Images
  • River Valley High School
    Sekolah Tinggi River Valley (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

'Anda tidak keseorangan'; bantuan ada bagi yang terjejas, kata Presiden Halimah

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob hari ini (21 Jul) berkata walaupun sukar untuk "memahami apa yang berlaku" di Sekolah Tinggi River Valley, mereka yang terjejas oleh kematian seorang pelajar berusia 13 tahun "tidak keseorangan".

"Sukar untuk memahami apa yang terjadi. Lebih sukar lagi untuk memahami trauma dan kesedihan yang tidak dapat dibayangkan yang dialami oleh keluarga, insan-insan tersayang, rakan-rakan, para pelajar dan guru yang terjejas," kata Puan Halimah.

"Sebilangan orang, termasuk para belia dan pelajar kita, mungkin terkejut dan takut dengan berita itu, sementara yang lain merasa tidak berdaya dan bingung.

"Sekiranya anda salah seorang daripada mereka, saya ingin anda tahu bahawa anda tidak keseorangan. Bukan suatu tanda kelemahan untuk meminta pertolongan atau didengari," menurut Puan Halimah dalam catatan Facebook, di mana beliau menyenaraikan sumber-sumber sokongan yang sedia ada.


Seorang pelajar lelaki Menengah 1 didapati terbujur kaku dalam sebuah tandas di pekarangan sekolah itu pada Isnin (19 Jul) dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang pelajar berusia 16 tahun pula didakwa atas tuduhan membunuh.

Menzahirkan rasa "sangat sedih" apabila mendapat tahu tentang kematian pelajar lelaki berkenaan, Puan Halimah juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Beliau menambah bahawa hari ini adalah hari pertama ramai pelajar dan guru Sekolah Tinggi River Valley kembali ke sekolah selepas kejadian itu, selepas cuti umum sempena Hari Raya Haji semalam (20 Jul).

"Saya pasti bahawa ini adalah hari yang suram bagi kebanyakan mereka," katanya.

Presiden Halimah menambah, banyak talian bantuan dan kumpulan yang menawarkan sokongan secara rahsia sekiranya mereka yang ingin meminta pertolongan tidak mahu bercakap dengan orang yang mereka sayangi.

"Perkara paling penting yang harus diingat adalah anda tidak keseorangan dalam menghadapi masa-masa mencabar ini.

"Ini adalah waktunya untuk warga Singapura bersatu untuk pulih secara bersama-sama," katanya, sambil menggesa orang ramai untuk menyantuni mereka yang dilihat dalam kesusahan.

"Terutama di tengah-tengah pandemik yang mencabar ini, ayuh kita saling bersikap baik dan belas ihsan antara satu sama lain."

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top