Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anda pencinta kucing? 24 kucing dari Lion City Kitty kini sedang cari pemilik baru

Selepas tiga tahun beroperasi, satu-satunya muzium kucing Singapura akan ditutup pada 10 Jun nanti.

Anggaran Waktu Membaca:
Anda pencinta kucing? 24 kucing dari Lion City Kitty kini sedang cari pemilik baru

(Gambar: Dawn Ang, Christy Yip).

Diterbitkan : 25 Jan 2018 12:23PM Dikemas Kini : 25 Jan 2018 12:28PM

SINGAPURA: Selepas tiga tahun beroperasi, satu-satunya muzium kucing Singapura akan ditutup pada 10 Jun nanti.

Tempoh pajak di premis itu akan berakhir dalam masa lima bulan. Keutamaan muzium itu sekarang adalah untuk mencari tempat berteduh bagi lebih 20 ekor kucing, kata Cik Jesicca Seet dalam satu kenyataan medianya hari ini (25 Jan).

Muzium kucing itu kini beroperasi di tingkat dua rumah kedai yang terletak di Purvis Street. Ia berpindah dari tingkat tiga dan empat rumah kedai itu pada bulan September tahun lalu, selepas Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengeluarkan notis penguatkuasaan terhadapnya. URA mendapati unit kediaman di tingkat tiga ditukarkan secara haram menjadi pusat perlindungan dan pengambilan kucing.

Sejak insiden itu, pemilik bangunan itu memutuskan untuk tidak memperbaharui sewa untuk tingkat tiga dan empat rumah kedai itu.

Tanpa tempat baru untuk kucing-kucing di muzium itu, bekas deejay radio Gold 90.5FM itu terpaksa menutup muziumnya.

Para pengunjung Lion City Kitty - The Cat Museum, Muses & Mansion, biasanya akan ke muzium berkenaan untuk bermain dengan kucing-kucing. Pusat pengambilan kucing juga ditubuhkan dalam muzium itu.

(Gambar: Christy Yip). 

(Gambar: Christy Yip)

Menurut Cik Seet, beberapa kucing itu akan dibawa pulang ke rumahnya dan rumah beberapa sukarelawan lain pada akhir bulan Jun.

Bagaimanapun, kucing-kucing yang lain perlu mencari pemilik yang baru. Muzium itu sudahpun membuat pengumuman tentang pengambilan kucingnya di platform media sosialnya pada awal bulan itu. Namun, hanya seekor kucing saja yang berjaya mendapat seorang pemilik baru.

24 kucing belum lagi dapat tempat berteduh yang baru.

Walaupun perniagaan Cik Seet bakal ditutup, beliau sudahpun membuat perancangan selanjutnya. Beliau melancarkan kempen untuk mengumpul S$1 juta. 50 peratus jumlah yang terkumpul akan digunakan sebagai bayaran pendahuluan untuk tempat yang baru.

Beliau berharap dapat menemukan tempat yang baru di kawasan sivik. Jika pengumpulan dana itu berhasil, beliau ingin memulakan perniagaan pada akhir tahun ini.

"Kali ini kami akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Negara (MND)," kata Cik Seet. Beliau menambah, beliau akan periksa terlebih dulu jika lesen diperlukan bagi mengelak sebarang konflik dengan pihak berkuasa kelak.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan