Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Seah Kian Peng mohon maaf salah anggap Teo Soh Lung sebagai anggota SDP

Anggota Parlimen (AP) Seah Kian Peng hari ini (3 Sep) mengeluarkan kenyataan maaf melalui catatan Facebook kerana menyalah anggap bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri Teo Soh Lung sebagai seorang anggota Parti Demokratik Singapura (SDP).

Anggaran Waktu Membaca:
AP Seah Kian Peng mohon maaf salah anggap Teo Soh Lung sebagai anggota SDP

Anggota Parlimen Seah Kian Peng.

Diterbitkan : 03 Sep 2018 04:29PM Dikemas Kini : 03 Sep 2018 04:34PM

SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) Seah Kian Peng hari ini (3 Sep) mengeluarkan kenyataan maaf melalui catatan Facebook kerana menyalah anggap bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri Teo Soh Lung sebagai seorang anggota Parti Demokratik Singapura (SDP).

Catatannya dimuat naik selepas SDP menarik perhatian bahawa Cik Teo tidak lagi menganggotai parti pembangkang itu.

"Memandangkan Cik Teo sebelum ini seorang calon SDP semasa Pilihan Raya Umum 2011, saya menyalah anggapnya sebagai seorang anggota. Saya memohon maaf atas kekeliruan ini dan berterima kasih dengan SDP kerana memberikan penjelasan," kata Encik Seah.

Sabtu lalu (1 Sep), Encik Seah memuat naik satu catatan di Facebook tentang satu mesyuarat di Kuala Lumpur antara sekumpulan aktivis Singapura - yang dipimpin ahli sejarah Thum Ping Tjin dan penentang politik Tan Wah Piow - dengan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad.

Dalam catatan yang sama, beliau menulis bahawa Cik Teo berkata melalui satu komen dalam video yang dimuat naik ke The Online Citizen bahawa "Singapura bukan sebahagian daripada Malaya la".

"Apakah itu benar? Itulah yang PJ Thum, Teo Soh Lung dan SDP benar-benar percaya?" kata Encik Seah.

"Perhatikan beliau katakan 'Malaya', bukan 'Malaysia'. Ini yang dipertahankan Parti Komunis Malaya (CPM) - bahawa Malaysia bukan satu plot imperialisme, dan pemisahan dan kemerdekaan Singapura adalah satu penipuan."

SDP membalas catatan Facebook yang mengatakan "Dr Thum dan Cik Teo bukan anggota SDP (dan) maka itu, bukan memberi buah fikiran bagi pihak parti ini ataupun mewakili kami dalam apa cara pun".

"Kami tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mesyuarat itu mahupun berkata apa-apa tentang perkara ini. Kami hanya mengetahui tentang mesyuarat Dr Thum dengan Dr Mahathir melalui laporan-laporan media," menurut parti tersebut.

Menerusi catatan Facebooknya hari ini (3 Sep), Encik Seah juga mengajak para netizen supaya bersikap bertanggungjawab di ruang media sosial.

"Memandangkan kami mempunyai pandangan yang berbeza, saya mengajak anda supaya menjaga kesopanan ketika mengeluarkan sebarang komen dan cuba supaya tidak terlalu terbawa-bawa dengan perasaan atau mengeluarkan kata-kata kesat. Kami semua boleh memberi pandangan dan kekal berbudi bahasa tidak kira tentang apa saja perkara yang dibincangkan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan