Images
  • johor
    Gambar: AFP

Apa yang anda perlu tahu tentang VTL darat S'pura-M'sia

SINGAPURA: Mulai 29 November, Singapura dan Malaysia akan memulakan laluan darat skim Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) menerusi Koswe menggunakan khidmat-khidmat bas yang ditetapkan.

Terdapat 32 perjananan sehala setiap hari antara kedua-dua negara, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura dalam satu kenyataan hari ini (24 Nov).

VTL darat itu yang dilancarkan pada hari yang sama dengan VTL antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Kuala Lumpur akan "dilaksanakan secara selamat dan bertahap-tahap", menurut PMO.

Berikut apa yang perlu diketahui para pelawat tentang kemasukan ke Singapura di bawah aturan bebas kuarantin itu.

SIAPA BOLEH GUNAKAN VTL DARAT?

Bagi fasa pertama VTL darat, hanya pelawat yang merupakan rakyat, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang negara yang dituju, yang dibenarkan melakukan perjalanan.

Oleh itu, kemasukan ke Singapura menerusi VTL darat adalah untuk rakyat Singapura, penduduk tetap Singapura dan pemegang pas jangka panjang Singapura.

Kemasukan ke Malaysia menerusi VTL darat pula adalah untuk rakyat Malaysia, penduduk tetap Malaysia dan pemegang pas jangka panjang Malaysia.

"Ini untuk memberi keutamaan kepada mereka yang bekerja di Singapura atau Malaysia untuk bertemu dengan keluarga," menurut PMO.

Pemegang pas jangka panjang dan pelawat asing jangka pendek yang diluluskan secara prinsip tidak layak untuk melakukan perjalanan di bawah aturan VTL.


Grafik: Izzah Hafsah Saiful Imran

APAKAH KHIDMAT BAS YANG DITETAPKAN?

Khidmat-khidmat yang ditetapkan akan dikendalikan oleh dua syarikat.

Transtar Travel akan mengendalikan 32 perjalanan yang ditetapkan setiap hari - 16 dari Malaysia dan 16 dari Singapura antara Pusat Sementara Pertukaran Bas Woodlands di Singapura dan Terminal Bas Larkin Sentral di Johor Bahru.

Handal Indah juga akan mengendalikan 32 perjalanan sehari antara Terminal Bas Larkin Sentral dengan Terminal Queen Street di Singapura.

Terdapat 32 khidmat bas VTL darat yang ditetapkan untuk memasuki Singapura dan Malaysia setiap hari, dengan kapasiti maksimum 45 penumpang sehala, menurut PMO.

Ini bermakna kuota harian bagi skim VTL darat adalah sekitar 2,900 pelawat secara keseluruhannya, dengan 1,400 penumpang sehala.

Para pelawat yang tiba di Singapura menerusi cara lain selain khidmat bas yang ditetapkan akan tertakluk kepada langkah-langkah pengawalan sempadan sedia ada.

Ini termasuk menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari.

BAGAIMANA UNTUK MEMBELI TIKET BAS?

Tiket-tiket bas akan mula dijual pada pukul 8.00 pagi ini (25 Nov) di laman Transtar Travel dan Handal Indah.

Tiket-tiket juga akan dijual seawal 30 hari sebelum keberangkatan.

Para pelawat juga dikehendaki membeli tiket bas sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh berangkat.


Grafik: Izzah Hafsah Saiful Imran

APAKAH SYARAT GUNAKAN VTL DARAT?

Para pelawat yang ingin memasuki Singapura mesti berada di Malaysia, mana-mana negara VTL atau negara atau rantau di bawah Kategori 1 seperti yang diiktiraf oleh Pemerintah Singapura dan/atau Singapura sepanjang 14 hari berturut-turut sebelum tiba di sini.

Para pelawat sedemikian juga mesti diuji negatif bagi ujian sebelum keberangkatan, sama ada ujian pantas antigen (ART) atau rantaian tindak balas polimerase (PCR) COVID-19 yang sah dalam tempoh dua hari sebelum berangkat ke Singapura.

Ujian-ujian tersebut mesti diambil di sebuah makmal atau pusat yang ditauliahkan atau diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kanak-kanak berusia dua tahun dan ke bawah mengikut kalendar tahunan tidak perlu menjalani ujian-ujian tersebut.

Para pelawat juga mesti lengkap divaksin dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah mesti ditemani orang dewasa yang lengkap divaksin.

Kesemua pelawat dikehendaki menyerahkan Kad Ketibaan SG dengan Pengisytiharan Kesihatan Elektronik menerusi laman ICA atau menerusi aplikasi telefon bijak Kad Ketibaan SG yang boleh dimuat turun secara percuma.

BILAKAH PELAWAT LAIN BOLEH GUNAKAN VTL DARAT?

Singapura dan Malaysia menyasarkan untuk melanjutkan VTL kepada lebih ramai pelawat termasuk pelawat umum, "dengan mengambil kira keadaan kesihatan awam", tambah PMO.

"Selepas itu, kami juga akan berusaha untuk menyambung semula perjalanan melalui Link Kedua Tuas," tambahnya,

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong berkata Singapura akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk melanjutkan aturan VTL darat kepada lebih banyak pelawat "dalam minggu-minggu mendatang".

"Kami memohon pemahaman para pekerja yang mungkin tidak dapat membeli tiket bas untuk pulang ke rumah dengan segera disebabkan kapasiti yang terhad pada fasa awal pelancaran," tambah Encik Gan.  

- CNA/SM/sm

Top