Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apa bezanya duta jarak selamat dan pegawai penguat kuasa COVID-19?

Apakah bidang kuasa duta jarak selamat atau pegawai penguat kuasa jarak selamat?

Anggaran Waktu Membaca:
Apa bezanya duta jarak selamat dan pegawai penguat kuasa COVID-19?

Lilitan berwarna merah disarungkan di lengan seorang pegawai penguat kuasa jarak selamat di Singapura. (Gambar: Kementerian Sekitaran dan Sumber Air)

Diterbitkan : 05 Aug 2021 09:55AM Dikemas Kini : 05 Aug 2021 09:59AM

SINGAPURA: Apakah bidang kuasa duta jarak selamat atau pegawai penguat kuasa jarak selamat?

Pada Isnin (2 Ogos), Penguasa Pembangunan Semula Bandar(URA) menjelaskan pegawai penguat kuasa jarak selamat boleh memasuki, memeriksa dan membuat kerja mencari di pelbagai premis termasuk kediaman individu, tanpa waran, bagi memeriksa bahawa peraturan COVDI-19 dipatuhi.

Penjelasan itu dibuat sebagai respons kepada video yang dimuatnaik pelakon Nick Mikhail ke media sosial. Beliau mempersoal mengapa pegawai berkenaan boleh memasuki rumahnya tanpa waran atau perintah mahkamah.

URA menyatakan para pegawainya "akan menyesuaikan pendekatan mereka bagi setiap premis berdasarkan keadaan setiap kes".

SOALAN: Apakah perbezaan antara duta jarak selamat dan pegawai penguat kuasa jarak selamat?

JAWAPAN: Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), perbezaan utama antara duta jarak selamat dengan pegawai penguat kuasa adalah duta tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap anggota awam jika mereka tidak mematuhi peraturan, seperti mengeluarkan denda.

Tugas seorang duta adalah untuk mengingatkan perniagaan dan orang ramai akan langkah-langkah jarak selamat seperti memakai pelitup serta meninggalkan ruang yang secukupnya ketika beratur.

Duta SG Clean memegang tanggungjawab serupa dengan duta jarak selamat. Mereka juga tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.

“Seperti pegawai polis, pegawai penguat kuasa diberi kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap orang awam kerana melanggar langkah-langkah jarak selamat," jelas NEA di lamannya.

Di tempat awam, sesiapa yang didapati melanggar langkah jarak selamat, termasuk gagal atau enggan mematuhi arahan pegawai penguat kuasa, dia akan diminta untuk memberikan butiran peribadinya, menurut NEA.

SOALAN: Bagaimana saya tahu jika seseorang itu adalah pegawai penguat kuasa?

JAWAPAN: Pegawai penguat kuasa dan duta boleh dikenal pasti melalui pakaian korporat agensi masing-masing, pas kakitangan atau lanyard, menurut NEA.

Mereka akan membawa pas pegawai penguat kuasa atau pas duta.

Pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat boleh dikenal pasti melalui pas-pas ini. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

(Pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat boleh dikenal pasti melalui pas-pas ini. Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Pegawai penguat kuasa mungkin memakai lilitan berwarna merah di lengannya, menurut Kementerian Sekitaran dalam kenyataan medianya pada April 2020.

Anggota awam juga boleh meminta seorang pegawai untuk mengesahkan identiti mereka sebelum mematuhi arahan mereka, menurut NEA.

SOALAN: Siapa yang boleh dilantik menjadi pegawai penguat kuasa?

JAWAPAN: Menurut Seksyen 35(1) Akta (Langkah-Langkah Sementara) COVID-19, individu berikut ini boleh dilantik sebagai pegawai penguat kuasa:

- pegawai polis

- pegawai kesihatan yang dilantik di bawah Seksyen 4(1)(a) atau (b) Akta Penyakit Berjangkit

- pegawai awam

- pegawai dari sebuah badan berkanun

- penolong pegawai polis

- pekerja sebuah institusi yang ditetapkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kecuali bagi tujuan subseksyen 2(b).

Pegawai penguat kuasa dari URA dianggap sebagai pegawai awam atau pegawai sebuah badan berkanun.

SOALAN: Apa yang boleh dilakukan seorang pegawai penguat kuasa jarak selamat?

JAWAPAN: Menurut Seksyen 35(5) Akta (Langkah-Langkah Sementara) COVID-19, pegawai penguat kuasa mempunyai "semua kuasa yang dipegang seorang pegawai kesihatan" di bawah Seksyen-Seksyen 55A, 55B dan 57 Akta Penyakit Berjangkit.

Seksyen 55 menyatakan bahawa pegawai kesihatan boleh memasuki, memeriksa dan menggeledah sebarang premis" atau "menghentikan, menaiki, memeriksa dan membuat kerja mencari mana-mana pengangkutan" di mana penularan telahpun berlaku atau disyaki berlaku.

Mereka boleh berbuat demikian pada bila-bila masa tanpa waran dan dengan paksa jika perlu bagi tujuan menyiasat bagi sebarang penularan atau penularan yang disyaki. Ini juga boleh dilakukan bagi tujuan mencegah penularan lanjut atau kemungkinan penularan berlaku bagi sebarang penyakit berjangkit.

Jika seseorang disyaki melanggar peraturan COVID-19, seperti mempunyai jumlah tetamu melebihi had yang dibenarkan, pegawai penguat kuasa boleh memeriksa premis mereka tanpa waran.

Semasa tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), saiz kumpulan bagi perhimpunan sosial dihadkan kepada dua orang. Terdapat juga had dua tetamu bagi setiap isi rumah setiap hari.

Pesalah akan diberi notis di tapak atau melalui kiriman pos, menurut NEA. Ia menambah orang ramai tidak harus sama sekali menyerahkan wang tunai kepada individu yang mendakwa dirinya pegawai penguat kuasa kerana tiada pembayaran segera diperlukan.

SOALAN: Boleh saya berkeras tidak mahu mengikut arahan pegawai penguat kuasa?

JAWAPAN: Tidak boleh. Menurut Seksyen 35 (9) Akta (Langkah-Langkah Sementara) COVID-19, anda akan melakukan kesalahan jika tanpa alasan yang munasabah, enggan atau gagal mematuhi arahan pegawai penguat kuasa.

Di bawah Seksyen 35(11) bagi Akta yang sama, hukuman bagi keengganan untuk mematuhi arahan pegawai penguat kuasa adalah denda sehingga S$10,000, penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi pesalah kali pertama.

Untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya, hukuman yang dikenakan berbentuk denda tidak melebihi S$20,000, penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, individu yang sengaja menghalang seorang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya boleh dikenakan denda sehinga S$2,500, penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan