Images
  • apsn astons1
    APSN Café for All & ASTONS Express memberi peluang pembelajaran kepada para pelatih di Pusat APSN bagi Orang Dewasa (CFA). (Gambar: APSN)

APSN, ASTONS Express buka kafe beri peluang pelatih keperluan khas belajar

SINGAPURA: Persatuan bagi Orang-Orang Berkeperluan Khas (APSN) dengan kerjasama restoran tempatan ASTONS Express sedang dalam proses mendapatkan sijil halal dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menurut kenyataan medianya pada Khamis (4 Okt).

Pensijilan halal bagi kafe yang dibangunkan itu untuk memberi peluang pembelajaran kepada para pelatih di Pusat APSN bagi Orang Dewasa (CFA).

Diberi nama APSN Café for All & ASTONS Express, kafe tersebut juga diberi nafas baru dengan kontrak setahun, selepas menggantikan jenama Café Sheltered Enterprise.

Seperti program Keusahawanan CFA APSN yang lain, semua hasil penjualan akan disalurkan kembali ke program-program latihan.


RAMAI PELANGGAN DORONG SITI FATIMAH KERJA LEBIH KERAS

Malah, sejak mengadakan pelancaran awalnya bulan lalu, kafe tersebut secara purata sudahpun menerima 40 peratus pesanan lebih banyak setiap hari.

Ini sekaligus mendorong pelatih seperti Cik Siti Fatimah, 31 tahun, untuk terus bekerja dengan lebih keras lagi.

"Saya gemar menyambut pelanggan kerana saya boleh membuat lebih ramai rakan! Lebih ramai pelanggan bermakna ia latihan yang lebih baik untuk saya," katanya.

Cik Siti menjalani latihan separuh hari di APSN Café for All, dan  separuh hari lagi bekerja sambilan di restoran makanan segera tempatan membersihkan meja dan dulang.

Beliau kini juga sedang belajar menyiapkan kopi dan kafe tersebut bertindak sebagai platform pembelajaran yang sukar ditawarkan di tempat kerja biasa.

PELATIH JALANI LATIHAN TIGA BULAN

Dari menyiapkan hingga ke menghidangkan makanan 'fusion' tempatan sejak setahun setengah lalu, pelatih juga belajar menyiapkan pelbagai pilihan makanan.

Sembilan pelatih kini sedang menjalani latihan selama tiga bulan di APSN Café for All. Selain diberi elaun di bawah program berkenaan, pelatih yang berjaya akan ditawarkan pekerjaan sepenuh masa di restoran ASTONS Specialties.

Bagi memastikan mutu dan piawai makanan yang konsisten, pengurus restoran ASTONS Express selama sembilan tahun, Encik David Tan juga membantu dalam persiapan latihan, stok makanan dan kawalan mutu.


(Gambar-gambar: APSN)

KOLABORASI DENGAN MASYARAKAT "LANGKAH KE ARAH BETUL"

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASTONS Encik Aston Soon turut berkongsi kolaborasi  dengan masyarakat seumpama itu adalah "langkah ke arah yang betul bagi ASTONS".

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APSN Dr Christopher Tay pula menjelaskan bahawa kerjasama berkenaan menunjukkan tumpuan dan komitmennya bagi memperkasa para pelatih untuk menjadi kakitangan di masa depan.

"Pada masa akan datang, kami akan melihat kepada tahap latihan dan pensijilan lebih tinggi untuk terus memperluaskan keupayaan dan daya pengambilan kerja pelatih kami," kata Dr Tay.

Kolaborasi APSN dan ASTONS disokong SG Enable. Selain kafe tersebut, CFA APSN membangunkan pelatih dalam pelbagai program termasuk bidang membuat kuih, pengurusan bangunan & kemudahan, katering, kerja kontrak serta reka bentuk & runcit. 

- BERITAmediacorp/im

Top