Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aplikasi ini bantu para pelancong Muslim pastikan kehalalan produk makanan

Mungkin anda pernah berhadapan dengan situasi ini - semasa bercuti ke luar negara ataupun membeli-belah di kedai atau pasar raya, anda mahu membeli makanan tetapi kurang pasti akan status halalnya. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Mungkin anda pernah berhadapan dengan situasi ini - semasa bercuti ke luar negara ataupun membeli-belah di kedai atau pasar raya, anda mahu membeli makanan tetapi kurang pasti akan status halalnya. Senario sebegitu mungkin lazim berlaku kepada para pelancong Muslim yang semakin ramai melancong ke luar negara.

Menurut kajian syarikat CrescentRating dan Mastercard, pelancong Muslim ke destinasi antarabangsa berjumlah 140 juta tahun lalu dan dijangka meningkat kepada 230 juta pada 2026. Sesetengah mereka pula pastinya berkunjung ke negara-negara yang mungkin payah untuk mendapatkan produk makanan Halal.

Itulah juga yang dihadapi seorang kakitangan syarikat teknologi WhatsHalal - apabila beliau sulit mencari makanan Halal semasa bercuti ke luar negara.

Mendapat inspirasi daripada senario seperti itulah, WhatsHalal mendapat ilham untuk mencipta "HalalScanner", yang memberitahu pengguna akan status halal atau kehalalan sesuatu bahan pada bungkusan makanan.

'HalalScanner' boleh digunakan menerusi aplikasi WhatsHalal. Para pengguna hanya perlu mengimbas bungkusan makanan menerusi kamera telefon bijak mereka. Bahan produk itu kemudian diperiksa dan dikelaskan di bawah empat kategori iaitu Halal, Mesra Muslim, Sumber Tidak Pasti atau Tidak Halal.

BERITAmediacorp sendiri mencuba fungsi imbas itu dan mendapati dalam beberapa saat sahaja ia dapat mengesahkan kehalalan bahan produk itu. Namun demi mengelakkan rasa was was, para pengguna disyorkan memilih produk yang mempunyai cap logo Halal.

Menurut Ketua Pegawai Komersil WhatsHalal, Hadi Rahmad: "Kami melihat lebih kepada produk-produk yang diimport atau para pelancong yang pergi bercuti ke luar negara. Kami ingin memberikan satu lapisan jaminan atau memberikan mereka tahap kepercayaan terhadap logo-logo Halal yang tidak dikeluarkan oleh MUIS atau dari rantau ini. Jadi para pengguna dapat berasa lebih tenteram untuk memakan produk itu."

Buat masa ini, fungsi "HalalScanner" berada di fasa percubaan atau 'beta'. Sejak dilancarkan dua bulan lalu, ia mempunyai 580 jumlah bahan dalam pangkalan datanya.

WhatsHalal berharap membina sebuah pangkalan data yang mempunyai sekitar 400 juta produk makanan dari seluruh dunia, dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini.

Buat masa ini juga, "HalalScanner" hanya boleh mengesan bahan-bahan yang dicetak dalam bahasa Inggeris. Untuk masa depan, WhatsHalal merancang untuk menambah fungsi alih bahasan dan kecerdasan buatan (AI) kepada fungsi imbas tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan