Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Arahan POFMA baru dikeluarkan ke atas SDP bagi catatan FB berhubung 'pekerjaan PMET tempatan'

Menteri Tenaga Manusia telah mengeluarkan arahan pembetulan baru di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) kepada SDP.

Anggaran Waktu Membaca:
Arahan POFMA baru dikeluarkan ke atas SDP bagi catatan FB berhubung 'pekerjaan PMET tempatan'

Gambar fail bangunan MOM. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 09 Oct 2021 07:15AM Dikemas Kini : 09 Oct 2021 08:26AM

SINGAPURA: Menteri Tenaga Manusia mengeluarkan arahan pembetulan baru di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) kepada Parti Demokratik Singapura (SDP) berhubung "kenyataan fakta palsu" dalam catatan Facebook pada 2019.

Kenyataan bertajuk "Pekerjaan PMET tempatan sudah merosot" (Local PMET employment has gone down) muncul dalam catatan Facebook SDP pada 2 Disember 2019, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (8 Okt).

Kenyataan itu pertama kali dikenal pasti dalam satu arahan pembetulan sebelum ini yang diarahkan menteri untuk dikeluarkan ke atas SDP pada 14 Disember 2019.

Pada awal semalam, Mahkamah Rayuan mengeluarkan keputusan penting mengenai rayuan SDP terhadap arahan pembetulan itu dan dua lagi arahan pembetulan lain yang diterimanya pada tarikh tersebut.

Dalam satu keputusan yang pertama seumpamanya, mahkamah membatalkan sebahagian arahan pembetulan yang dikeluarkan MOM berhubung kenyataan yang dimaksudkan itu.

Dalam penghakimannya itu, mahkamah memutuskan bahawa Menteri Tenaga Manusia beranggapan maksud kenyataan yang palsu itu berkisar pada pengambilan pekerja profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET)melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap merosot.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati bahawa istilah "Pekerjaan PMET tempatan" yang digunakan dalam infografik dalam catatan Facebook "harus difahami sebagai hanya merujuk kepada PMET warga Singapura, bukan warga Singapura dan penduduk tetap", kata MOM.

"Namun, kalau pun jika kami hanya mengambil kira pengambilan warga Singapura dalam pekerjaan PMET, kenyataan SDP bahawa pekerjaan sedemikian sudah merosot adalah palsu semata-mata," kata kementerian itu.

MOM menyatakan bahawa jumlah warga Singapura yang bekerja terus meningkat secara mantap dari 2015 hingga 2019.

Ia menyediakan carta berdasarkan data dari Tinjauan Tenaga Kerja Menyeluruh 2015-2019, yang menunjukkan bahawa warga Singapura dalam pekerjaan PMET meningkat setiap tahun dalam tempoh ini.

"Oleh itu, Menteri Tenaga Manusia sudah mengarahkan Pejabat POFMA supaya mengeluarkan arahan pembetulan kepada SDP berhubung kenyataan fakta palsu ini yang terdapat dalam catatan Facebook SDP pada 2 Disember 2019," kata MOM.

Catatan Facebook itu adalah iklan dengan pautan ke artikel di laman web parti tersebut bertajuk "SDP Population Policy: Hire S'poreans First, Retrench S'poreans Last". Ia juga memuatkan grafik dengan anak panah menunjuk ke bawah yang berjudul Local PMET Employment.

Berhubung dua lagi keputusan Mahkamah Rayuan, MOM menyatakan mahkamah membenarkan sebahagian permohonan arahan pembetulan serta dua arahan pembetulan lainnya, yang berkaitan dengan kenyataan lain, bertajuk "Local PMET retrenchment has been increasing" atau pemberhentian PMET tempatan sudah meningkat.

"Kenyataan ini palsu seperti yang ditunjukkan oleh data MOM, yang mana tidak dicabar oleh SDP," kata kementerian itu.

Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan