Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak tidak dapat dibimbing buat HBL antara cabaran baru ibu bapa pada Fasa 1

Pembelajaran di Rumah (HBL) memang tidak mudah. Para pelajar ada kalanya sukar untuk menumpukan perhatian dalam sekitaran yang semestinya berbeza dari sekolah. Pembelajaran mereka bahkan sekali-sekala terganggu apabila ada masalah teknikal.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pembelajaran di Rumah (HBL) memang tidak mudah. Para pelajar ada kalanya sukar untuk menumpukan perhatian dalam sekitaran yang semestinya berbeza dari sekolah. Pembelajaran mereka bahkan sekali-sekala terganggu apabila ada masalah teknikal.

Ibu bapa pula perlu terus-menerus membimbing si kecil, apatah lagi jika mereka belum lagi terdahulu diberikan pendedahan kepada pembelajaran online. Ini dilakukan sekalipun ada tuntutan kerja - meski bekerja dari rumah.

Setelah dua bulan ditutup, sekolah akan dibuka semula esok (2 Jun). Apa pula cabaran baru yang dihadapi sedang Singapura beralih ke Fasa Pertama selepas 'circuit breaker' dilonggarkan?

PELAJAR SEKOLAH RENDAH BAWAHAN PERLU BANYAK BIMBINGAN

Bagi ibu empat orang anak, Cik Norzakiah Zakaria, HBL terutama sekali mencabar bagi anaknya yang kini dalam Darjah 1.

Anak ketiganya, Sheik Dahisy baru empat bulan di bangku sekolah rendah dan sudah mula menyesuaikan diri dengan kurrikulum baru. Malangnya, ekoran COVID-19, sekolah 'ditutup' sejak 8 April.

Ini memaksa Dahisy dan rakan-rakan lain secara mendadak perlu beralih ke wadah online sepenuhnya walhal mereka tidak mendapat pendedahan sedemikian di peringkat tadika. 

Lantaran itulah, Cik Norzakiah Zakaria memastikan beliau ada di sisi Dahisy setiap kali anaknya itu melakukan HBL.

"HBL memerlukan dia untuk memuat naik kerja rumah dan misalnya menggunakan 'powerpoint'. Ini semua dia belum belajar," jelas Cik Norzakiah.

"Kadang-kadang juga saya perlu memberikan perhatian apabila gurunya sedang mengajar atau ketika mengikuti latihan online kerana akhirnya, dia akan bertanya dan dia perlu bimbingan untuk menjawab soalan."

Seperkara lagi adalah, menjadi lumrah bagi kanak-kanak seusia Dahisy, untuk 'susah duduk diam' belajar di hadapan komputer bagi tempoh agak lama.

LEBIH MENCABAR BILA S'PURA BERALIH KE FASA 1

Walaupun sekolah dibuka esok, ibu berusia 40 tahun ini belum lagi boleh menghela nafas lega.

Pelajar Darjah 1 hingga 5 hanya akan ke sekolah secara berselang-seli setiap minggu. Bermakna, jika minggu ini mereka ke sekolah, minggu seterusnya mereka perlu duduk rumah dan melakukan HBL.

Namun, jadual masa bagi ibu bapa yang perlu kembali keluar bekerja, tidak seperti itu. Cik Norzakiah bekerja sebagai seorang pengurus di sebuah klinik fisioterapi.

"Bila mereka mula sekolah, saya juga mula bekerja. Dan dengan HBL, anak saya yang Darjah 1 akan ada masalah kerana dia perlu tunggu saya balik kerja, baru boleh buat kerja rumah. Dia akan ketinggalan sesi 'live' dengan guru pada siang hari," terang Cik Norzakiah.

Bukan itu sahaja, ada kebimbangan pembantu rumahnya perlu meninggalkan anak yang tidak bersekolah untuk menjemput atau menghantar yang lain, disebabkan jadual 'selang-seli' ini.

"Seorang anak lelaki saya masih dalam tadika. Jadi tanpa bantuan, saya rasa ia sukar bagi saya. Dan saya harap bila Fasa Kedua nanti, akan ada kelonggaran seperti ibu atau ibu mertua untuk datang membantu kami," tambah Cik Norzakiah.

KEBIMBANGAN BAGI ANAK YANG DUDUKI PSLE

Kembali menyentuh tentang HBL, Cik Norzakiah bersyukur dua anaknya, yang masing-masing dalam Darjah 4 dan Darjah 6, lebih berdikari dalam bab HBL.

Sungguhpun demikian, beliau percaya anak sulungnya, Sahirah Darwisyah memerlukan bimbingan lebih kerana akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) kurang beberapa bulan sahaja nanti.

"Sebagai ibu memanglah saya bimbang untuk anak saya yang menduduki PSLE tahun ini. Untuk saya menolongnya, kami pastikan dia terus dapat tuisyen walaupun menerusi Zoom. Jadi selain HBL, dia ada tuisyen setiap minggu.

"Tapi buat HBL di rumah dan di sekolah lain. Saya rasa dia dapat menumpukan perhatian lebih baik di sekolah," ujar Cik Norzakiah.

Perkara ini diakui sendiri oleh Sahirah.

"Adik-adik saya selalu buat bising atau buka TV. Saya rasa seperti lebih mahu menonton TV daripada buat kerja sekolah," selorohnya.

Maka itu, Sahirah tidak sabar untuk kembali ke sekolah esok (2 Jun).

"Sudah dua bulan tidak pergi sekolah. Kalau saya pergi sekolah, kita dapat belajar lebih banyak topik. Tapi kalau di rumah macam terhad begitu."

RASA TERJAMIN ANAK-ANAK KEMBALI SEKOLAH

Meski berdepan cabaran, Cik Norzakiah bagaimanapun memahami semua penyusunan dijalankan adalah demi menjaga keselematan para pelajar.

Beliau juga yakin anak-anaknya akan dijaga dengan baik oleh pihak sekolah di tengah-tengah pandemik COVID-19 ini.

"Anak-anak ada sesi 'live' dengan guru mereka. Kami sudah diterangkan antara lain pihak sekolah akan membahagikan waktu rehat kepada enam sesi. Guru juga akan tunjuk mereka mana nak duduk, mana nak beratur untuk beli makanan. Sekolah juga akan memberi mereka plastik pelindung (face shield)," kata Cik Norzakiah.

Beliau sendiri juga sudah menyiapkan pelitup muka bagi anak-anaknya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan