Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anggota CEC SDP John Tan masih tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya

Ahli politik pembangkang John Tan masih tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya bagi kedudukan sebagai Anggota Parlimen (MP) selepas Mahkamah Tinggi pada Rabu (6 Nov) menolak permohonannya untuk membuat pengisytiharan yang membolehkannya untuk berbuat demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota CEC SDP John Tan masih tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya

Gambar fail anggota SDP John Tan. (Gambar fail: Elizabeth Goh)

Diterbitkan : 06 Nov 2019 07:46PM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 07:48PM

SINGAPURA: Ahli politik pembangkang John Tan masih tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya bagi kedudukan sebagai Anggota Parlimen (MP) selepas Mahkamah Tinggi pada Rabu (6 Nov) menolak permohonannya untuk membuat pengisytiharan yang membolehkannya untuk berbuat demikian.

John Tan Liang Joo, yang dipilih semula ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Demokratik Singapura (SDP) pada 31 Oktober lalu meminta pihak mahkamah mengisytiharkan yang beliau boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang.

Encik Tan didenda S$5,000 pada April lalu setelah didapati bersalah menghina mahkamah. Pejabat Peguam Negara (AGC) membuka kes penghinaan itu terhadap Encik Tan menyusuli satu catatan Facebook yang menyokong aktivis Jolovan Wham, yang turut didenda atas kesalahan menghina mahkamah.

Menurut Perlembagaan Singapura, seseorang individu tidak dibenarkan bertanding sebagai seorang AP jika disabit kesalahan oleh mahkamah Singapura atau Malaysia dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau didenda tidak kurang daripada S$2,000 serta belum diberi pengampunan sepenuhnya.

Pada Oktober, Encik Tan memohon kepada Mahkamah Tinggi bagi meminta pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa beliau layak bertanding sambil mendakwa bahawa istilah "kesalahan" sebagaimana disebut dalam Perlembagaan tidak meliputi penghinaan mahkamah.

Beliau juga merujuk kepada satu insiden pada 1988, di mana seorang pegawai pilihan raya membenarkan seorang calon SDP untuk bertanding dalam GE tahun itu meskipun didenda atas kesalahan menghina mahkamah.

Dalam pengadilannya, Hakim Aedit Abdullah berkata: "Walaupun peguam sudahpun berusaha dengan yang terbaik bagi pihak pemohon (Tan), saya berpendapat bahawa permohonan itu tidak dapat diluluskan dan dengan itu menolak permohonan tersebut."

DIDENDA BAGI PENGHINAAN MAHKAMAH

Pada 29 April 2019, Encik Wham dan Encik Tan didenda S$5,000 setiap seorang kerana menghina mahkamah setelah didapati bersalah pada Oktober tahun lalu.

Pada April 2018, Encik Wham memuat naik satu catatan Facebook yang mendakwa bahawa hakim-hakim Malaysia "lebih bebas" berbanding para hakim dari Singapura dalam kes-kes yang ada kesan politik.

AGC memulakan kes penghinaan mahkamah terhadap Encik Wham. Kurang sebulan kemudian, Encik Tan menulis dalam Facebook sambil mendakwa bahawa tindakan AGC membuktikan bahawa komen-komen Encik Wham itu benar. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan