawatan rasminya yang pertama selama dua hari ke Korea Utara.

Ia dilakukan selepas Dr Balakrishnan melawat Amerika.

PERSEDIAAN DIPERGIATKAN

Lawatan-lawatan itu dilakukan bagi memastikan persediaan untuk sidang puncak bersejarah Amerika-Korea Utara di Singapura berlangsung dengan sempurna.

Untuk tujuan itu, banyak agensi bekerja keras sepanjang masa agar para pelawat selamat dan gembira di sini.

Bahkan, menurut Dr Balakrishan, para pegawai bersengkang mata untuk menjawab pertanyaan dan mengurus permintaan dari seluruh dunia.

Sungguhpun Singapura sebagai tuan rumah terus mengamalkan sikap berkecuali, ia berharap sidang puncak itu akan membuat kemajuan.

'MANFAAT BESAR' BAGI SELURUH DUNIA

"Jika kemajuan dibuat, jika wujud perdamaian, ia akan memberi manfaat amat besar. Ini terutamanya bagi Semenanjung Korea dan juga seluruh dunia termasuk Singapura," ujar Dr Balakrishan.

Tambahnya lagi: "Namun ingin saya tekankan di sini, semua itu terserah kepada Amerika dan Korea Utara. Apa yang kedua-dua pihak beritahu saya adalah jika dan apabila mereka mencapai perjanjian, ia perlu juga melibatkan pihak berkepentingan utama lain. Jadi akan ada peringkat selanjutnya."

Dr Balakrishnan juga berkata peranan Singapura adalah penting dalam menyumbang kepada keamanan dunia dan meningkatkan hubungan dua hala antara Amerika dengan Korea Utara.  

Sumber : CNA/NU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan