Images
  • maid main
    (Gambar: BERITAmediacorp)

Apa kata majikan, agensi pembantu rumah tentang inisiatif terbaru MOM galak keserasian?

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) baru-baru ini mendedahkan beberapa langkah demi membantu membina keserasian antara majikan dan pembantu rumah.

Namun, sejauh manakah langkah tersebut benar-benar boleh berhasil?

BERITAmediacorp bertemu dengan pihak majikan dan agensi pembantu rumah untuk mendengar penilaian mereka.

KISAH CIK ANEESA DAN PEMBANTU RUMAHNYA

Bagi Cik Aneesa Mahamud yang bekerja dari rumah, kehadiran pembantu rumah yang diambilnya diharap meringankan kerja rumah.

Pembantu tersebut juga diharap membantu menjaga anaknya berusia tujuh tahun semasa beliau keluar bertemu rakan-rakan niaga.

Namun hanya selepas beberapa bulan sahaja, ibu empat anak itu dan pembantu rumahnya sering berbalah. Menurut Cik Aneesa, amahnya tidak rajin memasak dan menjaga kebajikan anak bongsunya itu dengan baik.


"Dalam bulan ketiganya, baru saya dapati pengalaman kerja selama 12 tahun sebenarnya tak selaras dengan jangkaan saya. 12 tahun kerja rumah, sempurna, tapi menjaga anak-anak, tidak, saya tidak melihat pengalamannya menjaga kanak-kanak," cerita Aneesa Mahamud kepada BERITAmediacorp.

"Dari situ saya lihat semula biodatanya, dia lebih selesa menjaga warga emas, berbanding kanak-kanak."

SISTEM BARU MOM DIHARAP DAPAT MEMBANTU

Kisah ini sejajar dengan pendedahan MOM baru-baru ini bahawa antara Oktober 2016 dengan Oktober 2018, hampir 53 peratus pembantu rumah dipulangkan kembali kepada agensi pekerjaan sebelum genap setahun bekerja dengan majikannya.

Syarikat Imtidad Employment Services misalnya, turut akur, ketidakserasian amah dengan majikan menjadi punca utama sekitar 30 peratus pembantu rumah syarikatnya menamatkan kontrak sebelum tempohnya.


Pengurus Kanan Imtidad Employment Services, Siti Zariyah Mohd Zain berkata: "Sekiranya sistem baru yang diketengahkan oleh MOM dapat memberikan maklumat yang lebih lanjut, pekerjaan seperti latar belakang pembantu rumah itu, kenapa dia dipulangkan, itu amat membantu sekali bagi agensi dan majikan juga.

"Namun begitu kami juga memerlukan majikan untuk bekerjasama dan bertolak ansur dan memahami pembantu rumah tersebut."

MAHU AGENSI PEMBANTU RUMAH LEBIH TELITI

Itu jugalah yang sedang diusahakan MOM.

Mulai tahun depan, MOM akan memberi lebih banyak maklumat latar belakang pembantu rumah asing kepada bakal majikannya.

Menjelang Oktober 2021 pula, agensi pembantu rumah perlu mengembalikan sekurang-kurangnya 50% yuran khidmat jika kontrak amah ditamatkan dalam masa enam bulan pertama.

Ini sekali gus diharap mendorong agensi-agensi pembantu rumah supaya lebih teliti dalam memilih pembantu rumah bermutu.

Cik Aneesa, bagaimanapun bercampur-baur tentang pengumuman tersebut, namun yakin keadaan dapat dipulihkan jika wujud persefahaman.

"Mungkin ia akan tolong kita tapi nak cakap jaminan 100 peratus, tidak," katanya.

Mulai akhir bulan ini, MOM juga menyediakan lebih banyak pilihan bagi khidmat huraian pertikaian secara percuma.

Top