Images
  • office worker
    (Gambar: TODAY)

AP ambil 'pendirian tegas' tangani isu rasisme, xenofobia dalam perbahasan pekerja asing: PM Lee

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (15 Sep) berkata bahawa beliau gembira para Anggota Parlimen (AP) mengambil "pendirian tegas terhadap rasisme dan xenofobia" semasa perbahasan 10 jam di Parlimen.

Para AP "dengan keras menolak percubaan untuk menggunakan kebimbangan dan keresahan rakyat Singapura untuk membelah bahagi dan melemahkan kita", kata PM Lee dalam satu catatan Facebook, sambil menambah ini "perkembangan baik" bagi masa depan Singapura.

Pada awal pagi tadi, Parlimen meluluskan usulan oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong untuk melindungi pekerjaan dan mata pencarian rakyat Singapura, menyusuli satu perbahasan selama 10 jam yang bermula pada petang Selasa dan berlarutan hingga waktu tengah malam.

Parlimen juga menolak usulan bertentangan oleh anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai yang menyeru Pemerintah supaya "mengambil tindakan mendesak dan konkrit bagi menangani keresahan dalam kalangan rakyat Singapura berhubung pekerjaan dan mata pencarian yang disebabkan oleh dasar bakat asing".

Kedua-dua usulan itu dibahaskan bersama namun diundi berasingan.

PM Lee berkata perbahasan selama 10 jam itu adalah penting.

"Yang dipertaruhkan bukan hanya dasar-dasar kita tentang warga asing, tetapi juga nilai masyarakat kita dan keyakinan kita dan azam untuk berdepan dunia yang tidak menentu, serta melakarkan laluan hadapan bersama," katanya.

"Warga asing yang tinggal dan bekerja di sini menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat kita. Mereka merupakan sebahagian daripada masyarakat tempatan," kata PM Lee.

Usulan Encik Wong mengakui keresahan yang dialami rakyat Singapura tentang pekerjaan dan persaingan dalam "ekonomi global dan pesat berubah", di samping mengesahkan keperluan Singapura untuk kekal terbuka dengan dunia.

"Dasar kami tentang pekerja asing mewujudkan banyak pekerjaan dan peluang. Meskipun begitu, rakyat Singapura masih resah dan prihatin berhubung persaingan daripada warga asing yang bekerja di sini," kata PM Lee.

"Kami sedang menangani keprihatinan itu dan masalah yang dicetuskan kerana mempunyai jumlah besar penduduk asing dalam masyarakat."

Singapura harus kekal terbuka dan mengalu-alukan kehadiran rakyat asing, katanya.

"Jika kita hanya melihat ke dalam negara dan bersikap bermusuhan dengan mereka, ia akan menjejas diri kita sebagai sebuah hab global dan kita kehilangan pelaburan dan pekerjaan," kata PM Lee.

- CNA/HA/ha

Top