Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota sindiket kes penipuan pelaburan rentas sempadan dihukum penjara lebih 12 tahun

Anggota sindiket  kes penipuan pelaburan rentas sempadan dihukum penjara lebih 12 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota sindiket kes penipuan pelaburan rentas sempadan dihukum penjara lebih 12 tahun

Pejabat-pejabat di Marina Bay promenade di Singapore. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 19 Apr 2021 05:50PM Dikemas Kini : 19 Apr 2021 05:54PM

SINGAPURA: Seorang anggota sindiket yang dikaitkan dengan satu skim penipuan pelaburan rentas sempadan bernilai S$2.5 juta, yang dilakukan menerusi syarikat-syarikat dengan pejabat palsu di Pusat Kewangan Marina Bay, hari ini (19 Apr) dijatuhi hukuman penjara 12 tahun satu bulan.

Warga China Wei Yong, 44 tahun, menghabiskan kebanyakan wang hasil jenayahnya dalam berjudi. Jumlah judinya mencecah S$30 juta di kasino-kasino Singapura yang tidak mampu dibayarnya semula.

Wei mengaku bersalah atas lima tuduhan, termasuk menipu dan memiliki pasport palsu Myanmar. Lagi enam tuduhan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Wei tidak mempunyai pekerjaan tetap di Hubei dan Beijing sebelum menganggotai sebuah sindiket pada 2015 dan 2016. Kumpulan itu membuat perancangan di Beijing pada 2016 untuk menubuhkan dan menggunakan syarikat-syarikat palsu untuk melakukan penipuan.

Syarikat-syarikat palsu itu termasuk American Ageas PE Fund Inc, Pfizer Private Fund Inc dan Nanyang Capital Management.

PENIPUAN

Sindiket itu menyasarkan mangsa yang mempunyai nilai aset yang tinggi untuk mempercayai bahawa syarikat-syarikat palsu tersebut dapat mengumpul dana pelaburan bagi pihak perniagaan mereka, dengan memberikan gambaran bahawa ia beroperasi di hab-hab kewangan yang mantap seperti Amerika Syarikat dan Singapura.

Mereka akan meminta mangsa memindahkan yuran pentadbiran untuk memudahkan pengumpulan dana dan membiayai kos berkaitan dengannya.

Para mangsa - yang datang dari China dan Korea Selatan - juga diundang menghadiri sesi perbincangan dan bengkel-bengkel kewangan, pelaburan dan perniagaan di China, Singapura dan Amerika.

Untuk memperkukuh tanggapan bahawa syarikat-syarikat itu mempunyai perniagaan yang berwibawa di Singapura, para mangsa diterbangkan dan diundang ke pejabat mereka di Pusat Kewangan Marina Bay di daerah pusat perniagaan (CBD).

Para anggota sindiket itu, termasuk tertuduh, juga akan berpakaian secara profesional dan berada di pejabat untuk mencerminkan seolah-olah ia adalah perniagaan yang sah.

Hakikatnya, kumpulan itu menyewa lokasi-lokasi mesyuarat tersebut untuk memperdaya mangsa menandatangani kontrak, sebelum mengarahkan mereka memindahkan yuran menerusi khidmat pengiriman wang.

Antara bulan Mac 2017 dengan Julai 2019, empat mangsa memindahkan wang antara 930,000 yuan (S$180,000) dengan 2.6 juta yuan (S$500,000) kepada sindiket tersebut.

Selepas mengambil wang itu, anggota kumpulan tersebut tidak lagi dapat dihubungi.

Sejak November 2017, Pasukan Polis Singapura (SPF) menerima beberapa aduan tentang skim penipuan pelaburan rentas sempadan yang dilakukan oleh sebuah sindiket jenayah rentas sempadan yang bertempat di China.

Seramai 10 mangsa di China membuat 10 aduan kepada SPF. Mereka mengalami kerugian berjumlah S$2.5 juta kesemuanya.

PASPORT PALSU

Pada November 2019, polis memberkas Wei di Lapangan Terbang Changi dan menemui pasport palsu Myanmar yang tertera gambarnya.

Dia mengaku membuat aturan untuk membeli pasport itu pada harga 40,000 yuan pada awal 2019 daripada seorang ejen China supaya dapat menikmati "manfaat" memiliki pasport Myanmar. Ini termasuk membeli rumah dan tanah di Myanmar pada harga rendah.

Dia berniat untuk terbang ke Myanmar untuk mencuba nasib sama ada dia dapat masuk semula ke Singapura menggunakan pasport palsu itu, tetapi ditangkap semasa cuba meninggalkan Singapura menggunakan pasport China.

Wei berkata dia sering ke Kasino Marina Bay Sands dan Resort World Sentosa, untuk berjudi.

Rekod-rekod di kasino menunjukkan dia mempertaruhkan sebanyak S$30 juta di kasino Singapura antara Mei 2015 dengan November 2019.

Sehingga hari ini, Wei mahaupun mereka yang bersubahat dengannya tidak membuat sebarang bayaran balik kepada kasino. Sebahagian anggota sindiket juga masih berleluasa.

Bagi setiap tuduhan menipu, Wei boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda. Bagi kesalahan memiliki pasport palsu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda sehingga S$10,000. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan