Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak muda lebih berani 'terjun' dalam bidang perniagaan

Semakin ramai anak muda tempatan lebih berani ‘terjun’ ke dalam bidang perniagaan pada usia belasan tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Semakin ramai anak muda tempatan lebih berani ‘terjun’ ke dalam bidang perniagaan pada usia belasan tahun.

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), akur akan wujudnya trend anak-anak muda Melayu membuka perniagaan.

BERITAmediacorp bertemu tiga anak muda yang berkongsi motivasi mereka untuk berbuat demikian - demi mencari wang saku tambahan ataupun mengejar minat.

Bagi Muhammad Syahid Solihin Rosly misalnya, keinginan untuk membiayai yuran sekolah mendorongnya menceburi bidang perniagaan pada usia semuda 14 tahun.

"Pada masa saya Menengah 2, pada masa itu saya jual apa-apa saja, tapi selepas berapa tahun, masuk dua tahun itu, Menengah 4 selepas peperiksaan 'O', saya rasa ada pasaran baru untuk baju-baju vintaj, baju yang terpakai. Jadi sejak itu, terpikat pula dengan baju itu dan selepas itu saya mula jual baju seperti itu," kongsi Syahid.

Kini berusia 18 tahun, Syahid mengaku pernah ditipu berniaga di media sosial semasa menjalankan @Shutdown_Vintage.

"Dalam perniagaan ini, kadang-kala untuk menjalankan bisnes dengan pembekal atau orang dalam 'back-end', ada juga, konflik atau perasaan yang berlainan, berbanding rakan kongsi. Ada juga beberapa kali yang saya ditipu di media sosial, atau di pasaran online ini. Dan, apa yang saya boleh buat ialah hanya untuk terus jalan ke hadapan. Dari situ saya harus belajar untuk jadi lebih prihatin dalam apa yang saya mahu dapatkan untuk perniagaan ini."

PELUANG TERBAIK BURU CITA-CITA

Namun, Syahid tetap percaya berniaga secara online merupakan suatu peluang baik untuknya menimba pengalaman.

"Pada masa ini untuk orang muda, saya rasa ini masa terbaik untuk anda meneroka cara-cara bisnes, atau cara menjual untuk mendapat duit hasil sendiri. Percaya dengan visi anda. Jika awak tak percaya dengan visi anda, anda tidak akan pergi jauh."

Juga menceburi perniagaan pada usia remaja ialah Mohamad Syawal Mohamed Rafae, 20.

"Saya mulakan perniagaan saya ketika saya berusia 18 tahun pada tahun 2018. Dan saya mula dengan menjual baju bapa saya, yang tidak lagi dipakai menggunakan modal sebanyak S$27. Dari situ, setelah saya menjual semua baju bapa saya, saya mengumpul semua duit itu untuk membeli baju dari luar negeri," kata Syawal, membuka cerita kepada BERITA.

RAMAI KENALAN JINAK-JINAK BERNIAGA

Kedua-dua anak muda ini berkongsi bahawa mereka masing-masing kenal antara 15 hingga 20 remaja lain yang turut berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, DPPMS akur lebih ramai anak muda Melayu kini berani menceburi bidang keusahawanan.

Menurut badan yang mewakili perniagaan itu, golongan tersebut kreatif dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang landskap digital serta kemahiran pemasaran di media sosial.

PENGAJARAN PENTING JADI 'BOS'

Rakan kongsi Syawal, Hafiz Arif Yahya, 25, juga akur meskipun anak-anak muda lebih mahir memanfaatkan wadah media sosial, namun mereka masih mengalami cabaran sendiri.

"Nasihat yang hendak saya beri kepada golongan anak muda ialah, jangan dengar kritikan orang bulat-bulat. Semasa kami mulakan bisnes ini, semua orang kata bahawa kedai ini, jualan baju-baju ini tidak akan bawa ke mana, tetapi sekarang, kami membuktikan yang lain," luahnya.
Hafiz bertambah: "Satu pengajaran penting yang saya pelajari dalam menjalankan perniagaan adalah menjaga hati pelanggan, kerana saya rasa bahawa bila saya menjaga hati mereka, mereka akan mengesyorkan datang ke kedai kami kepada kawan-kawan mereka, dan ia akan meningkatkan bisnes saya sendiri."

DULU HANYA ONLINE, KINI MILIK KEDAI FIZIKAL

Bermula dengan berniaga online, ada yang kini naik setapak lagi dan sudah berjaya menubuhkan kedai fizikal pula.

Hafiz dan Syawal misalnya bergabung untuk menubuhkan kedai Flame Vintage di kawasan Arab Street.

Ditubuhkan pada awal tahun ini di Jalan Pisang, kedai tersebut akan berpindah ke Haji Lane pada pertengahan bulan ini untuk menarik lebih ramai perhatian anak-anak muda yang sering berkunjung ke sana.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan