Images
  • parking.sg
    Gambar: MCI

App Parking.sg alami gangguan; pengguna Android terjejas

SINGAPURA: Aplikasi letak kereta Parking.sg mengalami gangguan selama beberapa jam bagi para pengguna Android hari ini (27 Feb).

Menerusi catatan di laman Facebooknya sekitar pukul 9.00 pagi, Parking.sg menyatakan aplikasi itu tidak dapat diakses pengguna Android, disebabkan "isu rangkaian".

Para pengguna yang terjejas tidak dapat membayar caj meletak kereta.

Parking.sg meminta maaf atas kesulitan disebabkan insiden tersebut dan menyatakan ia akan menggantung bayaran meletak kereta sehingga aplikasi itu boleh diakses pengguna Android.

Dalam maklumat yang dikemas kini sekitar tiga jam kemudian, Parking.sg menyatakan ia masih menyiasat isu itu dan menjelaskan bahawa caj bagi semua tempat meletak kereta akan digantung sehingga isu tersebut diperbetulkan.

Laporan-laporan yang menyatakan aplikasi itu mengalami gangguan timbul di media sosial awal pagi tadi (27 Feb) apabila para pengguna meluahkan kekecewaan mereka.

Aplikasi itu, yang boleh dimuat turun sejak bulan Oktober lalu, boleh digunakan untuk membayar caj meletak kereta di tempat meletak kereta awam yang menggunakan kupon kertas.

Sistem itu mengalami beberapa gangguan sejak ia dilancarkan, termasuk pada bulan Disember lalu yang mana tempoh meletak kereta sebahagian pengguna tiba-tiba hilang sebaik sahaja mereka menutup aplikasi tersebut.

Isu-isu lain termasuk aduan bahawa peta dalam aplikasi itu tidak berfungsi. 

- CNA/NK/sm

Top