Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Arfah Buang, Norasiken Noor antara penerima Anugerah Guru Arif Budiman 2019

Seramai enam guru Bahasa Melayu menerima pengiktirafan dan diberikan Anugerah Arif Budiman (AGAB) pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai enam guru Bahasa Melayu menerima pengiktirafan dan diberikan Anugerah Arif Budiman (AGAB) pada tahun ini.

Guru-guru itu menerima anugerah mereka daripada Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, dalam satu majlis penyampaian anugerah AGAB 2019 di Orchid Country Club hari ini (9 Nov).

Tiga guru muda menerima AGAB Perangsang - anugerah bagi guru yang berpengalaman kurang 10 tahun.

Manakala tiga lagi menerima Anugerah AGAB Teladan - anugerah yang diberikan kepada guru dengan lebih 10 tahun pengalaman.

Wartawan BERITA bertemu dengan dua penerima Anugerah Arif Budiman (AGAB) Teladan dan Perangsang tahun ini, untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang kaedah pembelajaran yang diterapkan para guru Bahasa Melayu itu di dalam bilik darjah.

CIKGU ARFAH BUANG TERIMA ANUGERAH AGAB TELADAN

Berkhidmat sebagai seorang guru Bahasa Melayu selama 20 tahun, Cikgu Arfah Buang tidak pernah 'penat' memperbaharui kaedah pembelajarannya di dalam bilik darjah.

Mendidik para pelajar Sekolah Sains dan Teknologi (SST) yang sangat mengutamakan penggunaan ICT dalam kurikulum mereka, Cikgu Arfah memastikan wadah tersebut turut diterapkan di dalam pembelajaran Bahasa Melayu, di samping menggunakan kaedah Pembelajaran Berteraskan Pelajar serta Pembelajaran Gunaan (Applied Learning).

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

"Untuk meningkatkan pelibatan para pelajar generasi digital dalam bilik darjah, kita harus menggunakan ICT kerana ia sesuatu yang sangat relevan dalam kehidupan seharian mereka.

"Saya percaya sebagai seorang guru kita perlu responsif terhadap keperluan pelajar, sebagaimana yang kita tahu di bilik darjah, para pelajar mempunyai kemahiran dan kecekapan yang pelbagai, jadi kita perlu menyesuaikannya dengan berpandukan prinsip-prinsip pengajaran yang berpusatkan pelajar," kongsi guru yang juga pernah mendapat pentauliahan Pendidik Cemerlang Apple pada 2017.

ICT DIGUNAKAN BAGI BINCANG ISU SEMASA

Daripada contoh hasil para pelajar, tugasan mereka dilengkapi menerusi bentuk animasi dan infografik bagi membincangkan isu-isu semasa yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu, seperti masalah kesihatan.

"Bagi saya ICT bukan sekadar untuk memancing minat pelajar tetapi ia harus digunakan dengan cara yang bermakna supaya kita dapat menggalakkan mereka berfikiran kritis, untuk menggalakkan kreativiti, kolaborasi dan juga komunikasi yang berkesan," tekan beliau.

CIKGU NORASIKEN NOOR PEMENANG TERMUDA AGAB PERANGSANG

Turut menggunakan peranti ICT dalam tugasan harian pelajar ialah Cikgu Norasiken Mohamed Noor, 27 tahun, penerima termuda bagi AGAB.

Pendidik di Sekolah Rendah Haig Girls itu memperkenalkan penggunaan ICT bagi murid seawal darjah satu lagi dengan tugasan subjek Bahasa Melayu di rumah boleh dilakukan menerusi online.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

(Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Di bilik darjah pula, mereka menggunakan iPad dan komputer riba untuk menjawab kuiz.

"Kadang-kadang ibu bapa tanya 'Cikgu, bagaimana kita nak tarik minat anak-anak kami mempelajari bahasa Melayu, kalau dulu kita cakap 'baca buku Bahasa Melayu', tapi sekarang ada wadah-wadah yang disediakan dalam talian untuk pastikan murid-murid ini dapat belajar bahasa dalam talian.

"Jadi, ibu bapa juga teruja apabila mereka lihat anak-anak mereka sudah mahir menggunakan teknologi di rumah sebab di sekolah kami sudah adakan, kami sudah dedahkan, jadi ibu bapa pun suka mereka tahu cara untuk memastikan anak-anak mereka suka dan minat mempelajari Bahasa Melayu," kongsinya.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Menjadikan pengiktirafan AGAB sebagai sumber inspirasi untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi, Cikgu Norasiken berharap, anak-anak muridnya juga dapat menjadi insan yang "arif" dan "budiman".

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan