Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Louis Ng saran Pemerintah sediakan 2 tempat duduk kanak-kanak bagi teksi, kereta sewa privet

Meskipun tempat duduk kanak-kanak terbukti dapat menyelamatkan nyawa, salah seorang Anggota Parlimen (AP) mengusulkan pada Selasa (11 Mei) agar Pemerintah membekalkan dua tempat duduk sedemikian kepada setiap teksi dan kenderaan sewa privet di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
AP Louis Ng saran Pemerintah sediakan 2 tempat duduk kanak-kanak bagi teksi, kereta sewa privet

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 12 May 2021 12:06PM Dikemas Kini : 12 May 2021 12:13PM

SINGAPURA: Meskipun tempat duduk kanak-kanak terbukti dapat menyelamatkan nyawa, salah seorang Anggota Parlimen (AP) mengusulkan pada Selasa (11 Mei) agar Pemerintah membekalkan dua tempat duduk sedemikian kepada setiap teksi dan kenderaan sewa privet di Singapura.

Encik Louis Ng, AP GRC Nee Soon, juga menyarankan agar pihak berkuasa menimbangkan untuk menggugurkan pengecualian pada Akta Lalu Lintas Jalan Raya yang dibuat beberapa dekad yang lalu, bagi mewajibkan penumpang kanak-kanak duduk di tempat duduk khas semasa menaiki teksi.

Berucap semasa usul penangguhan pada hujung sidang parlimen pada Selasa, Encik Ng berkata: “Teknologi tempat duduk kanak-kanak sudah meningkat dengan drastik sejak ketika itu. Apa yang dahulu selamat sekarang lebih selamat, dan yang dahulunya tidak praktikal tetapi sekarang praktikal. Undang-undang dan dasar kita mesti mengikut peredaran masa. "

Akta Lalu Lintas Jalan Raya mewajibkan sesiapa saja dengan ketinggian bawah 1.35 meter dan ingin melakukan perjalanan menaiki kenderaan bermotor dijamin dengan kaedah pengawal keselamatan yang diluluskan bersesuaian dengan ketinggian dan berat badan seseorang, seperti tempat duduk khas untuk kanak-kanak. Kewajipan ini juga dikenakan ke atas kenderaan sewa privet.

Teksi bagaimanapun dikecualikan daripada undang-undang ini, walaupun tempat duduk seperti itu "sangat berkesan dalam melindungi kanak-kanak", kata Encik Ng.

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Ng berkata bahawa beliau berharap agar usulannya dicuba terlebih dahulu dan pihak berkuasa selanjutnya boleh mengkaji bagaimana tempat duduk sedemikian boleh digunakan sebelum menimbangkan untuk mewajibkannya.

Dalam usulannya itu, Encik Ng turut merujuk kepada kajian oleh Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK yang mendapati bahawa kanak-kanak yang tidak menggunakan tempat duduk khas adalah 8.4 kali lebih berkemungkinan cedera parah dalam kemalangan jalan raya berbanding mereka yang menggunakannya.

"Saya menghormati para pemandu teksi kita, tetapi mereka tidak kebal terhadap sesuatu yang tidak diingini," kata Encik Ng.

Memberi tempat duduk khas itu kepada semua teksi dan kenderaan sewa privet akan mendatangkan beberapa manfaat, katanya.

Sekiranya dilaksanakan, ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak tidak perlu membawa beberapa tempat duduk bersama mereka sekiranya mereka mahu menaiki teksi, dan ini juga akan menjimatkan keluarga.

Tempahan melalui aplikasi Grab seperti GrabFamily, yang menyediakan tempat duduk kanak-kanak dalam kereta, biasanya lebih mahal berbanding perjalanan biasa, kata Encik Ng.

Mungkin juga akan kurang berlaku perselisihan faham antara pemandu dengan penumpang yang mempunyai anak kecil, tambahnya, menjelaskan bagaimana pemandu kereta sewa privet kadangkala terpaksa menolak tempahan penumpang dengan anak kecil disebabkan oleh ketiadaan tempat duduk khas.

"Usulan saya boleh meleraikan isu ini".

Sambil menunjukkan sampel tempat duduk khas yang dibawanya ke Dewan Parlimen, AP itu berkata kemudahan seperti itu hampir tidak menggunakan ruang but kereta dan boleh dipasang dalam masa sekitar seminit saja.

Jelas beliau, ia lebih pantas daripada membantu seorang penumpang berkerusi roda atau memunggah beg.

Berdasarkan sebut harga yang telah diterimanya, Encik Ng menganggarkan saranannya untuk memberikan dua tempat duduk bagi setiap kenderaan akan bernilai sekitar S$15 juta, serupa dengan jumlah geran dan insentif yang diperuntukkan bagi mengurangkan bahaya daripada alat mobiliti peribadi atau e-skuter.

Pada 2008, apabila seorang budak lelaki tercampak dari bas sekolah dalam kemalangan jalan raya, lebih S$35 juta dibelanjakan untuk memasang tali pinggang keledar pada bas-bas kecil, katanya.

Encik Ng turut mengusulkan satu kempen kesedaran untuk membantu ibu bapa memahami betapa pentingnya menggunakan tempat duduk khas dan juga bekerjasama dengan pihak hospital untuk menggalak penggunaannya.

“Kita mesti memupuk budaya di mana tempat duduk kanak-kanak selalu digunakan. Bukan setakat kadangkala saja, tetapi selalu menggunakannya." 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan