Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Rahayu Mahzam luah pengalaman membesarkan anak Sindrom Down

Mencapai keseimbangan dalam kerjaya dan juga tanggungjawab sebagai seorang ibu, kata Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam, adalah salah satu cabaran terbesar dalam hidupnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
AP Rahayu Mahzam luah pengalaman membesarkan anak Sindrom Down

Anggota Parlimen Rahayu Mahzam bersama anaknya, Ayden. (Gambar: Rahayu Mahzam)

Diterbitkan : 11 Aug 2018 11:21AM Dikemas Kini : 11 Aug 2018 11:51AM

SINGAPURA: Mencapai keseimbangan dalam kerjaya dan juga tanggungjawab sebagai seorang ibu, kata Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam, adalah salah satu cabaran terbesar dalam hidupnya. Namun jelas, peguam itu juga seronok menjalankan peranan barunya sebagai seorang ibu kepada anak lelakinya Ayden yang berusia 16 bulan.

Isu-isu yang dihadapinya adalah lumrah bagi ramai ibu lain yang bekerja. Tetapi, perjalanannya berbeza sedikit.

Semasa sidang parlimen pada bulan lalu, Cik Rahayu mendedahkan, anaknya mengalami Sindrom Down.

BERSIKAP TERBUKA

Cik Rahayu tidak pernah menyembunyikan tentang keadaan Ayden daripada keluarga mahupun sahabat-sahabatnya.

Dalam ucapannya, beliau secara terbuka berkongsi tentang pengalaman peribadinya sebagai seorang ibu kepada anak berkeperluan khas dan menyeru supaya lebih banyak diusahakan dalam bidang pendidikan inklusif. Itu merupakan kali pertama, kata Cik Rahayu, beliau mendedahkan keadaan anaknya di "wadah umum sebegitu".

"Saya ingin membicarakan tentang isu itu kerana saya tahu ia sebahagian cabaran-cabaran yang dihadapi ibu bapa lain, ia bukan sahaja tentang diri saya," katanya. "Dan saya juga tidak ingin melabelkan anak saya, kerana dia masih kecil.

"Orang lain mungkin akan memandangnya secara berlainan selepas itu."

(Gambar: Rahayu Mahzam)

(Gambar-gambar: Rahayu Mahzam)

Meskipun mempunyai kebimbangan, Cik Rahayu meneruskan keputusannya untuk membuat ucapan tersebut, kerana beliau berasa perkara-perkara yang diutarakan penting dan relevan kepada ibu bapa lain yang mempunyai anak-anak istimewa. Sesetengah pihak, katanya, menghubunginya selepas beliau menyampaikan ucapan itu.

"Pengalaman, perasaan dan emosi... Saya ingin sampaikan mesej itu dan umumnya orang ramai menghargai luahan saya."

TIDAK MENERUSKAN KANDUNGAN BUKAN SATU PILIHAN

Cik Rahayu mendapat tahu tentang kemungkinan Ayden mengalami Sindrom Down ketika hamil sekitar lima bulan. Kelainan genetik, yang disebabkan satu kromosom tambahan, boleh menjejas proses pembangunan kanak-kanak Sindrom Down.

"Ia amat membimbangkan saya, kerana ia bukan sahaja tentang Sindrom Down," jelas Cik Rahayu. "Terdapat pelbagai isu lain dan juga kemungkinan bayi tidak selamat dilahirkan.

"Ketika saya bertanya kepada doktor-doktor tentang apa yang boleh saya lakukan atau ada sebarang rawatan, mereka katakan tidak, tetapi saya boleh memilih untuk tidak meneruskan kandungan saya."

Namun, pilihan untuk menggugurkan kandungan tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Saya sudah lama menantikan seorang cahaya mata, saya sangat menghargai kehidupan dan saya tahu tentu ada sebab di sebalik apa sahaja yang berlaku... bagi saya, ia satu lagi dugaan dalam hidup yang perlu saya tempuhi," katanya.

Cik Rahayu pernah berkongsi dalam satu wawancara sebelum ini bahawa beliau dan suaminya menjalani rawatan untuk menimang cahaya mata. Beliau turut berkongsi bahawa beliau pernah mengalami keguguran, dan ini membuatnya lebih berhati-hati.

"Saya tidak ingin terlalu memikirkannya, tetapi itu membuat saya lebih bimbang," kata Cik Rahayu. "Ada rasa ketidakpastian dan kebimbangan bayi saya tidak dapat dilahirkan dengan selamat.

"Saya tidak membeli barang-barang bayi sehinggalah pada saat-saat akhir kerana saya tidak pasti bayi saya akan membesar," tambah Cik Rahayu.

Beliau mengimbas kembali tentang bagaimana beliau akan menyibukkan diri dan "tidak terlalu memikirkannya", supaya beliau tidak terus dilanda kebimbangan. Namun, satu lagi perkara yang perlu beliau tangani adalah perasaan anggota keluarganya yang lain.

"Saya perlu memberitahu mereka supaya mereka boleh persiapkan diri secara mental, tetapi saya tidak sanggup melihat reaksi mereka," katanya, merujuk kepada perbualan bersama ibunya.

"Saya sukar untuk memberitahunya... jangan terlalu ghairah kerana sesuatu mungkin berlaku dan saya harap ibu mengerti," katanya. "Pada masa yang sama, ibu perlu terus berdoa dan mengharapkan yang terbaik."

Namun, Cik Rahayu bersyukur dengan sokongan yang diberikan keluarganya. Mereka membantunya dalam pelbagai cara dan beliau amat menghargai sokongan mereka.

"SAYA TIDAK DAPAT RAIKAN KELAHIRAN KERANA AYDEN TIADA DI SISI SAYA"

Masih jelas di fikiran, detik-detik mengharukan ketika Ayden dilahirkan, kerana beliau tidak dapat bersamanya.

"Pada hari pertama, saya hanya dapat melihatnya sebentar sebelum mereka mengambilnya untuk menjalankan ujian," jelas Cik Rahayu.

"Apabila orang ramai datang untuk menziarah saya, mereka akan bertanya tentang Ayden dan kerana beliau ditempatkan di wad khusus, tiada siapa yang dapat melihatnya.

"Saya tidak dapat meraikannya kerana dia tidak berada di sisi saya. Jadi saya memberikan tumpuan untuk segera pulih, supaya saya dapat berjalan dan melihatnya."

Beliau mengimbas kembali tentang satu masa beliau tidak dapat berhenti menangis ketika dikhabarkan bahawa Ayden dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi Bayi (NICU).

(Gambar: Rahayu Mahzam/ Facebook)

Gambar pertama Ayden yang dikongsi AP Rahayu Mahzam. (Gambar: Rahayu Mahzam/ Facebook)

"Ketika saya berjalan ke NICU, saya tiba-tiba menangis," kata beliau.

"Jururawat yang berada di sana seperti panik, dan mereka membawa saya ke satu bilik di mana para doktor yang sangat baik hati menjelaskan kepada saya tentang keadaan Ayden," katanya. "Mujur, Ayden hanya sukar untuk bernafas, jadi mereka membawanya ke NICU kerana semua peralatan ada dalam unit itu."

SOKONGAN DARIPADA KELUARGA, MASYARAKAT

Sekitar tiga minggu kemudian, Ayden dibenarkan pulang dari hospital. Bagaimanapun, Cik Rahayu perlu kerap ke hospital kerana Ayden sering perlu menjalani pemeriksaan.

Malah, beliau harus ke Hospital KK hampir "setiap minggu".

"Saya berasa letih dan saya perlu kerja," katanya sambil menambah bahawa beliau kembali bekerja "agak awal". Beliau juga menyambung tugas-tugasnya sebagai seorang AP.

Beliau tidak lagi sibuk seperti dahulu, kerana sudah terbiasa dengan jadual anaknya. Beliau juga bersyukur dengan sokongan keluarga yang berterusan selepas beliau bersalin.

Beliau menyifatkan dirinya sebagai bertuah kerana mempunyai rangkaian ahli keluarga yang boleh beliau harapkan untuk menjaga Ayden ketika beliau dan suami perlu bekerja.

"Semua dapat menerima Ayden," katanya. "Sebelum ini saya berasa bimbang, tetapi saya juga kini sudah menerima segalanya, kerana saya tahu ada orang yang akan terus menyokong saya."

Masyarakat berkeperluan khas juga memberi sokongan.

Pada awalnya, beliau hanya berbual-bual dengan para ibu bapa di sesi Persatuan Sindrom Down, tetapi kini beliau sebahagian daripada kumpulan WhatsApp bagi ibu bapa dengan anak Sindrom Down, yang beliau sifatkan sebagai "sumber rujukan bagi banyak perkara".

PERJUANGKAN MASYARAKAT BERKEPERLUAN KHAS

Cik Rahayu akur beliau berada dalam kedudukan yang unik sebagai seorang AP kerana beliau berpeluang untuk menyuarakan isu-isu yang dekat di hatinya. Misalnya, bagi masyarakat berkeperluan khas.

Kali pertama Ayden menyambut Hari Kebangsaan pada 2017.

Namun, beliau menolak sebarang perbandingan antaranya dengan AP Denise Phua yang dikenali kerana sering menyuarakan tentang golongan berkeperluan khas.

"Saya yakin saya dapat membantu, tetapi saya tidak rasa yang saya mampu menggantikan tempatnya," katanya. "Beliau sudah melakukannya selama bertahun-tahun, beliau seorang legenda tersendiri dalam bidang ini.

"Yang jelas, saya sudah menyuarakan pandangan saya berkaitan sektor ini, kerana saya menghargainya dan saya mempunyai saluran maklum balas yang saya boleh sampaikan. Jadi saya rasa, saya juga dapat memainkan peranan."

Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang perjalanannya sebagai seorang ibu, jelas Cik Rahayu sangat menghargai masa-masanya bersama Ayden.

"Sudah tentu saya bimbang, tetapi saya akan mengharunginya," kata beliau. "Saya berasa sangat bertuah dan bernasib baik kerana diberikan amanah untuk menjaganya."

"Kami sedang melakukan yang terbaik bagi memastikan Ayden dapat menyesuaikan dirinya," tambah beliau. "Tetapi saya berharap orang ramai tidak akan mengejek, mengetepikan atau mengambil kesempatan ke atasnya.

"Saya harap dunia ini akan menjadi tempat lebih baik baginya apabila beliau sudah besar nanti."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan