Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota ISIS S'pura, Megat Shahdan, pernah jadi gengster, punya banyak rekod jenayah dan dadah

Megat Shahdan, yang kini berusia 39 tahun dan menggunakan nama 'Abu 'Uqayl' dalam video ISIS itu, juga banyak mempunyai rekod jenayah dan dadah. Dia keluar masuk penjara antara tahun 1997 hingga tahun 2009.

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota ISIS S'pura, Megat Shahdan, pernah jadi gengster, punya banyak rekod jenayah dan dadah

Petikan skrin sebuah video ISIS yang menunjukkan Megat Shahdan dari Singapura. (Gambar: Facebook)

SINGAPURA: Rakyat Singapura, Megat Shahdan Abdul Samad, yang baru-baru ini, ditampilkan dalam satu video ISIS, sebenarnya pernah menyertai kumpulan gengster dan tercicir dari sekolah pada usia muda.

Megat Shahdan, yang kini berusia 39 tahun dan menggunakan nama 'Abu 'Uqayl' dalam video ISIS itu, juga banyak mempunyai rekod jenayah dan dadah. Dia keluar masuk penjara antara tahun 1997 hingga tahun 2009.

Warga Singapura itu juga dalam tempoh berkenaan, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak menunjukkan tanda-tanda dekat kepada agama. Dia bagaimanapun tidak menunjukkan tanda-tanda menjadi radikal dalam tempoh tersebut.

Demikian dedah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengenai anggota pengganas itu, dalam satu kenyataan media hari ini (26 Sep), sebagai menjawab pertanyaan-pertanyaan media berhubung anggota ISIS warga Singapura itu.

Bagaimanapun keadaan berubah mulai tahun 2014 apabila dia berangkat ke Timur Tengah dan semenjak itu mula menjadi lebih berminat kepada agama.

"(Megat Shahdan) dipercayai akhirnya menjadi radikal dek ideologi ganas ISIS. Dia memberitahu sekurang-kurangnya seorang anggota keluarganya tentang hasratnya untuk berjihad," menurut kenyataan MHA itu.

Pada bulan September tahun 2014, Megat Shahdan menuju ke Syria untuk menyertai ISIS. MHA menyatakan, dia sempat menghubungi salah seorang anggota keluarganya semasa berada di sempadan Syria-Turki, untuk memberitahu bahawa dia dalam perjalanan ke Syria.

"Semenjak memasuki Syria, Megat Shahdan berjuang bagi ISIS di barisan hadapan dan pernah mengalami kecederaan semasa bertempur. Kerahannya untuk ISIS termasuklah kawasan-kawasan di Iraq dan Syria," dedah MHA.

ORANG KE-3 DIKETAHUI BERADA DI SYRIA/IRAQ

Video propaganda ISIS yang menampilkan Megat Shahdan itu menggesa pejuang militan di “Asia Timur”- termasuk Asia Tenggara - untuk menyertai pertarungan ISIS, khususnya di Yaman, Afrika dan Libya.

Bercakap dalam bahasa Inggeris, Megat Shahdan atau 'Abu ‘Uqayl' juga dipaparkan sedang memuatkan peluru meriam ke dalam trak di kawasan yang dipercayai wilayah ISIS di Timur Tengah.

Video itu sepanjang tiga setengah minit dan dikeluarkan oleh Al Hayat Media Centre, sayap media kumpulan pengganas ISIS.

Megat Shahdan adalah warga Singapura ketiga diketahui sedang berada di medan pertempuran Syria/Iraq.

Dua lagi adalah Haja Fakkurudeen Usman Ali dan Maimunah Abdul Kadir yang dipercayai masih lagi berada di Syria dengan keluarga masing-masing, tambah MHA.

CUBA PENGARUHI ANGGOTA KELUARGANYA SENDIRI

MHA menyatakan bahawa semenjak menyertai ISIS, Megat Shahdan juga meluahkan harapan agar keluarganya turut berpindah ke kubu ISIS kerana menganggapnya sebagai "berdosa untuk tinggal dalam sebuah negara kafir".

Mujur, tidak satupun di antara anggota keluarganya diketahui menyahut tawarannya itu, jelas kenyataan MHA itu.

Menurutnya, pelibatan ketiga-tiga warga Singapura itu dalam konflik bersenjata di luar negara, "mengancam keselamatan Singapura".

Dalam kes Megat Shahdan, jelas kementerian itu lagi, dia juga aktif menyebarkan ideologi ganas ISIS dan mengajak orang lain supaya menyokong ISIS dalam pertempuran.

"Ini menjadi suatu kebimbangan kerana kami melihat bertambahnya jumlah kes menjadi radikal naik secara mendadak menyusuli kebangkitan ISIS dan penyebaran pesat bahan-bahan propaganda ISIS," menurut MHA.

Lantaran itu, MHA menekankan lagi peri pentingnya peranan yang dimainkan keluarga, rakan atau sebarang individu yang rapat dengan seseorang yang mungkin menjadi radikal, dengan melaporkan mereka seawal mungkin.

Pemerintah menggesa orang ramai untuk memainkan peranan masing-masing dalam membanteras ancaman pengganasan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan