Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

App ScamShield dilancar; berupaya kenal pasti dan sekat panggilan, mesej penipuan

Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) pada Jumaat (20 Nov) melancarkan sebuah aplikasi yang berupaya mengenal pasti dan menyekat panggilan telefon dan mesej-mesej penipuan.

Anggaran Waktu Membaca:
App ScamShield dilancar; berupaya kenal pasti dan sekat panggilan, mesej penipuan

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 21 Nov 2020 11:31AM Dikemas Kini : 21 Nov 2020 11:42AM

SINGAPURA: Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) pada Jumaat (20 Nov) melancarkan sebuah aplikasi yang berupaya mengenal pasti dan menyekat panggilan telefon dan mesej-mesej penipuan.

Diberi nama ScamShield, aplikasi itu menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengenal pasti kata kunci dalam mesej-mesej yang dikirimkan oleh nombor-nombor yang tidak dikenali dan memindahkan mesej tersebut ke dalam fail 'junk', yang akan diwujudkan dalam telefon bimbit pengguna.

Ia juga membolehkan para pengguna untuk melaporkan sebarang panggilan dan mesej penipuan melalui aplikasi tersebut.

Panggilan masuk ke telefon bimbit akan diperiksa berdasarkan senarai nombor telefon yang diketahui adalah panggilan penipuan atau nombor-nombor telefon yang pernah dilaporkan oleh pengguna lain dan panggilan daripada nombor-nombor tersebut juga akan disekat.

Laporan-laporan sedemikian dapat membantu mengemas kini pangkalan data yang akan dikongsikan dengan pihak polis, menurut NCPC.

Polis kemudian akan menyediakan data nombor telefon yang diketahui adalah kes-kes penipuan kepada NCPC. Walaupun mengurangkan peluang penipu, yang biasanya memulakan tipu muslihat mereka dengan mengirimkan pesanan teks ringkas (SMS) atau panggilan telefon, aplikasi itu bagaimanapun tidak mempunyai akses kepada lokasi pengguna, data peribadi atau senarai nombor telefon kenalan mereka.

Ia juga tidak memerlukan pengguna untuk mendaftar menggunakan nombor telefon mereka.

"Hanya mesej yang dihantar oleh nombor-nombor yang tidak dikenali akan diperiksa oleh aplikasi itu, dan hanya mesej yang dikenal pasti sebagai mesej penipuan yang akan dihantar kepada NCPC untuk dikumpul dan dikongsi dengan pihak polis," dmenurut majlis tersebut.

Memandangkan nombor-nombor telefon boleh dipalsukan dengan mudah, NCPC memberi amaran kepada para pengguna bahawa nombor-nombor telefon yang tidak disekat oleh aplikasi itu mungkin masih berasal daripada para penipu.

ScamShield, yang dihasilkan bersama oleh Agensi Teknologi Pemerintah, hanya tersedia pada peranti iOS dan boleh dimuat turun dari App Store Apple secara percuma.

Apabila ditanya bila aplikasi itu akan tersedia bagi para pengguna Android, NCPC menyatakan ia masih memperhalusi perinciannya.

Sempena pelancaran maya pada Jumaat, NCPC turut melancarkan sebuah filem pendek yang memberi amaran kepada orang awam tentang bahaya penipuan cinta di internet.

Filem itu akan disiarkan melalui saluran-saluran utama televisyen dan menerusi pelbagai wadah media sosial seperti YouTube dan Facebook.

NCPC menyatakan terdapat 385 kes penipuan cinta di internet dilaporkan pada separuh pertama tahun ini, dengan kerugian lebih S$13 juta dilaporkan akibat skim penipuan itu sahaja.

Pengerusi NCPC Encik Gerald Singham berkata S$102 juta lesap gara-gara kes penipuan pada separuh pertama tahun ini meskipun pelbagai usaha dijalankan oleh NCPC untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kes-kes penipuan.

"Para penipu berselindung di celah-celah internet dan menjadikan perjuangan untuk membanteras mereka lebih sukar dan sulit kerana kami tidak dapat mengesan mereka.

"Jika kita mahu menewaskan mereka, kita perlu mempertingkatkan kesedaran dan belajar mengenal pasti pelbagai bentuk dan tanda-tanda penipuan.

"NCPC berharap aplikasi ini akan bantu melindungi orang awam daripada ancaman penipuan itu, katanya, dan menggesa orang ramai supaya terus berwaspada," kata Encik Gerald.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan berkata semasa pelancaran maya itu pada Jumaat bahawa bilangan kes penipuan semakin meningkat.

"Sedang kita menuju ke akhir tahun, ramai yang akan meluangkan lebih banyak masa online. Saya mahu mengingatkan anda semua supaya terus berjaga-jaga dan berwaspada ketika memberikan butiran peribadi anda kepada sesiapa saja dan berhati-hatilah apabila melakukan urus niaga online," kata Encik Tan.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan