Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Arahan POFMA dikenakan terhadap laman Truth Warriors berhubung salah maklumat COVID-19

Laman Truth Warriors dikenakan arahan pembetulan kerana menerbitkan bahan yang menggembar-gemburkan keberkesanan ivermectin dalam merawat COVID-19 dan menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan vaksin koronavirus itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Oct 2021 08:10AM Dikemas Kini : 26 Oct 2021 08:45PM

SINGAPURA: Laman Truth Warriors dikenakan arahan pembetulan kerana menerbitkan bahan yang menggembar-gemburkan keberkesanan ivermectin dalam merawat COVID-19 dan menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan vaksin koronavirus itu.

Laman tersebut dikehendaki menyiarkan notis pembetulan pada bahagian atas setiap halaman yang mengandungi kepalsuan, umum Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan pada Sabtu (25 Okt).

Menteri Kesihatan sudah mengarahkan Pejabat Perlindungan daripada Akta Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA) untuk mengeluarkan notis itu, tambah MOH.

"Banyak bahan yang diterbitkan di laman Truth Warriors mengelirukan orang ramai untuk beranggapan bahawa vaksin COVID-19 tidak berkesan dalam mengurangkan kadar penularan COVID-19, dan menggembar-gemburkan keselamatan dan keberkesanan ivermectin dalam mencegah jangkitan virus dan merawat COVID-19," menurut MOH.

Bahan-bahan di laman itu adalah daripada "sumber yang tidak sahih serta meragukan" dan individu yang mengikuti nasihat laman itu boleh membahayakan diri mereka dan orang di sekeliling mereka, menurut kementerian itu lagi.

Ia menambah bahawa Pemerintah memandang serius terhadap komunikasi kepalsuan yang disengajakan mengenai perkara itu dan siasatan jenayah akan dijalankan.

MOH menyatakan berikut adalah kepalsuan-kepalsuan di laman Truth Warriors:

  • Negara yang paling tinggi kadar vaksinasi mempunyai paling banyak kes dan kematian bagi setiap juta penduduk dan negara yang paling rendah kadar vaksinasi mempunyai kes dan kematian paling sedikit bagi setiap juta penduduk.
  • Vaksin tidak mencegah penularan COVID-19.
  • Ivermectin mencegah jangkitan COVID-19 dan ia selamat serta berkesan dalam merawat COVID-19, bahkan bagi wanita hamil.

MOH menyatakan semua dakwaan tersebut adalah palsu dan setakat 23 Oktober, bukti-bukti antarabangsa menunjukkan secara mutlak bahawa vaksin mengurangkan jangkitan COVID-19, serta penyakit serius dan kadar kematian.

“Data terkini tidak menyokong dakwaan bahawa negara yang mempunyai kadar tertinggi vaksinasi juga mempunyai kes/kematian tertinggi bagi setiap juta penduduk. Meskipun sebahagian negara dengan kadar vaksinasi terendah juga mempunyai kematian COVID-19 yang dilaporkan rendah, ini mungkin disebabkan kelemahan dalam pengumpulan rekod bagi kedua-dua vaksinasi dan kematian,” menurut MOH.

Ia menambah bahawa walaupun vaksin tidak sepenuhnya menghentikan penularan virus, vaksin mengurangkan risiko penularan kerana orang yang diberi vaksin kurang cenderung menyebarkan virus berbanding individu yang tidak divaksin.

“Tambahan lagi, meskipun vaksin itu sendiri tidak membunuh virus, adalah salah untuk menyatakan bahawa kesan vaksin pada sistem imun tubuh tidak menyebabkan virus mati. Vaksin menyebabkan tubuh menghasilkan antibodi dan sel imun yang bertindak menentang virus dan sekali gus, membunuhnya,” jelas MOH.

BAHAYA IVERMECTIN

Mengenai dakwaan mengenai ivermectin di laman itu, MOH menyatakan bahawa merawat diri sendiri dengan ubat itu boleh membahayakan.

Ivermectin, menurutnya, adalah ubat yang boleh diperolehi hanya menerusi preskripsi sahaja dan didaftarkan di Singapura khas untuk merawat jangkitan cacing parasit dan bukan sejenis ubat antivirus.

Kesan sampingan termasuk muntah, cirit-birit, sakit perut, kesan buruk neurologi (pening, sawan, kekeliruan), tekanan darah menjunam, ruam teruk pada kulit sehingga mungkin perlu dimasukkan ke hospital dan kecederaan hati (hepatitis).

Ivermectin juga boleh berinteraksi dengan ubat lain yang diambil, seperti pencair darah, katanya.

MOH menambah bahawa laman itu juga berkongsi data berkaitan kecederaan vaksin yang disyaki berlaku di Singapura, yang dikumpulkan oleh pengguna dan tidak disahkan, merujuk kepada aplikasi sembang Telegram “SG Suspected Vaccine Injuries” sebagai sumbernya.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan/atau menyebarkan maklumat salah yang boleh menyebabkan kebimbangan orang ramai dan sebaliknya merujuk kepada sumber maklumat yang boleh dipercayai," tegasnya.

MOH menggesa orang ramai supaya mengunjungi www.moh.gov.sg dan www.hsa.gov.sg untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai COVID-19 dan vaksinasi.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan