Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP saran gantung sumbangan CPF, panjangkan cuti jaga anak

Syarikat-syarikat penghantaran makanan seperti Grab dan Deliveroo mungkin boleh mengkaji semula yuran komisen bagi para peruncit makanan, pekerja pembersihan boleh diberikan lebih gaji dan Pemerintah mungkin boleh menimbangkan penggantungan jangka pendek pada sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Anggaran Waktu Membaca:
AP saran gantung sumbangan CPF, panjangkan cuti jaga anak

Gambar fail.

Diterbitkan : 07 Apr 2020 02:45PM Dikemas Kini : 07 Apr 2020 02:53PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat penghantaran makanan seperti Grab dan Deliveroo mungkin boleh mengkaji semula yuran komisen bagi para peruncit makanan, pekerja pembersihan boleh diberikan lebih gaji dan Pemerintah mungkin boleh menimbangkan penggantungan jangka pendek pada sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Saranan-saranan ini dibangkitkan oleh para Anggota Parlimen (AP) untuk mempertingkatkan sokongan kepada rakyat dan perusahaan yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Rata-rata para AP mengalu-alukan langkah-langkah sokongan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam Belanjawan Kesepakatan yang dibentangkan pada Isnin (7 April) serta Belanjawan Berdaya Tahan yang diumumkan pada 26 Mac. Namun di Parlimen, mereka juga membangkitkan beberapa keprihatinan dan jurang pada bantuan yang dihulurkan.

Seramai 33 AP berucap dalam masa enam jam pada Isnin dan berkongsi maklum balas yang dikumpul mereka berhubung langkah-langkah yang didedahkan dalam belanjawan kedua dan ketiga untuk membantu perusahaan-perusahaan, para pekerja dan keluarga menangani krisis COVID-19.

Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pakej-pakej khas yang berjumlah S$48 bilion bagi Belanjawan Berdaya Tahan dan S$5.1 bilion bagi Belanjawan Kesepakatan. Belanjawan Kesepakatan akan mengeluarkan lagi S$4 bilion daripada rizab negara.

Cik Foo Mee Har, AP GRC West Coast berkata demi semangat perpaduan, syarikat-syarikat yang menikmati "faedah yang jauh lebih banyak" harus berkongsi faedah-faedah tersebut dengan para rakan niaga, kakitangan dan ekosistem lebih luas.

Beliau memberi contoh syarikat penghantaran makanan seperti Grab dan Deliveroo yang mengambil komisen antara 30 hingga 35 peratus. Beliau berharap agar model komisen perusahaan syarikat tersebut boleh dikaji semula memandangkan penghantaran mungkin menjadi sumber pendapatan utama bagi cawangan-cawangan makanan semasa tempoh jarak selamat diperketatkan.

Mulai 7 April hingga 4 Mei, kedai-kedai makan di sini hanya dibenarkan melakukan penghantaran atau menawarkan makanan bungkus kepada para pelanggan.

"Model perniagaan yang baru itu harus membawa kepada perkongsian yang lebih adil dari segi kos dan faedah, dalam kalangan 'rakan kongsi' perniagaan dan pekerja penghantar makanan.

"Syarikat-syarikat penghantaran makanan harus menyesuaikan kadar komisennya supaya cawangan-cawangan makanan berpeluang untuk mengekalkan perniagaan mereka.

"Bagi para penghantar makanan yang bertugas, kita sebagai pengguna boleh memainkan peranan kita," kata Cik Foo, sambil menambah bahawa para pelanggan harus memberi para penghantar makanan 'tip' antara 5 hingga 10 peratus harga makanan yang ditempah.

PEKERJA YANG DIPAKSA AMBIL CUTI TANPA GAJI

Encik Louis Ng, AP bagi GRC Nee Soon berkata bahawa lebih banyak pertimbangan boleh diberikan kepada golongan yang masih diambil bekerja tetapi dipaksa mengambil potongan gaji dan cuti tanpa gaji atau pekerja yang dibayar gaji mengikut berapa jam mereka bekerja tetapi dikurangkan syif atau masa bekerja.

Satu-satunya skim sokongan yang boleh dimanfaatkan oleh golongan ini adalah Dana Bantuan Sementara yang menawarkan bantuan tunai sekali sahaja sebanyak S$500, kata beliau.

"Bagi sesetengah pekerja, ia mungkin lebih berbaloi jika mereka kehilangan pekerjaan kerana mereka boleh mendapatkan Dana Bantuan Sementara dan Geran Bantuan COVID-19 bagi golongan yang menganggur," kata Encik Ng.

Beliau menyarankan agar Geran Bantuan COVID-19 diluaskan untuk menyokong gaji bulanan golongan pekerja tersebut sehingga S$800 selama tiga bulan atau sehingga mereka kembali bertugas seperti biasa.

Geran itu menyokong individu-individu yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 dengan menawarkan bantuan kewangan sementara mereka mencari pekerjaan baru atau menjalani latihan.

BERI IBU BAPA LEBIH CUTI JAGA ANAK

Encik Ng juga berkata bahawa ibu bapa harus diberikan lebih cuti untuk menjaga anak semasa tempoh pembelajaran di rumah selama empat minggu. Sesetengah kanak-kanak di prasekolah dan tadika juga dikehendaki duduk di rumah.

Beliau menjelaskan bahawa ibu bapa tersebut mungkin tidak mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah dan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, yang menyebabkan mereka bimbang akan kehilangan pekerjaan mereka.

"Saya berharap kita boleh mengusulkan cuti menjaga anak yang dibiayai pemerintah bagi para ibu bapa yang bekerja dalam khidmat-khidmat penting atau sektor ekonomi utama yang anak-anak kecil mereka terjejas oleh peraturan duduk di rumah berkaitan COVID-19," kata beliau.

SUMBANGAN CPF

Encik Lim Wee Kiak, AP GRC Sembawang berkata meskipun beliau memahami betapa pentingnya sumbangan kepada skim simpanan negara iaitu Tabung Simpanan Pekerja (CPF), beliau menyarankan supaya menggantung sumbangan bagi tempoh tiga hingga enam bulan ini bagi mengurangkan kos tenaga kerja para majikan dan untuk meningkatkan gaji bulanan yang dibawa pulang para pekerja yang dibayar gaji.

Beliau turut menyarankan untuk menggantung sumbangan wajib kepada MediSave bagi golongan yang bekerja sendiri, termasuk para pemandu teksi.

"Bersama dengan Skim Bantuan Pekerjaan yang dipertingkatkan, ini akan menampung lebih lanjut kos tenaga kerja para majikan. Bagi para pekerja dan individu yang bekerja sendiri, ia akan mengurangkan beban aliran tunai mereka," kata beliau.

Di bawah Skim Bantuan Pekerjaan yang diumumkan dalam Belanjawan Februari lalu, Pemerintah menawarkan subsidi gaji kepada para majikan dalam industri- industri tertentu untuk membantu mereka mengekalkan tenaga kerja rakyat Singapura dan penduduk tetap.

Pada Isnin (6 Apr), sokongan itu diperluaskan agar perusahaan-perusahaan dalam semua industri dapat menerima subsidi 75 peratus untuk gaji pekerja tempatan bagi bulan April.

TINGKATKAN GAJI WIRA SEBENAR

Encik Ong Teng Koon, AP GRP Marsiling-Yew Tee berkata pandemik ini telah membuktikan bahawa doktor, jururawat, pekerja farmasi, guru, penjaga, pekerja perbekalan awam, pekerja pembersihan, kakitangan penghantar barangan adalah wira sebenar.

Beliau berkata ia mungkin sudah tiba masanya untuk kita memikirkan bagaimana untuk memberi ganjaran dan insentif kepada wira sebenar ini dengan nilai yang sewajarnya, dan bukan berdasarkan nilai yang ditentukan oleh syarikat-syarikat.

TINGKATKAN PENGILANGAN MAKANAN

Encik Murali Pillai, AP Bukit Batok berkata, untuk menangani isu keselamatan makanan, Pemerintah harus memperuntukkan lebih banyak tanah (1 peratus) untuk tujuan pertanian sebagai sebahagian daripada wawasan "30-menjelang-30". Pemerintah menetapkan matlamat untuk menghasilkan 30 peratus keperluan makanan penduduk Singapura menjelang 2030. Buat masa ini, lebih 90 peratus bekalan makanan Singapura diimport.

Beliau berkata untuk usaha itu berjaya, rakyat Singapura mesti menyokong perusahaan-perusahaan pertanian di sini dan menerima harga yang lebih tinggi yang dikaitkan dengan penyimpanan bekalan makanan.

Encik Saktiandi Supaat, AP GRC Bishan-Toa Payoh menyarankan agar Singapura menetapkan sasaran untuk menghasilkan 50 peratus atau lebih keperluan makanan menjelang 2030 dan bukan 30 peratus, berbanding kurang 10 peratus sekarang.

Beliau berkata sedang negara ini melaksanakan strategi berbilang pendekatan, langkah-langkah perlindungan diri oleh pemerintah-pemerintah lain semasa krisis ini boleh menyebabkan bekalan makanan berkurangan. Oleh itu, adalah penting untuk Singapura mempunyai sumber makanan yang stabil. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan