Images
  • sweet drinks
    (Gambar fail: AFP)

Anda gemar minum air manis? Ini akibatnya...

SINGAPURA: Encik Ritz Jaafar minum dua tin minuman ringan setiap hari - satu tabiat sejak usia remaja sehinggalah beliau kini berusia 44 tahun.

Sebenarnya, jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding setahun lalu yang mana beliau akan meminum tujuh hingga lapan tin minuman manis sehari. Namun, beliau mula mengubah tabiatnya selepas mendapati kandungan gula dalam darahnya tinggi semasa menjalani pemeriksaan kesihatan.

Meskipun beliau tahu minuman manis boleh menyebabkan penyakit kencing manis, Encik Ritz mendapati sukar untuk berhenti mengambil minuman bergula.

"Saya sudah ketagih dengan kafeina dan minuman dengan kandungan gula tinggi yang mampu membuat saya lebih bertenaga," kata pengurus bar itu kepada Mediacorp.

Satu tin Coca Cola biasanya mengandungi 33.9g gula, iaitu sama dengan lebih enam sudu kecil gula. Ini bermakna, jumlah gula yang diambil Encik Ritz, adalah lebih 12 kilogram dalam setahun, atau 2,400 sudu kecil. Jumlah itupun merupakan pengambilan daripada minuman-minuman ringan sahaja.

Pengambilan gulanya juga melampaui kadar yang disarankan. Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menyarankan supaya gula yang dibubuhkan dalam makanan tidak harus melebihi 10 peratus daripada tenaga diet seseorang. Bagi seorang lelaki dengan keperluan tenaga 2,200 kilokalori, jumlah pengambilan gula disarankan adalah antara 40 dengan 55g, atau lapan hingga 11 sudu kecil gula setiap hari.


Had ini termasuk gula yang dibubuhkan dalam minuman serta makanan seperti kek dan manis-manisan. Menurut HPB, mengambil tambahan 250ml daripada minuman ringan setiap hari meningkatkan risiko seseorang mengalami penyakit kencing manis sebanyak 18 hingga 26 peratus.

Kementerian Kesihatan (MOH) berusaha mengurangkan pengambilan gula berlebihan seperti ini dalam perjuangannya memerangi penyakit kencing manis. Hampir setengah juta rakyat Singapura menghidap penyakit kencing manis, iaitu kadar jauh lebih tinggi daripada kadar global.

Pihak berkuasa sudah mulakan perbincangan dengan orang ramai tentang empat langkah yang boleh diambil. Antaranya termasuk melarang dan mengenakan cukai ke atas minuman ringan dalam usaha mengurangkan pengambilan gula. Secara purata, rakyat Singapura buat masa ini mengambil lebih 1,500 sudu kecil gula daripada minuman-minuman ringan setiap tahun, menurut MOH.

ANTARA KESAN MINUM TERLALU BANYAK MINUMAN RINGAN

Pakar diet di Hospital Mount Elizabeth Novena, Natalie Goh, berkata bahawa pengambilan berlebihan minuman ringan sememangnya tidak baik untuk kesihatan kerana ia boleh menyebabkan berat badan naik yang kemudian menyumbang kepada masalah kawalan gula dalam darah. Berat badan berlebihan adalah satu faktor risiko diabetes Jenis 2, tambahnya.

Encik Naras Lapsys, juga seorang pakar diet, pula berkata bahawa terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan keradangan kronik dalam tubuh, yang berkait dengan masalah-masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung.

Kedua-dua pakar diet menarik perhatian bahawa minuman ringan hanya menyumbang kepada kadar pengambilan gula lebih tinggi, tanpa menawarkan sebarang khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan.

Menurut perangkaan di laman HealthHub, MOH, lebih 60 peratus kes baru kegagalan ginjal di Singapura, berpunca daripada penyakit kencing manis. 50 peratus pesakit yang terkena serangan jantung pula didapati menghidap penyakit kencing manis manakala 40 peratus yang diserang penyakit angin ahmar juga mempunyai penyakit kencing manis.

Encik Lapsys menambah, di samping minuman bergas, minuman lain seperti yang berasaskan buah-buahan atau yoghurt juga tidak berkalori, kerana ia lazimnya mengandungi gula tambahan.

Pakar-pakar turut menggesa orang ramai supaya lebih banyak minum air putih.

"Pengambilan gula, tidak kira jika ia dibubuh semasa menyiapkan makanan atau dalam minuman, harus tidak melebihi sembilan sudu kecil setiap hari bagi golongan dewasa," kata Cik Goh.  

- CNA/AQ/aq

Top