Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aplikasi pantau senaman boleh jadi 'ancaman keselamatan serius' bagi S'pura

Baru-baru ini, ramai menyuarakan keprihatinan mereka bahawa penggunaan aplikasi pengesan senaman Strava yang berpotensi mendedahkan maklumat sensitif termasuk kedudukan tentera di merata dunia mungkin berlaku di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Aplikasi pantau senaman boleh jadi 'ancaman keselamatan serius' bagi S'pura

Petikan gambar daripada aplikasi Strava.

Diterbitkan : 30 Jan 2018 11:42PM Dikemas Kini : 30 Jan 2018 11:47PM

SINGAPURA: Baru-baru ini, ramai menyuarakan keprihatinan mereka bahawa penggunaan aplikasi pengesan senaman Strava yang berpotensi mendedahkan maklumat sensitif termasuk kedudukan tentera di merata dunia mungkin berlaku di Singapura.

Bagaimanapun menurut para pakar keselamatan di sini cara menanganinya adalah dengan menyesuaikan app tersebut dan bukan dengan cara kawal selia.

Pada November 2017, Strava menggunakan data pengguna awam untuk melancarkan peta 'heatmap' yang bertujuan untuk menunjukkan laluan senaman popular.

Namun, pada hujung minggu lalu, peta itu juga menunjukkan apa yang kelihatan seperti laluan yang digunakan askar untuk kegiatan seperti berbasikal lantas mendedahkan lokasi dan reka bentuk pangkalan tentera.

Para penganalisis juga mendapati identiti kakitangan tersebut dapat dikenalpasti aktiviti mereka keluar masuk kem.

Di Singapura, beberapa pengguna sudahpun melahirkan keprihatinan mereka di platform media sosial. Mereka turut memuat naik beberapa petikan gambar daripada skrin yang menunjukkan lokasi seperti ibu pejabat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Pangkalan Gombak, pusat-pusat latihan di Pulau Tekong dan Pangkalan Udara Paya lebar.

Mediacorp sudah menghubungi MINDEF dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk memberi komen.

Menurut pengarah urusan penyedia perkhidmatan keselamatan Quann, Encik Foo Siang-tse, ini merupakan satu ancaman. "Jika seseorang boleh mendapatkan maklumat tentang susun atur kem-kem tentera ataupun laluan rondaan pihak keselamatan, mereka juga boleh mendapat tahu tentang kawasan yang tidak banyak dilalui orang, lalu mula menceroboh masuk," katanya.

TIDAK SEMESTINYA SATU ANCAMAN

Namun, pakar tentera dan keselamatan Dr Graham Ong-Webb berkata meskipun "ada keprihatinan", beliau "yakin semuanya akan baik-baik sahaja".

"Apakah aplikasi itu mampu memberitahu anda tentang peralatan tentera dan teknologi yang ada dalam kem-kem itu? Tidak. Kalau anda tahu sekalipun, persoalannya, mampukah anda mendapatkan peralatan dan teknologi itu?," kata Dr Graham yang juga seorang penyelidik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S.Rajaratnam (RSIS).

"Sudah ada langkah-langkah keselamatan yang dijalankan dalam kem-kem ini bagi memastikan teknologi yang sensitif dan kegiatan-kegiatan tidak dapat dibocorkan kepada orang awam," tambah beliau.

"Kami sudah mengambil pendekatan untuk mengurangkan risiko berlakunya pencerobohan, serangan dan sebagainya - ia berkesan selama ini."

STRAVA TAMPIL, INGIN KERJASAMA

Mengulas tentang perkara ini, Strava menegaskan bahawa aplikasinya tidak mendedahkan "kegiatan-kegiatan yang bersifat peribadi ataupun zon-zon yang tidak ingin didedahkan para pengguna".

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif James Quarles dalam surat terbukanya pada 29 Januari mengatakan bahawa syarikat itu akan mengemaskini aplikasinya bagi menangani isu-isu seperti ini selain memastikan "mereka yang berniat jahat tidak boleh memanfaatkan data pada aplikasi tersebut".

Menurutnya lagi, Strava "komited untuk bekerjasama dengan para pegawai pemerintah mahupun tentera untuk melindungi data-data sensitif".

TIDAK PERLU LETAKKAN LARANGAN KE ATAS APLIKASI

"Para penggubal dasar kami sudah mula memikirkan cara-cara untuk mengurangkan risko, tetapi kami tidak boleh menetapkan sebarang jalan penyelesaian. Kita perlu membuat penyesuaian dengan realiti di mana kian banyak teknologi seperti ini," tambah Dr Ong.

Pakar keselamatan siber Encik Eugene Tan, juga dari RSIS berkata: "Walaupun larangan diletakkan pada aplikasi seperti ini, tidakkah dengan 'memadam' kawasan-kawasan di peta itu menimbulkan kecurigaan?".

"Kita seharusnya menggunakan teknologi untuk kebaikan. Ada kesan yang tidak disengajakan daripada penggunaan aplikasi seperti ini, namun semua pemerintah harus menanganinya, tidak hanya Singapura."

"Kita perlu lebih banyak memanfaatkan teknologi, dan bukan meletakkan larangan ke atas segala sesuatu," tambahnya. "Teknologi akan terus berubah, dan cabarannya adalah bagaimana kita boleh hidup dengan teknologi seperti ini, bukan sebaliknya."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan