Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Mariam Jaafar kolaborasi dengan kumpulan hip-hop hasilkan lagu, video muzik Raya

Berucap di Parlimen serta sibuk bertemu dan melayan penduduk memang sudah menjadi tugas Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berucap di Parlimen serta sibuk bertemu dan melayan penduduk memang sudah menjadi tugas Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar.

Tapi sempena Aidilfitri tahun ini beliau mengambil satu lagi peranan. Kini beliau turut bergelar seorang 'artis rakaman' setelah mengambil langkah berkolaborasi dengan kumpulan hip-hop untuk menghasilkan sebuah lagu dan muzik video Hari Raya. BERITAmediacorp diberi tontonan previu kepada video tersebut.

Namun yang pasti kolaborasi tersebut bukan sekadar hiburan, tetapi ada kena-mengena dengan COVID-19.

BERANIKAN DIRI MASUK STUDIO RAKAM LAGU RAYA

Kolaborasi menghasilkan lagu baru berjudul 'Raya Sikit-Sikitlah' itu dibuat dengan kumpulan Suratkhabar Lama, yang terdiri daripada Mawar Berduri, 2KangKata dan P-3ye.

(Gambar: Petikan skrin sedutan video muzik di YouTube)

Memberanikan diri untuk masuk studio dan merakamkan sebuah lagu Hari Raya bagaimanapun bukan 'rancangan asal' beliau untuk Aidikfitri ini.

Cik Mariam berkongsi: "Mula-mula saya setakat nak rakam satu video ucapan Hari Raya saja. Ingat nak buat video bunga api ke masak-masak di kampong, tapi kita punya pasukan MAEC Woodlands ini, mereka minta saya nyanyi.

"Bukan nak jadi AP yang ada lagu sendiri ke apa, sebenarnya tidaklah, ini semuanya sebenarnya hanya untuk mencuba melakukan sesuatu yang berbeza untuk menceriakan sambutan Hari Raya bagi penduduk Woodlands juga."

TERAPKAN PEMATUHAN LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT

Sebenarnya lagu Raya ini mempunyai matlamat pendidikan sosial dan bertemakan pematuhan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 ketika beraya nanti.

Ini termasuk menasihati orang ramai supaya beraya dengan sederhana, mengehadkan tetamu serta mengekalkan jarak selamat agar tidak saling berjangkit semasa berkunjung-kunjungan nanti.

(Gambar: Petikan skrin sedutan video muzik di YouTube)

"Terutama sekali bahagian - sama-sama kita berjaga-jaga supaya Raya tahun depan kita dapat beraya seperti biasa," ujar Cik Mariam.

Penyanyi hip hop berpengalaman Mawar Berduri juga berkongsi pengalaman pertamanya bersama Cik Mariam.

"Pada mulanya takut juga, kita tak pernah buat lagu dengan ahli politik, takut salah atau dia kurang serasi. Jadi Alhamdulillah lagu yang kita buat sangat rancak, maksudnya sangat mendalam nak disampaikan kepada semua," ceritanya kepada BERITAmediacorp.

Video itu akan dilancarkan di YouTube pada malam Raya nanti (12 Mei), tapi sudah boleh anda dengar di Spotify.

Ia juga akan dipersembahkan buat kali pertama di acara Gema Syawal di Wisma Geylang Serai pada 28 Mei ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan