Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota samseng dihukum penjara, rotan atas serangan maut di St James Power Station

Seorang anggota kumpulan samseng yang terlibat dalam serangan berkumpulan yang mengakibatkan kematian seorang lelaki di St James Power Station dua tahun lalu dihukum penjara lapan setengah tahun dan lapan sebatan rotan pada Selasa (14 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota samseng dihukum penjara, rotan atas serangan maut di St James Power Station

Muhammad Faizal Jamal antara yang diberkas. (Gambar: Robin Choo/TODAY)

Diterbitkan : 14 May 2019 05:20PM Dikemas Kini : 14 May 2019 05:25PM

SINGAPURA: Seorang anggota kumpulan samseng yang terlibat dalam serangan berkumpulan yang mengakibatkan kematian seorang lelaki di St James Power Station dua tahun lalu dihukum penjara lapan setengah tahun dan lapan sebatan rotan pada Selasa (14 Mei).

Pekerja pemunggah barangan Muhammad Faizal Md Jamal, yang kini berusia 24 tahun, adalah sebahagian daripada empat lelaki yang menganggotai kumpulan samseng.

Faizal dipanggil ke tempat kejadian untuk menuntut bela rakannya yang juga seorang lagi tertuduh, Shawalludin Sa'adon, 28 tahun, seorang pelayan di kelab Postbar di St James Power Station di Sentosa Gateway, pada awal pagi 12 Mac 2017.

Shawalludin bertugas pada hari itu apabila dia terlibat dalam perkelahian dengan para mangsa - Satheesh Kumar Managoran, 34 tahun, dan sepupunya yang berusia 29 tahun, Naveen Lal Pilar - berhubung botol arak yang diletakkan di atas lantai.

Apabila Shawalludin memberitahu mereka bahawa botol berkenaan tidak patut ditinggalkan di lantai, ketiga-tiga lelaki mula bertengkar sehingga para penyelia Shawalludin campur tangan dan mengarahkannya supaya meninggalkan kelab tersebut, yang menyebabkan Shawalludin berasa "terkilan".

Shawalludin kemudian menghubungi rakannya yang juga seorang lagi tertuduh, Muhammad Hisham Hassan, 28 tahun, dan memaklumkannya yang dia ingin menghimpunkan para rakan kongsi gelap mereka untuk bersemuka dengan Satheesh dan Naveen.

Faizal tiba di St James Power Station bersama Hisham dan tertuduh terakhir, Muhammad Khalid Kamarudin, yang menghadapi tuduhan paling serius atas kesalahan membunuh.

Kumpulan lelaki itu menunggu sehingga para pegawai polis beredar dari kawasan itu. Hisham meninggalkan kumpulan itu untuk membuat beberapa panggilan telefon, sementara ketiga-tiga lelaki yang lain mendekati Satheesh dan Neevan, yang sedang berbual dekat dengan kereta sewa privet Uber.

Shawalludin mula bertengkar dengan Satheesh, sementara Khalid pula menumbuk mukanya dan menikam dahi, tengkuk dan bahagian belakang tubuhnya.

Faizal dan Shawalludin membelasah Satheesh di merata bahagian tubuhnya, sehingga Satheesh berjalan terhuyung-hayang ke arah kereta tersebut, sebelum beliau terjatuh di jalan raya.

Lelaki-lelaki berkenaan kembali menumbuk dan menendang Satheesh, lalu menyerang sepupunya pula setelah mereka selesai membelasahnya.

Serangan mereka itu disaksikan oleh orang ramai yang berkumpul di tempat kejadian kerana waktu itu hampir masa tutup bagi kebanyakan kelab di sana.

FAIZAL ELAK DIBERKAS 63 JAM, SEMBUNYI DALAM EMPAT FLAT

Menyusuli serangan itu lelaki-lelaki tersebut meninggalkan kawasan itu dan memaklumkan Hisham mengenai pergaduhan itu. Khalid dan Faizal pergi ke sebuah flat di Aljunied di mana mereka bersembunyi selama beberapa jam sebelum berpindah ke sebuah lagi flat di Yishun.

Dari situ, Faizal melarikan diri ke flat ketiga di Ghim Moh lalu ke sebuah lagi flat di Bukit Batok.

Faizal mengelak pemberkasan selama sekitar 63 jam, atau hampir tiga hari, sehingga polis menyerbu flat Bukit Batok tersebut pada 14 Mac 2017 untuk memberkas Faizal.

Rakan-rakan subahatnya diberkas sehari sebelum itu di flat Yishun tersebut.

Satheesh meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala dan bahagian belakang tubuhnya, sementara sepupunya Naveen luka di belakang kepalanya dengan lecetan sepanjang lima sentimeter dan diberi cuti sakit enam hari.

Faizal mengaku bersalah pada Selasa atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan teruk dengan sengaja terhadap Satheesh, dengan satu lagi tuduhan mencederakan Naveen turut diambil kira. Dia pada awalnya menghadapi tuduhan membunuh bersama tiga tertuduh tersebut.

FAIZAL TAHU KHALID AKAN GUNAKAN PISAU: HAKIM

Pesuruhjaya Kehakiman Audrey Lim berkata Faizal tiba di tempat kejadian untuk membalas dendam terhadap rungutan Shawalludin.

Walaupun pada mulanya Faizal mungkin berfikir bahawa Khalid membawa pisau untuk mempertahankan diri, dia kemudian mengetahui bahawa Khalid berhasrat untuk menggunakannya bagi menyerang kumpulan Satheesh. Walaupun demikian, Faizal terus menyertai serangan tersebut, kata Hakim Lim.

Hakim bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa kesalahan Faizal mengancam ketenteraman awam dan berlaku di depan khalayak ramai. Namun beliau juga akur bahawa Faizal bukan lelaki yang memulakan pergaduhan itu dan beliau bukan tertuduh yang membawa pisau ke tempat kejadian atau menyebabkan kecederaan.

Hakim turut mengambil kria pengakuan bersalah Faizal dan dia tidak mempunyai rekod jenayah berkaitan sebelum itu.

Dalam kalangan rakan subahat, Shawalludin dihukum penjara lima setengah tahun dan enam sebatan rotan dan Hisham dipenjara 18 bulan.

Khalid pula menghadapi tuduhan membunuh. Kesnya akan dibicarakan pada Julai. 

Sumber : CNA/ZM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan