Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak masuk sekolah, ibu juga buat perubahan besar - tukar kerja, tukar rumah

Dengan penggal sekolah tahun 2019 membuka tirainya esok di Singapura, ramai ibu bapa pasti sibuk membuat pelbagai persiapan, termasuk pada saat-saat akhir.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Dengan penggal sekolah tahun 2019 membuka tirainya esok di Singapura, ramai ibu bapa pasti sibuk membuat pelbagai persiapan, termasuk pada saat-saat akhir.

Hakikatnya bukan anak-anak sahaja yang membuat perubahan untuk memasuki sekolah baru ataupun kelas baru, malah sesetengah ibu bapa juga membuat perubahan besar demi persekolahan anak mereka.

BERITAMediacorp menemui dua orang ibu yang membuat perubahan sedemikian - iaitu dari segi kerjaya dan tempat tinggal.

NURLIYANA TUKAR PEKERJAAN KERANA ANAK MASUK DARJAH 1

Hasrat ingin membantu anak sulungnya, Taali'a Nur Al-Hikmah menyesuaikan diri dalam alam persekolahan yang baru, mendorong Cik Nurliyana Akharunham menukar pekerjaan.

Selama lebih dua tahun, ibu dua anak itu bekerja sebagai guru sepenuh masa di pusat prasekolah Learning Vision.

Namun ekoran waktu pekerjaan yang tetap dan jadual yang padat, beliau sering tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anaknya.

Memandangkan anak sulungnya bakal melangkah masuk ke Darjah 1 Madrasah Irsyad Zuhri, tahun lalu Cik Nurliyana memutuskan bekerja secara sambilan sahaja di sebuah sekolah rendah.

"Di prasekolah, ia lebih kepada kegiatan interaktif dan ini membuat kanak-kanak berasa lebih terhibur. Tetapi apabila mereka memasuki darjah satu, kurikulum sekolah lebih berstruktur. Jadi rasa penat yang mereka rasakan akan lebih bertambah," ujar Cik Nurliyana, 31 tahun, tentang perubahan besar yang bakal dialami anaknya itu.

Keputusannya mahu mengajar di sekolah rendah dan akan mengendalikan murid-murid Darjah 1 hingga Darjah 4, juga suatu keputusan strategik sebenarnya.

Ini kerana pengalaman yang Cik Nurliyana raih, akan membolehkannya membantu anaknya sendiri dalam pelajaran nanti, dalam melayari proses pendidikan sekolah rendah.

"Saya ingin meluangkan lebih masa dengannya di rumah. Misalnya, saya akan mengulangkaji bersamanya kerja-kerja sekolah yang dibawa pulang. Dulu di prasekolah, beliau tidak ada kerja rumah yang perlu dibuat di rumah," kata lagi kepada BERITAmediacorp.

NUR HAFIZAH PINDAH RUMAH SUPAYA ANAK LEBIH MUDAH KE SEKOLAH BARU

 Cik Nur Hafizah Abdul Kadir bersama anaknya. (Gambar: BERITAmediacorp)

Membuat perubahan demi persekolahan anaknya turut dilakukan seorang ibu bernama Cik Nur Hafizah Abdul Kadir, 35 tahun. Anak sulungnya bakal memasuki Menengah 1 tahun ini.

Sewaktu menetap di Blok 746 Woodlands Circle, Cik Nur Hafizah mendapati anaknya, Nur Batrisyia Muhammad Junaidi, berminat dengan Sekolah Menengah Admiralty.

Namun, beliau prihatin bahawa perjalanan bagi anaknya dari rumah tersebut ke Sekolah Menengah Admiralty boleh mengambil masa antara 30-40 minit.

Ini mendorong beliau untuk membuat perancangan awal, iaitu berpindah rumah 11 bulan lalu ke rumah sekarang di Blok 693A Woodlands Avenue 6.

"Saya membuat keputusan untuk berpindah rumah sebab untuk kesenangan anak-anak juga. Rumah yang baru ini dekat dengan sekolah menengah baru itu. Anak sulung saya cuma perlu menaiki satu bas, dan turun beberapa perhentian sahaja. Tapi kalau dulu (di rumah yang lama), kena tukar bas - dua tiga kali kena tukar bas," kongsi Cik Nur Hafizah.

Ternyata, keputusannya itu berbaloi. Anaknya berjaya mendapat tempat di Sekolah Menengah Admiralty.

Kini anaknya mengambil masa 10 minit sahaja untuk ke sekolahnya itu.

Yang pasti, bukan itu sahaja persiapan yang disiapkan Cik Nur Hafizah untuk anaknya itu.

Selain keselesaan perjalanan ke sekolah, kesediaan minda menghadapi iklim pendidikan menengah juga beliau sisipkan untuk Nur Batrisyia.

"(Sebagai) persiapan tambahan, saya ambilkan dia kelas tuisyen - tuisyen privet. Guru (tuisyen) akan datang ke rumah saya untuk mengajarnya. Jadi itu buatkan dia lebih fokus dan lebih faham untuk belajar peringkat menengah," hujah Cik Nur Hafizah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan