Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anugerah Gemilang MENDAKI diperkenalkan; 4 pelajar penerima pertama

Satu kategori baru Anugerah MENDAKI diperkenalkan tahun ini dalam usaha menjana para pelajar Melayu/Islam yang menjadi peran-peran contoh melangkaui pencapaian akademik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu kategori baru Anugerah MENDAKI diperkenalkan tahun ini dalam usaha menjana para pelajar Melayu/Islam yang menjadi peran-peran contoh melangkaui pencapaian akademik.

Dipanggil Anugerah Gemilang MENDAKI, empat orang terpilih menjadi penerima sulungnya.

Anugerah tersebut didedahkan dan disampaikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli hari ini (12 Okt).

517 PELAJAR MELAYU TERIMA ANUGERAH MENDAKI 2019

Sepanjang hari ini, hampir 520 pelajar Melayu/Islam naik pentas bagi diiktiraf kecemerlangan mereka dalam bidang pendidikan dan juga bukan pendidikan.

Kesemuanya, 17 kategori anugerah dikeluarkan - dari peringkat PSLE hinggalah ke peringkat universiti, di acara Anugerah MENDAKI 2019 itu.

Namun, jika tahun lalu jumlah rekod tertinggi 616 orang menerima Anugerah MENDAKI, tahun ini jumlahnya berkurangan kepada 517 sahaja.

Ini setelah semakan terhadap ukur tara Anugerah MENDAKI dilakukan untuk penganugerahan tahun ini, menjadikannya lebih ketat. Iaitu ia berdasarkan paradigma bahawa kejayaan setiap individu Melayu bukan terletak hanya pada pencapaian akademik, sebaliknya perlu lebih menyeluruh.

ANUGERAH GEMILANG MENDAKI DIPERKENAL

Lantaran itulah kategori baru - Anugerah Gemilang MENDAKI - diperkenalkan.

Ia diberikan kepada para penuntut yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga memberi kesan positif kepada kehidupan orang lain.

Ini selaras dengan falsafah pendidikan peringkat nasional yang menekankan pembangunan holistik seseorang pelajar atau individu. Semakan itu juga selaras dengan gagasan 'Masyarakat Gemilang' yang diutarakan Encik Masagos sejak Jun tahun ini.

Gagasan 'Masyarakat Gemilang' berteraskan tiga ciri iaitu sifat-sifat Keperibadian mulia, Kemahiran dalam akademik dan bukan akademik, serta sifat Kewarganegaraan yang prihatin terhadap masyarakat dan negara.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Encik Masagos berkata: "Semakan yang kita adakan ia melambangkan perubahan kepada sistem pendidikan dan makna pencapaian dalam masyarakat kita."

"Bukan hanya untuk mencapai kejayaan ke puncak seperti mendapatkan kepujian Kelas Pertama tetapi asalkan kita habis mencapai pendidikan yang sempurna supaya menjadi satu batu lonjakan untuk pendidikan sepanjang hayat kita. Inilah yang boleh menjadikan masyarakat kita terus tahan lasak dalam perubahan ekonomi yang dirasakan di seluruh dunia," kata beliau, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

Satu lagi perubahan tahun ini ialah pengenalan kategori Anugerah Pencapaian Akademik.

Ia diberikan kepada pelajar terbaik dalam kohort masing-masing dan tahun ini ia diberikan kepada pelajar terbaik ITE, Politeknik, Universiti, GCE 'A' dan International Baccalaureate (IB).

Anugerah Pencapaian Akademik dahulunya dikenali sebagai Anugerah Pencapaian Khas bagi Kecemerlangan Akademik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan