Images
  • jeremy tan
    Anak lelaki rakyat Singapura Tan Eng Soon, Jeremy Tan. 

Anak lelaki Tan Eng Soon gesa pihak berkuasa M'sia 'teruskan operasi cari bapanya'

SINGAPURA: Anak lelaki rakyat Singapura yang dilaporkan hilang semasa berkayak di Malaysia menggesa pihak berkuasa supaya terus menjalankan operasi bagi mencari ayahnya.

Ayah Jeremy Tan, Tan Eng Soon yang berusia 62 tahun, dilaporkan hilang bersama Puah Geok Tin, 57 tahun, pada Khamis (8 Ogos).

Encik Tan dan Cik Phua terpisah daripada kumpulan mereka semasa berkayak berhampiran kepulauan Endau.

Bercakap kepada para wartawan, anak lelaki Encik Tan mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa dan menggesa para penduduk tempatan supaya terus membantu mencari ayahnya.

"Sehingga kini, kami amat berterima kasih atas semua bantuan dan sokongan yang dihulurkan oleh MFA (Kementerian Ehwal Luar) dan jabatan polis maritim Malaysia.

"Kami berharap agar dalam masa beberapa hari akan datang, mereka dapat terus menjalankan operasi mencari kerana ayah saya masih hilang," katanya.


(Gambar: Bernama)

Jeremy menambah: "Kami juga meminta semua nelayan tempatan atau sesiapa pun penduduk tempatan yang mungkin keluar ke laut dalam beberapa hari akan datang supaya membantu mencarinya, kerana mereka banyak membantu dalam operasi ini setakat ini."

Jeremy berkata demikian sehari selepas mayat seorang wanita ditemui di perairan Kemaman di Terengganu oleh seorang nelayan tempatan.

Pada Khamis (15 Ogos), keluarga Cik Puah mengesahkan bahawa mayat yang dijumpai adalah mayat ibu mereka. Mereka juga sedang menguruskan mayat untuk dibawa pulang ke Singapura.


(Gambar: Agensi Maritim Johor)

Kayak milik kedua-dua rakyat Singapura itu ditemui di Kuantan pada Selasa (13 Ogos) sekitar 80 batu nautika dari lokasi di mana Encik Tan dan Cik Puah dilaporkan hilang.

Barangan lain termasuk pasport Encik Tan serta dua dompet yang mengandungi wang tunai mata wang Malaysia dan Singapura, sebuah telefon bimbit, pakaian serta kad pengenalan diri dan dayung, menurut agensi tersebut.

Seramai 32 orang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

- CNA/AI/ai

Top