Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Faishal Ibrahim, Tan Wu Meng giat bantu penghantar makanan e-skuter

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pepatah ini menggambarkan para pekerja penghantar makanan, terutamanya mereka yang kurang upaya, yang bergantung kepada penggunaan skuter elektrik untuk mencari rezeki.

Anggaran Waktu Membaca:
AP Faishal Ibrahim, Tan Wu Meng giat bantu penghantar makanan e-skuter

(kiri) Dr Tan Wu Meng dan Encik Saire Adnan. (kanan) Dr Faishal Ibrahim semasa bertemu para pekerja penghantar makanan. (Gambar-Gambar: Tan Wu Meng, Faishal Ibrahim/Facebook)

BERITAmediacorp: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pepatah ini menggambarkan para pekerja penghantar makanan, terutamanya mereka yang kurang upaya, yang bergantung kepada penggunaan skuter elektrik untuk mencari rezeki.

Meskipun sebahagian besar pekerja penghantaran makanan menggunakan mod pengangkutan yang lain seperti motosikal dan basikal, sekitar 7,000 daripada mereka menggunakan skuter elektrik (e-skuter).

Sebilangan Anggota Parlimen (AP) kini giat berusaha untuk membantu para pekerja penghantaran makanan yang terjejas akibat larangan yang mengharamkan penggunaan e-skuter di laluan jalan kaki.

Mereka termasuk Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga adalah pengerusi Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP).

Dr Faishal dan Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min pada Jumaat (8 Nov) bertemu dengan sebilangan penghantar makanan bagi mendengar sendiri pandangan mereka mengenai larangan tersebut.

Semasa pertemuan itu, Dr Faishal turut meninjau petisyen yang ditandatangani oleh 119 orang yang meminta Pemerintah supaya mengawal selia penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD) dan bukan setakat mengharamkannya saja.

Dalam catatan di laman Facebooknya semalam (8 Nov), Dr Faishal berkata sejak beberapa minggu lalu, pelbagai agensi Pemerintah serta Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan syarikat-syarikat khidmat penghantaran makanan seperti Grab, Deliveroo dan Foodpanda sudah berganding bahu untuk menghasilkan Pakej Bantuan Peralihan (TAP).

Menurut beliau, Geran Tukar Beli e-skuter (eTG) bernilai S$7 juta sedang ditubuhkan bagi membantu para pekeja penghantaran makanan menukar alat sedia ada kepada bentuk pengangkutan lain seperti basikal, Basikal Bermotor (PAB) atau Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA).

"Saya dan para anggota AMAP mengalu-alukan langkah ini dan berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu para penghantar makanan kita.

"Bantuan juga akan disediakan bagi para penunggang yang ingin menimbangkan pilihan pekerjaan lain ataupun mereka yang memerlukan bantuan kewangan," katanya lagi.

Dr Faishal juga menggesa orang ramai supaya "menghulurkan bantuan kepada para penghantar makanan bagi menyokong mereka sepanjang tempoh peralihan ini".

PENGHANTAR MAKANAN KURANG UPAYA TURUT DIBANTU

Nasib para penghantar makanan kurang upaya turut menarik perhatian orang ramai, termasuk AP GRC Jurong Tan Wu Meng.

Menyusuli pengumuman mengenai larangan itu, sebilangan penduduk Clementi menyuarakan keprihatinan mengenai jiran mereka, Encik Saire Adnan yang bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood.

Walaupun kehilangan kaki kanannya sejak kecil lagi, Encik Saire tidak sekali-kali membiarkan keadaannya itu daripada menghalang beliau memberikan khidmat sebaik mungkin.

"Saya pernah bertemu dengan Saire sebelum ini. Meskipun Saire kehilangan kakinya ketika usia muda, namun beliau tetap aktif dan bekerja sebagai seorang penghantar makanan bagi membantu menyara kehidupan keluarganya," kata Dr Tan, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan.

Memberikan perkembangan terkini mengenai keadaan Encik Saire menerusi laman Facebooknya pada Jumaat (8 Nov), Dr Tan berkata: "Larangan terhadap penggunaan e-skuter di laluan jalan kaki baru-baru ini bertujuan untuk melindungi para pejalan kaki daripada para penunggang yang tidak bertanggungjawab."

Namun disebabkan oleh tingkah laku sesetengah penunggang yang tidak bertanggungjawab, Dr Tan berkata, "ini bermakna para penunggang yang bertanggungjawab turut terjejas - termasuk mereka seperti Saire yang bergantung kepada e-skuter untuk mencari nafkah".

Dr Tan menambah bahawa beliau sudahpun mengongsi situasi yang dihadapi Encik Saire, yang sebelum ini bekerja dengan syarikat Deliveroo, bersama rakan sekerjanya di Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Saya juga sudah bertanya agensi-agensi kami tentang bagaimana Encik Saire dapat dibantu," katanya lagi.

Sejak larangan itu diumumkan pada Isnin (4 Nov), para penghantar makanan sudah menyuarakan keprihatinan mereka mengenai bagaimana peraturan baru itu akan menjejas mata pencarian mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan