Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota PAP Shamsul Kamar kata ramai 'salah faham' catatan Facebook tentang wanita dalam saga PA

Ramai yang nampaknya "salah faham" tentang niat utamanya berkongsi catatan dari laman Facebook 'Fabrications About the PAP' (Pembohongan tentang PAP), kata anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Shamsul Kamar, pada Jumaat (18 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota PAP Shamsul Kamar kata ramai 'salah faham' catatan Facebook tentang wanita dalam saga PA

(Petikan skrin: Facebook/Shamsul Kamar)

Diterbitkan : 19 Jun 2021 09:08AM Dikemas Kini : 19 Jun 2021 09:15AM

SINGAPURA: Ramai yang nampaknya "salah faham" tentang niat utamanya berkongsi catatan dari laman Facebook 'Fabrications About the PAP' (Pembohongan tentang PAP), kata anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Shamsul Kamar, pada Jumaat (18 Jun).

Wakil PAP bagi divisyen Kaki Bukit di GRC Aljunied itu berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai catatan Facebooknya pada Khamis yang dikritik online.

Catatan itu menampilkan gambar Cik Sarah Bagharib di sebelah gambar pasukan Parti Pekerja (WP) melakukan lawatan ke rumah. Ramai penulis komen di Facebook menganggap wanita yang memakai pelitup dalam gambar WP itu sebagai Cik Sarah - wanita yang baru-baru ini gambar majlis persandingannya dijadikan papan perhiasan atau 'standee' dengan wajahnya dipotong sebagai sebahagian daripada hiasan Hari Raya oleh Persatuan Rakyat (PA).

Semasa Encik Shamsul berkongsi catatan itu, beliau menambah kapsyen: "Untuk anda buat penilaian sendiri... Semua yang berlaku ada sebabnya tetapi jangan sampai kita berpecah belah."

REAKSI ORANG RAMAI

Sejak catatan itu dikongsikan, beberapa komen online berkata bahawa wanita dalam gambar WP itu bukan Cik Sarah. Yang lain mempersoalkan tujuan catatan Encik Shamsul meskipun jika wanita dalam gambar itu adalah Cik Sarah.

Di ruang komen catatannya, beberapa orang juga menyelar Encik Shamsul kerana mengongsikan catatan oleh Fabrications About the PAP - laman yang dipadam semasa Pilihan Raya Umum 2020 kerana melanggar dasar Facebook.

Facebook memadam akaun yang jelas melanggar dasarnya, termasuk individu yang menyamar, menggunakan akaun palsu, atau perbuatan yang dirancang untuk membolehkan lain-lain lagi pelanggaran piawai syarikat tersebut.

"Berkongsi catatan oleh FAP dan bertindak seolah-olah ia adalah fakta. Itu benar-benar perilaku yang buruk...," kata seorang penulis komen.

Seorang lagi meminta Encik Shamsul untuk memadam catatan itu dan meminta maaf.

"Catatan ini menyebarkan berita palsu dan telah menimbulkan rasa resah kepada wanita yang tersilap dikenal pasti dalam gambar itu (saya adalah rakannya). Sekiranya anda masih ada harga diri, anda harus berhenti 'gaslighting' orang lain dan mengaku bahawa menyiarkan semula catatan yang memecah belahkan ini dari halaman pembuli adalah satu kesilapan," tulis individu tersebut.

Gaslight merujuk kepada tindakan menanam kesangsian terhadap seseorang individu yang menyuarakan pandangan berbeza.

"TIDAK KATA ITU CIK SARAH": SHAMSUL

Namun, Encik Shamsul memberitahu Mediacorp, nampaknya "ramai yang salah faham maksud utama saya untuk menyampaikan mesej agar semua orang terus bersatu-padu terutama dalam masa pandemik ini".

"Jika anda baca catatan-catatan saya yang lain terutama di halaman awam saya, ini adalah pesanan yang konsisten yang saya anjurkan untuk bersama-sama memerangi wabak ini," tambahnya.

Encik Shamsul berkata beliau "hanya berkongsi" catatan itu dan "menambah apa yang segera terlintas di fikiran" ketika beliau melihat catatan asal pada Khamis.

"Seperti ramai yang lain, saya kongsi catatan yang saya lihat pada akaun saya dari semasa ke semasa. Saya tidak berkata bahawa itu adalah Sarah atau orang lain dan tidak terlintas dalam fikiran saya untuk melakukan demikian," tambahnya.

Encik Shamsul adalah sebahagian daripada pasukan PAP yang bertanding di GRC Aljunied pada Pilihan Raya Umum 2015 dan 2020. Pasukannya kalah di tangan pasukan WP.

WANITA DALAM GAMBAR BERSUARA

Mediacorp telah menghubungi wanita yang memakai pelitup dalam gambar bersama anggota WP, yang mengesahkan melalui panggilan video bahawa beliau bukan Cik Sarah.

"Gambar itu diambil awal tahun ini di kawasan undi tempat saya tinggal, iaitu Marine Parade. Saya melakukan lawatan dengan Nathaniel Koh, sebagai relawan" katanya kepada Mediacorp.

"Jelas foto itu diambil di luar konteks, kerana jika anda lihat catatan yang dibuat oleh Nathaniel, ada gambar-gambar lain yang jelas menunjukkan bukan Cik Sarah dalam gambar-gambar itu."

Wanita itu, yang meminta namanya tidak didedahkan, juga menghubungi Encik Shamsul dan halaman Fabrications about PAP dan meminta mereka memadamkan catatan itu.

"Kedua-duanya sudah menjawab dan jawapan mereka sama, iaitu saya salah faham dan saya perlu membaca semula catatan itu," katanya.

"Ini sangat mengecewakan. Saya memang tidak mengharapkan apa-apa daripada laman Facebook itu, tetapi apabila Encik Shamsul berkata hal yang sama, saya terperanjat."

KONTROVERSI 'STANDEE' PERSATUAN RAKYAT

Pada 28 Mei, Cik Sarah mendedahkan bahawa gambar perkahwinannya digunakan di PA sebagai standee untuk acara Hari Raya tanpa izin beliau.

PA memohon maaf secara terbuka dan menawarkan untuk bertemu dengannya untuk menjawab sebarang pertanyaan lain yang beliau mungkin ada.

Cik Sarah kemudian menyiarkan responsnya kepada kenyataan maaf PA pada 1 Jun, dengan berkata bahawa masalah itu bukan hanya mengenai pelanggaran hak cipta, tetapi "masalah lebih luas yang menjejas masyarakat Melayu/Islam secara amnya".

Kemudian pada 14 Jun, PA mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah membatalkan pertemuan itu kerana tidak bersetuju dengan cara Cik Sarah menggambarkan insiden tersebut.

"Kami menganggap ini aneh. Kami tidak dapat lihat bagaimana pertemuan kami harus dijadikan wadah untuk (Cik Sarah) mengutarakan pandangan dan komen mereka yang tidak ada kaitan dengan insiden itu”," kata PA.

"Semua ini membuat kami yakin bahawa tujuannya untuk bertemu dengan kami bukan lagi hanya mengenai insiden Radin Mas. Oleh itu, kami tidak melihat sebab untuk meneruskan pertemuan itu."

PA juga mendakwa Cik Sarah menyifatkan kejadian standee itu sebagai berbaur "perkauman" dengan menyebut tentangnya bersama "kejadian dan serangan perkauman lain" dalam satu catatan. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan