Anda kenal Masjid Kampong Hajijah? 2 lelaki ini dokumentasikan masjid yang 'lenyap' di S'pura
Terletak di Upper East Coast Road, Jalan Hajijah adalah sebatang jalan raya yang sepi, menempatkan beberapa kondominium dan hartanah berlaman.
SINGAPURA: Terletak di Upper East Coast Road, Jalan Hajijah adalah sebatang jalan raya yang sepi, menempatkan beberapa kondominium dan hartanah berlaman.
Namun, hampir sepanjang abad lalu, kawasan itu menempatkan Masjid Kampong Hajijah - sebuah masjid sederhana yang digunakan 300 penduduk Kampong Hajijah, sebuah kampung yang terletak di tepi laut sebelum penambakan tanah dilanjutkan menjangkaui pinggir laut.
Berusia seawal 1900, masjid itu dan perkampungan di sekitarnya dirobohkan demi memberi haluan kepada pembangunan baru pada pertengahan 1980-an.
Penyelidik warisan bebas Sarafian Salleh memberitahu Mediacorp bahawa Masjid Kampong Hajijah mungkin merupakan hanya salah satu daripada 120 masjid yang wujud di pulau itu pada pertengahan abad ke-20, sebelum penubuhan Dana Pembinaan Masjid (MBF) pada 1975.
Masjid tersebut dan perkampungan itu dinamakan sempena Cik Hajijah Cemat, seorang pemilik tanah Melayu berada yang mengasaskan perkampungan serta masjid berkenaan. Beliau juga mendermakan tanah untuk pembinaan Masjid Kampung Siglap berdekatan yang masih berdiri teguh sehingga ke hari ini.
Pengalamannya mendokumentasikan Masjid Kampong Hajijah pada tahun 1986, ketika berusia 16 tahun lagi, mencetuskan minat Encik Sarafian terhadap penggambaran warisan.
Minat itu bagaimanapun, kata beliau, perlahan-lahan pudar setelah beliau melanjutkan pengajiannya, mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata.
SETIAP MASJID ADA CERITA TERSENDIRI
Bagaimanapun minat Encik Sarafian bercambah kembali pada 2007 apabila beliau menyelongkar gambar-gambar lama dan mula mengongsikannya di media sosial.
"Catatan saya mengenai gambar-gambar lama Kampong Hajijah menarik perhatian Cik Hanizah Abdul Ghani iaitu cicit kepada Cik Hajijah, wanita yang membina Masjid Hajijah pada 1900," ujarnya.
Cik Hanizah kemudian berkongsi kisah-kisah mengenai moyangnya itu dan ini mencetuskan Encik Sarafian untuk "berfikir bahawa setiap masjid mempunyai cerita hebatnya tersendiri untuk dikongsi", tambah beliau.
Jurutera mekanikal perdagangan berusia 50 tahun itu, yang juga seorang pemandu pelancong sukarela dengan pertubuhan bukan keuntungan My Community, berkata jumlah "masjid yang hilang" di Singapura tidak didokumentasikan dengan baik.
Bagaimanapun, hasil kajiannya sendiri - bersama dengan rakan beliau, Encik Zaini Kassim - membantu mengatasi jurang ini. Mereka mencari dan membuat katalog bagi masjid-masjid yang dilupakan dengan berbekalkan maklumat daripada arkib serta juga sumbangan rakan-rakan.
“Encik Zaini Kassim sudah mengumpulkan nama-nama masjid sedia ada serta yang sudah hilang di Singapura dan kami mengemas kini maklumat itu secara konsisten di media sosial," kata Encik Sarafian.
Encik Zaini, 56 tahun, berkata beliau memulakan kerja-kerja mendokumentasikan masjid sejak 1980-an apabila beliau menyedari bahawa "masjid-masjid kampung" kian lenyap daripada pemandangan.
Encik Zaini menarik perhatian salah satu masjid kampung seumpama itu adalah Masjid Kampong Holland, dibina sejak 1950-an dan ditutup pada 2014. Ia bermula sebagai surau sebelum dinaik taraf menjadi sebuah masjid pada 1975, yang boleh menampung 500 jemaah.
Hanya segelintir masjid kampung yang kekal di sini, di bawah lesen pendudukan sementara yang dikeluarkan oleh Penguasa Darat Singapura (SLA). Ia termasuk Masjid Petempatan Melayu Sembawang yang terceruk di sebuah kawasan perhutanan di pinggir Sembawang, hanya beberapa batu dari Selat Johor.
Satu lagi masjid sedemikian adalah Masjid Hang Jebat, berusia 68 tahun, di Queenstown. Ia terletak di hujung deretan rumah bertingkat era penjajah di Jalan Hang Jebat iaitu bersebelahan dengan landasan kereta api KTM (Keretapi Tanah Melayu) yang masih beroperasi sebelum perkhidmatannya berakhir sembilan tahun lalu.
Encik Sarafian dan Encik Zaini tidak bersendirian.
Sebuah kumpulan Facebook, dipanggil 'Lost Mosques of Singapore', mempunyai kira-kira 2,400 anggota dengan catatan dikongsikan hampir setiap hari mengenai masjid-masjid yang sudah lama lesap. Misalnya, Masjid Paya Goyang dan Masjid Angullia Park di Orchard Road serta Masjid Aminah di Geylang yang kini menyaksikan flat-flat HDB.
Asas penyelidikan kedua-dua lelaki itu berbalik kepada sebuah buku dari awal 1980-an yang berjudul Masjid-Masjid di Singapura 1982, sebuah jilid nipis oleh Syed Abu Bakar Alsagoff yang mengkatalogkan masjid-masjid di sini pada masa itu.
Sungguhpun "dokumentasi yang lengkap" didapati dalam buku itu, kedua-dua lelaki berkenaan serta beberapa orang lain di wadah online dapat mengenal pasti masjid-masjid yang tidak dicatatkan di dalamnya.
Encik Sarafian berharap dapat menghasilkan sebuah buku yang mendokumentasikan masjid-masjid serta cerita-cerita daripada para penduduk kampung yang pernah tinggal di kawasan sekitarnya.
Di pihak Encik Zaini pula, beliau berharap lebih banyak buku sedemikian dapat ditulis untuk menwujudkan satu rekod masjid-masjid serta perkampungan-perkampungan yang kini sudah dilupakan.
LESTARIKAN SEJARAH S'PURA
Masjid-masjid baru secara amnya diberikan nama-nama Arab, kata Encik Sarafian, manakala masjid-masjid lama pula mempunyai "nama-nama Melayu" yang dikaitkan dengan personaliti terkenal atau tempat bersejarah.
Lantaran itu, jelas Encik Sarafian, mendokumentasikan masjid-masjid yang dilupakan ini adalah proses penting dalam memelihara sejarah Singapura.
"Mengekalkan nama-nama asal masjid dapat membantu memelihara sejarah penduduk yang tinggal di sana, yang merupakan unit asas pembangunan negara," ujar beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.