Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak syarikat SMRT sebahagian konsortium tawar bantuan teknikal 4 laluan kereta api baru di Paris

Sebuah anak syarikat pengendali pengangkutan SMRT dipilih sebagai sebahagian daripada sebuah konsortium yang akan menyediakan sokongan teknikal dan bantuan kepada pihak berkuasa di Paris bagi empat laluan kereta api baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak syarikat SMRT sebahagian konsortium tawar bantuan teknikal 4 laluan kereta api baru di Paris

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 27 Sep 2021 10:15PM Dikemas Kini : 27 Sep 2021 10:17PM

SINGAPURA: Sebuah anak syarikat pengendali pengangkutan SMRT dipilih sebagai sebahagian daripada sebuah konsortium yang akan menyediakan sokongan teknikal dan bantuan kepada pihak berkuasa di Paris bagi empat laluan kereta api baru.

Sebelum ini dikenali sebagai SMRT International, Strides International Business bersama dengan pengendali pengangkutan Perancis, Transdev Group dan anak syarikatnya Transamo memenangi kontrak "shadow operator" atau pengendali bayangan bagi empat laluan kereta api tanpa pemandu di kawasan Paris.

"Skop utama kontrak pengendali itu adalah untuk menyediakan sokongan teknikal dan bantuan kepada agensi pemerintah Societe du Grand Paris dan Ile-de-France Mobilities, sebelum pemilihan pengendali bagi setiap laluan baru itu," menurut ketiga-tiga syarikat itu dalam satu kenyataan media bersama pada Isnin (27 Sep).

Syarikat-syarikat itu akan menawarkan secara bersama "kepakaran menyeluruh dalam operasi dan penyenggaraan serta pengurusan projek" untuk mempertingkatkan keselamatan, kebolehpercayaan dan pengalaman penumpang, katanya.

"Dengan pengalaman selama berdekad-dekad mengendalikan banyak laluan kereta api dan metro di seluruh dunia, kerjasama antara ketiga-tiga syarikat itu akan menyaksikan perkongsian kepakaran yang terbaik di dunia dalam bidang kereta api bersama Societe du Grand Paris dan Ile-de-France Mobilites," menurut syarikat itu.

Ile-de-France Mobilities merupakan pengawal selia bagi syarikat-syarikat pengangkutan awam di Paris manakala Societe du Grand Paris menyelia rancangan untuk menyuntik kemodenan di kawasan Paris.

Empat laluan kereta api itu dijangka mula beroperasi antara 2024 dengan 2030 sebagai sebahagian daripada Projek Express Grand Paris, yang bertujuan menyediakan lebih banyak ketersambungan dan mengurangkan pencemaran di ibu kota Perancis itu.

Kenyataan media itu menyifatkan projek tersebut sebagai kerjasama antarabangsa utama yang pertama antara Transdev Group dengan Strides International Business menyusuli pemeteraian memorandum persefahaman pada tahun lalu.

"Memandang ke hadapan, kerjasama ini juga akan merintis bagi lebih banyak peluang operasi dan penyenggaraan di peringkat antarabangsa dalam sektor pengangkutan,"ujarnya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan