Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota samseng dijel 7 tahun & 10 bulan, disebat; simpan senjata api, peluru di flat Jurong West

Selepas bekas isteri kawan rapatnya dipukul oleh seorang anggota samseng, Muhammad Ikram Abdul Aziz, yang dia sendiri menganggotai kumpulan kongsi gelap, membeli sepucuk pistol untuk menolong rakannya dan menakut-nakutkan mereka dari geng lain. 

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota samseng dijel 7 tahun & 10 bulan, disebat; simpan senjata api, peluru di flat Jurong West

Muhammad Ikram Abdul Aziz membeli pistol dan lapan peluru itu di Johor Baru, Malaysia. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/SPF)

Diterbitkan : 01 Mar 2021 10:54PM Dikemas Kini : 02 Mar 2021 07:04AM

SINGAPURA: Selepas bekas isteri kawan rapatnya dipukul oleh seorang anggota samseng, Muhammad Ikram Abdul Aziz, yang dia sendiri menganggotai kumpulan kongsi gelap, membeli sepucuk pistol untuk menolong rakannya dan menakut-nakutkan mereka dari geng lain.

Ikram berhasil mendapatkan pistol separa automatik Seahawk secara haram termasuk lapan butir peluru semasa ke Johor Bahru, Malaysia bersama ibu bapanya.

Selama tujuh bulan, dia menyimpan pistol itu di flatnya di Jurong West. Dia juga menawarkan senjata itu kepada rakannya, Amirul Asyraff Muhammad Junus, tetapi dia enggan menerima senjata api tersebut.

Hanya ketika para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) menyerbu rumah Ikram kerana mengesyakinya mengambil dadah, barulah para pegawai menemui senjata dan peluru tersebut.

Ikram, 26, yang juga dikenali sebagai Sonic, dihukum penjara selama tujuh tahun dan 10 bulan dan enam sebatan pada Isnin (1 Mac).

Pengendali gerai makan itu mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki senjata api secara haram di bawah Akta Kesalahan Senjata Api - kes pertama seumpama itu sejak 2009.

Dia tidak didakwa dengan tuduhan-tuduhan berkaitan dengan dadah atau kongsi gelap.

Amirul, 26, pula didakwa bersubahat dengan seseorang yang memiliki senjata api. Kesnya masih belum dibicarakan. Dia bertugas sebagai seorang pegawai keselamatan pada 2019.

BAGAIMANA IA BERMULA

Pada Jan 2019, Amirul mendapat tahu bahawa seorang lelaki yang dikenali sebagai Faris, memukul bekas isterinya di luar kelab malam Baliza yang terletak di pusat beli-belah Marina Square.

Wanita itu memberitahu Amirul bahawa Faris 'mengisytiharkan' bahawa dia adalah dari 'Teck Whye' yang Amirul tahu adalah kumpulan samseng yang kerap pergi ke kelab malam tersebut. Amirul kemudian memberitahu Ikram mengenai perkara tersebut dan dia mahu membalas dendam. Ikram memberitahu Amirul supaya jangan bertindak terburu-buru dan dia akan menolongnya tetapi tidak mahu terlibat dalam pergaduhan kerana dia mempunyai anak kecil.

Ikram kemudian memutuskan untuk membeli pistol demi keselamatan mereka dan bagi menakut-naukutkan para anggota kumpulan Teck Whye itu untuk menunjukkan bahawa Amirul tidak boleh dibuli.

BELI PISTOL S$1,400

Sekitar Feb 2019, Ikram pergi ke Johor Bahru bersama teman wanitanya dan Amirul di mana dia diam-diam pergi ke kedai tatu di pusat beli-belah berkenaan untuk mendapatkan sepucuk pistol.

Seorang lelaki yang menghampirinya di luar kedai itu akhirnya memberitahunya bahawa dia boleh menjual sepucuk pistol pada harga S$900. Ikram bersetuju dan menyerahkan wang tunai kepada lelaki tersebut.

Lelaki itu bagaimanapun mengambil masa terlalu lama untuk kembali dengan pistol dan Ikram pulang ke Singapura pada lewat hari tersebut.

Beberapa hari kemudian, Ikram dihubungi oleh lelaki berkenaan yang memberitahunya bahawa pistol itu sudah tiada lagi tetapi dengan bayaran lagi S$500, dia boleh membeli senapang 'yang lebih cantik'.

Ikram bersetuju dengan saranan itu dan dia memandu ke Johor Bahru bersama ibu bapanya. Dia kemudian memasukkan wang RM1,500 (S$491) ke dalam akaun bank lelaki tersebut.

Apabila lelaki itu menyerahkan beg yang mengandungi pistol, kelongsong dan peluru kepadanya, Ikrak berkata dia hanya mahukan senapang itu sahaja.

Ikram bagaimanapun tidak berani menolak peluru tersebut kerana dia seorang warga asing di Malaysia, menurut Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Norine Tan.

Pada keesokan harinya, Ikram pulang ke Singapura bersama pistol tersebut. Dia memutuskan untuk membawa senapang itu bersamanya dan tidak meninggalkannya di kondominium sewanya kerana dia memerhatikan para pegawai kastam jarang memeriksa barang-barangnya jika dia melakukan perjalanan bersama dengan ibu bapanya.

Dia kemudian membeli sarung pistol melalui Carousell pada harga S$15 dan sepasang sarung tangan.

Semasa bersendirian di biliknya, dia meninjau-ninjau ciri-ciri pistol tersebut.

AMIRUL TERKEJUT LIHAT PISTOL

Sekitar Mac 2019, Amirul terkejut apabila Ikram menunjukkan pistol tersebut kepadanya di rumahnya.

Menurut Ikram, pistol tersebut adalah cara yang paling mudah untuk dia menolong Amirul.

DPP Tan memberitahu mahkamah: "Ikram kemudian bertanya Amirul sama ada dia ingin membawa pistol itu pulang tetapi Amirul enggan."

Pada 8 Okt 2019, para pegawai CNB menahan Ikram di kolong Blok 731 Jurong West Street 72 kerana disyaki melakukan kesalahan dadah.

Salah seorang pegawai menemui empat butir peluru dalam sarung tangan yang disimpan dalam rak almari paling tinggi dalam bilik pakcik Ikram. Seorang lagi pegawai menemui senapang yang berisi peluru termasuk kelongsongnya dalam satu lagi almari.

Atas kesalahan memiliki senjata api secara haram, Ikram boleh dihukum penjara selama sekurang-kurangnya lima tahun dan dirotan sekurang-kurangnya enam kali. 

Sumber : CNA/NJ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan