Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP gerakan buruh, NMP beri pandangan tentang kenaikan kadar CPF pekerja lebih tua

Para Anggota Parlimen (AP) dari gerakan buruh dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) memberikan reaksi mereka pada Ahad (18 Ogos) berhubung pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan

Anggaran Waktu Membaca:
AP gerakan buruh, NMP beri pandangan tentang kenaikan kadar CPF pekerja lebih tua

Gambar fail bangunan CPF. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 11:25AM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 11:29AM

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) dari gerakan buruh dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) memberikan reaksi mereka pada Ahad (18 Ogos) berhubung pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan bahawa kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi segolongan pekerja lanjut usia akan dinaikkan.

Encik Lee berkata Singapura akan mula menaikkan kadar sumbangan CPF bagi para pekerja melebihi usia 55 tahun mulai 2021. Apabila perubahan itu selesai dilaksanakan, mereka berusia 60 tahun ke bawah akan menikmati kadar CPF sepenuhnya.

Encik Lee menambah bahawa kadar sumbangan CPF akan dikurangkan secara bertahap-tahap selepas usia mencecah 60 tahun dan kemudian mendatar setelah mencecah usia 70 tahun. Menurut beliau lagi,
keseluruhan proses akan mengambil masa sekitar 10 tahun, bergantung kepada keadaan ekonomi.

Buat masa ini, kadar sumbangan CPF keseluruhan adalah 37 peratus bagi para pekerja yang berusia sehingga 55 tahun.

Ia kemudian dikurangkan secara bertahap-tahap: 26 peratus bagi pekerja berusia 55 hingga 60 tahun, 16.5 peratus bagi pekerja berusia 60 hingga 65 tahun dan 12.5 peratus bagi para pekerja berusia melebihi 65 tahun.

Dalam responsnya, AP gerakan buruh Patrick Tay, Zainal Sapari dan Heng Chee How berkata mereka mengalu-alukan langkah untuk meningkatkan kadar CPF bagi para pekerja berusia melebihi 55 tahun mulai 2021. Bagaimanapun mereka juga memahami bahawa syarikat-syarikat mungkin mempunyai keprihatinan berhubung isu kos dan cabaran untuk melaksanakan langkah tersebut.

Encik Heng menarik perhatian dua "realiti" yang dihadapi Singapura sebagai alasan untuk menerima perubahan itu: jangka hayat rakyat Singapura dan kekangan buruh.

Memandangkan warga Singapura kian hidup lebih lama, Encik Heng berkata terdapat keperluan untuk membantu golongan pekerja lebih tua dengan memberi mereka pilihan untuk bekerja lebih lama dan menyediakan mereka untuk usia persaraan dengan lebih baik lagi

Encik Tay, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Tenaga Manusia, menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat juga mempunyai keprihatinan.

"Kami akan sentiasa ada keprihatinan bahawa pekerja lebih tua mungkin kurang produktif. Saya fikir syarikat-syarikat harus menyerahkannya kepada teknologi. Kami sudahpun melihat syarikat-syarikat yang berjaya menggunakan teknologi untuk mereka semula pekerjaan mereka," katanya.

Beliau menambah syarikat-syarikat akan mempunyai masa untuk membuat persediaan sambil berkata terdapat beberapa skim seperti SkillsFuture yang boleh dimanfaatkan oleh para majikan seandainya mereka perlu menyokong latihan semula para pekerja untuk menjadikan mereka lebih mudah diambil bekerja apabila meningkat usia kelak.

Memberi pandangan yang sama, Naib Pengerusi GPC Tenaga Manusia Zainal Sapari berkata: "Kami di gerakan buruh memahami apakah antara keprihatinan yang ada dan itulah sebabnya kami tidak mempunyai jadual tetap (untuk perubahan itu)."

Meskipun gerakan buruh akan mendorong syarikat dan membantu mereka, Encik Zainal menggesa para pekerja agar menjaga kesihatan diri mereka dan terus menimba ilmu supaya mereka kekal boleh diambil bekerja apabila menjangkau usia lebih tua.

"BUKANKAH ANDA HARUS DILAYANI SAMA SEPERTI PARA PEKERJA LAIN?": WALTER THESEIRA

NMP Walter Theseira berkata para pekerja berusia sehingga 65 tahun harus menerima sumbangan CPF "penuh" sebanyak 37 peratus.

"Tiada sebab untuk kami tidak menetapkan sasaran menaikkan kadar sumbangan CPF sama sehingga usia kelayakan untuk mengeluarkan CPF, iaitu pada 65 tahun," kata Profesor Madya Teseira yang mengajar Ekonomi.

Beliau menyarankan Pemerintah supaya mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan perubahan tersebut ke atas golongan pekerja lebih tua secara lebih meluas.

"Hakikatnya, jika anda tidak diperlukan untuk bersara, bukankah anda harus dilayani sama seperti para pekerja lain?" katanya.

Turut bersetuju dengan Profesor Madya Theseira supaya perubahan dibuat kepada usulan itu ialah NMP Anthea Ong yang meminta kenaikan kadar sumbangan CPF itu dilaksanakan lebih cepat.

Menurutnya, ia akan mendorong pekerja lebih tua - golongan pekerja yang penting bagi ekonomi - untuk bekerja lebih lama.

Merujuk kepada kenaikan usia persaraan secara bertahap-tahap dari 62 tahun ke 65 tahun dan usia pengambilan semula pekerja dari 67 tahun ke 70 tahun menjelang 2030, Cik Ong berkata: "Kami mahu mereka bekerja lebih lama, kami juga seharusnya menyediakan mereka lebih banyak dari segi sumbangan CPF."

Kenaikan usia bagi persaraan pertama dari 62 tahun ke 63 tahun serta pengambilan semula pekerja dari 67 tahun ke 68 tahun akan dilaksanakan pada 2022 namun sektor Perkhidmatan Awam akan melaksanakannya setahun lebih awal.

Perubahan tersebut akan berkuatkuasa setelah Pemerintah menerima kesemua cadangan yang dibentangkan oleh sebuah kumpulan kerja tiga pihak yang sedang mengkaji tentang tenaga kerja yang kian menua di Singapura.

STRUKTUR GAJI SATU MASALAH DASAR

Walaupun perubahan dasar itu menerima sokongan daripada kedua-dua gerakan buruh dan para NMP, Profesor Madya Theseira menarik perhatian bahawa struktur gaji sedia ada adalah satu isu yang perlu ditangani dalam mendapatkan para majikan untuk melaksanakan perubahan pada usia persaraan serta sumbangan CPF lebih tinggi untuk pekerja lebih tua.

Di bawah struktur gaji sedia ada, ramai pekerja menerima kenaikan gaji sepanjang beberapa tahun dan mencapai gaji tertinggi apabila mereka lebih tua. Hal ini menjadi satu masalah apabila para pekerja lebih tua ini kurang produktif.

"Seorang majikan akan berfikir: Saya sudahpun menjalankan komitmen untuk membayar pekerja ini gaji yang lebih dan lebih setiap tahun tetapi dia menjadi kurang produktif," terang Profesor Madya Theseira.

Pekerja harus mencapai gaji tertinggi pada peringkat lebih awal kehidupan mereka dan gaji mereka seharusnya dikurangkan secara bertahap-tahap apabila daya keluaran mereka merosot, katanya.

Beliau juga mencadangkan struktur gaji lebih fleksibel untuk memenuhi pelbagai keperluan di peringkat kehidupan yang berbeza.

Ini seterusnya menjadikannya lebih menarik bagi syarikat untuk mengambil pekerja yang lebih tua, jelasnya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan