Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apa perlu anda lakukan jika alami simptom COVID-19 atau hasil ujian ART positif?

Terus berjumpa doktor, bergegas ke hospital atau asingkan diri? Berikut adalah jawapan bagi soalan-soalan lazim berhubung langkah susulan setelah lakukan ujian kendiri COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Apa perlu anda lakukan jika alami simptom COVID-19 atau hasil ujian ART positif?

Sebuah kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 secara DIY atau lakukan ujian sendiri (Gambar: AFP/Fred Tanneau)

Diterbitkan : 23 Sep 2021 09:25AM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 10:08AM

SINGAPURA: Jumlah jangkitan tempatan COVID-19 melonjak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan bilangan kes meningkat "lebih pantas daripada yang dijangkakan", kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat lalu (17 Sep).

Pihak berkuasa terus menekankan pentingnya menjalankan ujian secara meluas dan menggesa orang ramai supaya melakukan ujian kendiri secara kerap atas dasar "tanggungjawab sosial".

Berikut adalah panduan bagi langkah-langkah yang perlu diambil jika anda mengalami gejala COVID-19 atau didapati positif dalam ujian pantas antigen (ART):

SOALAN: Saya mengalami gejala COVID-19. Apa patut saya lakukan?

Simptom COVID-19 serupa dengan gejala jangkitan pernafasan akut - seperti demam, batuk, hidung berhingus atau kehilangan deria rasa atau bau.

Sekiranya anda mengalami gejala-gejala seperti itu, tidak perlu lakukan ujian kendiri.

Sebaliknya, berjumpa dengan doktor am di klinik Swab dan Hantar Pulang (SASH), menurut Kementerian Kesihatan (MOH). Anda boleh mendapatkan senarai klinik tersebut di sini: https://phpc.gov.sg/.

Jika anda mengalami simptom ringan, anda juga harus mengelakkan daripada mendapatkan rawatan di hospital, tambah kementerian itu.

Berjumpa dengan doktor SASH - yang boleh menilai keparahan gejala seseorang dan melakukan ujian COVID-19 - akan membantu mengekalkan kapasiti hospital "bagi mereka yang benar-benar memerlukan rawatan di hospital", tambah MOH.

Anda juga boleh memeriksa simptom-simptom anda di laman ini yang dibangunkan institusi-institusi jagaan kesihatan: https://www.sgcovidcheck.gov.sg/.

SOALAN: Patutkah saya gunakan kit ujian kendiri walaupun tidak mengalami sebarang gejala?

Anda boleh menggunakan kit ART walaupun anda berasa sihat kerana seseorang boleh dijangkiti walaupun tidak menunjukkan gejala, menurut MOH.

Ujian akan memberikan kepastian, terutamanya jika anda mempunyai kontak dengan kelompok aktif, jelasnya.

Orang ramai digalakkan untuk melakukan ujian kendiri secara berkala, termasuk mereka yang sudah lengkap divaksin, terutama jika mereka mengambil bahagian dalam acara berskala besar.

SOALAN: Adakah melakukan swab ART secara kerap berbahaya?

Melakukan swab secara kerap belum terbukti berbahaya, menurut MOH.

Swab ART dimasukkan sekitar 2 sentimeter ke dalam rongga hidung, yang lebih cetek dan kurang mengganggu daripada swab nasofaringeal bagi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR).

Bagaimanapun, jika anda menjalani pembedahan muka baru-baru ini atau pendarahan hidung yang kerap, anda dinasihatkan supaya mengunjungi pembekal ART yang berlesen untuk mendapatkan seorang profesional melakukan ujian itu ke atas anda.

SOALAN: Saya diuji positif pada kit ujian kendiri. Apa langkah seterusnya?

Jika ujian ART menunjukkan hasil negatif tetapi anda tidak bergejala, anda seharusnya:

1. Henti keluar bekerja, batalkan semua kegiatan sosial

Ini adalah demi melindungi orang lain daripada kemungkinan dijangkiti COVID-19.

2. Jangan tergesa-gesa ke hospital untuk dapatkan ujian

Dengan melakukan sedemikian boleh mendedahkan anda kepada lebih banyak risiko kerana mungkin ada orang lain yang dijangkiti di sana, kata pengarah perkhidmatan perubatan MOH, Kenneth Mak, pada Jumaat lalu.

Sekiranya anda bimbang tentang hasil ujian ART, lawati klinik SASH yang berhampiran. Doktor di sana akan menilai anda dan memutuskan sama ada ujian PCR diperlukan.

3. Asingkan diri selama sekurang-kurangnya 72 jam

Anda digalakkan duduk di rumah dan mengasingkan diri untuk sekurang-kurangnya 72 jam. Ini akan membolehkan anda pulih dengan selamat, memantau kesihatan anda dan mengelakkan penyebaran lanjut virus itu.

Sekiranya anda mula merasa tidak sedap badan semasa tempoh pengasingan, lawati sebuah klinik umum secepat mungkin untuk dinilai. Doktor akan memutuskan sama ada ujian PCR diperlukan dan juga memberi nasihat mengenai langkah seterusnya.

4. Setelah 72 jam, lakukan ART sekali lagi

Jika keputusannya negatif, anda boleh "tenang" kerana anda sudah pulih, kata Prof Madya Mak.

Anda kemudian boleh secara "beransur-ansur" menyambung kegiatan biasa anda, tambahnya.

5. Jika hasil ujian masih positif setelah tempoh pengasingan diri, kunjungi GP

Ambil gambar hasil ujian ART anda bersebelahan kad pengenalan anda.

Bawalah gambar ini dan kad pengenalan anda semasa berjumpa doktor.

6. Jika anda diberi ujian PCR, asingkan diri semasa menunggu keputusan

Anda patut pulang dengan menaiki pengangkutan peribadi dan mengasingkan diri sementara menunggu hasil ujian PCR anda. Terus memakai pelitup muka.

Lazimnya, doktor akan memberitahu anda hasil ujian anda dalam tempoh 24 hingga 48 jam, menurut MOH. Anda juga boleh memeriksa hasil ujian anda melalui HealthHub.

SOALAN: Apa yang akan berlaku jika ujian PCR saya disahkan positif?

Terus mengasingkan diri di dalam bilik yang mempunyai pengaliran udara yang baik. Jangan adakan kontak dengan anggota keluarga anda.

MOH akan menghubungi anda mengenai tindakan selanjutnya.

Pemulihan di rumah adalah model pengurusan penjagaan digalakkan bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Sudah lengkap divaksin
  • Berusia antara 12 hingga 69 tahun
  • Tiada gejala, atau alami simptom ringan
  • Tidak mempunyai penyakit atau lebih dua penyakit secara serentak
  • Anggota keluarga yang tinggal serumah tidak termasuk warga emas berusia atas 80 tahun atau mereka dalam golongan lebih mudah terdedah kepada risiko seperti wanita hamil atau dengan respons imun yang lemah atau pelbagai penyakit secara serentak.

Anda boleh menjangka untuk menerima SMS dalam masa 24 jam, dengan pautan untuk memberikan maklumat anda bagi memulakan pemulihan di rumah.

Sekiranya anda tidak sesuai untuk menjalani pemulihan di rumah, MOH akan membuat aturan untuk anda pulih di kemudahan jagaan masyarakat atau hospital. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan