Images
  • Grab error

Aplikasi Grab alami masalah teknikal, penumpang dan pemandu terjejas

SINGAPURA: Syarikat Grab mengalami masalah server komputer malam ini (3 Apr) sehingga menjejas para penumpang di beberapa negara Asia Tenggara.

Ketika Mediacorp cuba mengakses aplikasi itu pada jam 8.00 malam, timbul mesej ralat yang menyatakan syarikat itu sedang mengalami masalah untuk menyambung ke server dan para pelanggan diminta untuk mencuba sekali lagi dalam beberapa minit.

Menjawab pertanyaan di laman Facebooknya, Grab menyatakan bahawa aplikasinya sedang "mengalami gangguan teknikal dan ini menjejas beberapa penggunanya".

"Jurutera-jurutera kami sedang berusaha untuk menangani masalah ini. Harap anda sabar dan mencuba sekali lagi nanti. Kami meminta maaf kerana ini menjejas anda," menurut syarikat itu.

Para pengguna aplikasi Grab juga berkongsi di media sosial bahawa mereka turut mendapat mesej ralat yang sama. Antara mereka termasuk penumpang dari Singapura, Malaysia, Vietnam dan Filipina.

Selain itu, beberapa pemandu Grab melaporkan aplikasi itu tidak berfungsi sejak petang tadi. Ini menyusuli aduan berasingan pagi tadi di mana mereka berdepan dengan "kerosakan kad kerja".

Seorang pemandu mengirimkan semula mesej yang diterima dari Grab yang menyatakan bahawa berlaku kerosakan di mana tambang dan destinasi penumpang tidak dipaparkan dalam aplikasi. Syarikat itu memohon maaf dan menggesa para pemandu untuk menghidupkan semula telefon bimbit dan aplikasi tersebut. Masalah itu sudahpun ditangani.

Baru-baru ini, syarikat Grab mengumumkan bahawa ia akan mengambil alih operasi syarikat Uber, namun terdapat kebimbangan bahawa penggabungan itu akan melanggar akta persaingan di beberapa negara.  

- CNA/AQ/aq

Top