Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Louis Ng ulangi usul haramkan merokok di tingkap, balkoni rumah

Merokok di tingkap dan balkoni rumah seharusnya diharamkan, kata Anggota Parlimen (AP) Louis Ng (PAP-Nee Soon) pada Isnin (13 Sep) sedang beliau mempersoalkan mengapa undang-undang sedia ada tidak digunakan untuk menangani isu pendedahan kepada asap rokok daripada jiran tetangga. 

Anggaran Waktu Membaca:
AP Louis Ng ulangi usul haramkan merokok di tingkap, balkoni rumah

Seorang lelaki merokok di tempat awam. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 14 Sep 2021 11:50AM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 11:53AM

SINGAPURA: Merokok di tingkap dan balkoni rumah seharusnya diharamkan, kata Anggota Parlimen (AP) Louis Ng (PAP-Nee Soon) pada Isnin (13 Sep) sedang beliau mempersoalkan mengapa undang-undang sedia ada tidak digunakan untuk menangani isu pendedahan kepada asap rokok daripada jiran tetangga.

Bercakap dalam usul penangguhannya tentang menggunakan langkah pencegahan untuk mengatasi isu pendedahan kepada asap rokok di rumah, Encik Ng menarik perhatian bahawa Seksyen 43 Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar (EPHA) memberi kuasa kepada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi "menghapuskan gangguan yang bersifat umum".

Gangguan seumpama itu termasuk "melepaskan sebarang asap, wap, gas, haba, penyinaran atau bau di mana-mana premis yang mengganggu atau membahayakan atau memudaratkan kesihatan."

“Ini jelas sekali seperti pendedahan kepada asap rokok," kata Encik Ng. "Mengapa Pemerintah tidak menggunakan undang-undang ini untuk mengambil pendirian jelas bahawa merokok di tingkap dan balkoni adalah haram?"

Menjawab pertanyaan Encik Ng selepas ucapannya itu, Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor berkata seksyen-seksyen berkenaan dalam Akta tersebut tidak boleh digunakan untuk melarang merokok di tingkap dan balkoni.

“Bahagian EPHA ini digubal dalam konteks tahun-tahun 1960-an Singapura untuk mengambil tindakan bagi pengurangan segera risiko untuk menangkap (individu) yang melakukan gangguan awam menerusi kegiatan tertentu industri. Bukan tujuan EPHA untuk menangani larangan merokok," jelasnya.

Dr Khor menambah Akta itu menangani gangguan yang menjejas masyarakat umum secara amnya dan bukan gangguan peribadi yang menjejas kesenangan seseorang serta menyukarkannya daripada mengguna ruang di rumahnya.

“Untuk mencapai pencegahan, bukan sahaja kita memerlukan undang-undang yang betul, kita juga memerlukan penguatkuasaan yang berkesan. Malangnya, penilaian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) adalah ini tidak boleh dikecapi dengan kaedah serta teknologi penguatkuasaan sedia ada," ujarnya.

Ini adalah usul penangguhan kedua yang difailkan Encik Ng berhubung pendedahan kepada asap rokok di rumah. Pada Oktober tahun lalu, beliau juga menggesa agar larangan dikenakan ke atas penduduk yang merokok di tingkap atau balkoni.

Dalam ucapannya pada Isnin, Encik Ng berkata sekitar satu orang di Singapura meninggal dunia setiap hari akibat terdedah kepada asap rokok, berdasarkan 383 kematian yang dilaporkan pada 2016, dengan jumlahnya "meningkat setiap tahun".

Menurut beliau, ini adalah lima kali lebih tinggi berbanding jumlah orang yang mati dalam kemalangan motor, tujuh kali lebih ramai daripada mereka yang meninggal dunia akibat koronavirus dan 12 kali lebih banyak berbanding jumlah individu yang maut akibat kecederaan di tempat kerja.

“Berbeza dengan punca-punca kematian lain ini, tiada langkah pencegahan yang anda boleh ambil terhadap pendedahan kepada asap rokok di rumah," kata beliau.

Encik Ng kemudian berkongsi tentang cerita-cerita oleh beberapa penduduk flat HDB serta kondominium yang gagal untuk menghalang jiran mereka daripada merokok.

Sambil merujuk kajian-kajian, beliau menambah pendedahan kepada asap rokok membuatkan kanak-kanak berkemungkinan tinggi mengalami Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif atau ADHD, di samping beberapa penyakit pernafasan lain.

PENDEKATAN TIGA PERINGKAT

Encik Ng mencadangkan pendekatan tiga peringkat untuk pencegahan, dengan menyifatkannya sebagai "satu kuasa yang kita belum manfaatkan dengan secukupnya".

Pertama, Pemerintah seharusnya mengharamkan merokok di tingkap dan balkoni, kata beliau.

"Untuk lebih jelas, Jawatankuasa Parlimen bagi Kemampanan dan Sekitaran tidak menggesa agar perbuatan merokok di rumah diharamkan," jelas beliau.

"Kami tahu ia hampir mustahil untuk menguatkuasakan satu larangan ke atas merokok di rumah...Tuan, kami menggesa Pemerintah untuk menjadikan ia jelas bahawa merokok di tingkap dan balkoni adalah haram."

Dengan menggunakan EPHA, Pemerintah boleh mengurangkan masalah pendedahan kepada asap rokok di rumah kerana "rakyat Singapura takut untuk melanggar undang-undang", kata beliau.

"Ia juga akan membantu jiran menjadi orang tengah kerana pesalah tidak lagi boleh berkata tingkah laku mereka adalah sah," beliau memberitahu Parlimen, sambil menambah bahawa ia juga akan "memberi lebih banyak kuasa" kepada para pegawai NEA.

Peringkat kedua adalah kesedaran, kata Encik Ng, sambil menarik perhatian bahawa NEA boleh menggunakan layar LCD di lobi HDB bagi kempen sedemikan.

“Skrin-skrin itu terletak berdekatan dengan tempat di mana kesalahan berlaku dan berkemungkinan besar mempunyai kesan ketara," ujar Encik Ng.

Peringkat akhir adalah untuk menguatkuasakan undang-undang.

Encik Ng menarik perhatian ulasan Dr Khor pada Oktober lalu apabila beliau berkata bagi memastikan penguatkuasaan dilakukan, kamera mesti menangkap perokok ketika dia sedang merokok. Dr Khor berkata oleh kerana perokok boleh bersembunyi di belakang penghadang untuk mengelak daripada dikesan, "ini mungkin memerlukan pengerahan sumber yang banyak tanpa mencapai hasil yang berkesan".

Encik Ng berhujah bahawa perokok tidak mungkin akan bersembunyi di belakang tiang, tingkap atau langsir untuk merokok.

"Sebagai seorang bekas perokok, saya boleh memberitahu anda perokok merokok di tingkap dan balkoni sememangnya untuk melepaskan asap ke luar rumah mereka; ia akan tidak masuk akal untuk berselindung di sebalik sesuatu penghadang," ujarnya.
"Jika mereka bersembunyi seperti mana digambarkan oleh SMS (Menteri Negara Kanan) Amy, maka ia akan menjadi satu perkara baik dan bukannya perkara buruk kerana ia akan membantu membendung kebanyakan asap rokok yang dihembuskan di dalam rumah mereka."

Berhubung keberkesanan kamera litar tertutup, Encik Ng berkata ia akan menjadi langkah terakhir sambil menambah bahawa "sebahagian besar" akan mematuhi undang-undang apabila mereka menyedari bahawa merokok di tingkap dan balkoni adalah haram.

“Bagi segelintir kes di mana perokok terus merokok di tingkap dan balkoni, maka penguatkuasaan diambil," katanya.

Apabila perokok mengulangi kesalahan mereka walaupun sudah menerima nasihat atau perintah gangguan, Encik Ng mengusulkan untuk mengumpulkan bukti daripada para pengadu. NEA juga boleh menjalankan rondaan, kata beliau.

Bagi "sebilangan kecil kes" di mana kamera litar tertutup perlu digunakan, Pemerintah boleh mengekalkan privasi dengan memalingkan kamera ke bahagian luar bangunan, tambah beliau.

PEROKOK AKAN CARI JALAN ELAK DITANGKAP

Melarang merokok di tingkap dan balkoni hanya akan memastikan perokok mencari jalan untuk mengelak daripada ditangkap, kata Dr Khor.

“Mereka boleh merokok di sudut balkoni atau di dalam tandas dengan tingkap dan kipas pengudaraan, yang sudahpun dilakukan oleh sesetengah orang. Asap akan tetap berlegar keluar dan masih boleh memasuki unit berdekatan," jelas beliau.

Dr Khor menambah NEA tidak boleh mendakwa "berdasarkan aduan asap semata-mata atau bau mahupun asap yang dihembus dari unit jiran".

Pengadu biasanya tidak dapat "mengenal pasti dengan tepat" sumber asap itu, kata beliau. Oleh itu, setiap kes memerlukan "tenaga buruh dan sumber yang besar untuk menyiasat tanpa jaminan penguatkuasaan yang berjaya".

Menjalankan siasatan akan memerlukan "tukar ganti sosial yang ketara", kata Dr Khor kerana kamera perlu mempunyai resolusi yang mencukupi dan disasar secara langsung ke dalam unit. Ini berkemungkinan termasuk jiran-jiran yang tidak bersalah, tambah beliau.

Dr Khor menarik perhatian NEA sudahpun mempergiat tindakan penguatkuasaannya. Pada 2020, ia mengeluarkan 11,000 tiket bagi kesalahan merokok di kawasan terlarang di kawasan HDB yang dikongsi berbanding 7,100 pada 2019.

Kebanyakan perokok "bekerjasama", tambah beliau, sambil menarik perhatian kurang 10 peratus maklum balas yang diterima kementerian berulang dalam setahun.

Dr Khor turut berkata bidang kuasa lain yang sudah cuba melaksanakan peraturan berbuat demikian, melakukannya dengan "amat memilih" dan "belum menyaksikan kejayaan yang jelas".

SASAR KURANGKAN PERBUATAN MEROKOK

AP Poh Li San (PAP-Sembawang), yang menyokong usul itu, mencadangkan Pemerintah terus menyasarkan untuk mengurangkan jumlah perokok dalam tempoh lima hingga 10 tahun seterusnya.

Beliau berkata satu pengumuman baru-baru ini pada Julai menunjukkan Singapura sudahpun mencapai kadar merokok sebanyak 10.1 peratus iaitu hanya "kurang sedikit" berbanding sasaran 10 peratus menjelang 2020 yang ditetapkan pada 2018.

“Adalah baik jika kita boleh memperkenalkan kempen lebih agresif untuk membantu mereka yang benar-benar mahu berhenti merokok dan juga memperkenalkan satu mesej meyakinkan mengenai bahaya merokok kepada kanak-kanak pada usia awal," katanya.

Dalam responsnya, Dr Khor berkata Singapura sudahpun meluaskan larangan merokok kepada lebih 32,000 tempat.

“Kami kini mahu meluaskan larangan merokok ke lebih banyak tempat," katanya.

"Usaha bersepadu" sudah mengurangkan kadar merokok di Singapura ke 10.1 peratus pada 2020, iaitu separuh daripada purata sejagat sebanyak 20 peratus.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan