Images

Anak ketam air tawar S'pura yang terancam berjaya menetas di luar sekitaran semula jadi

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, anak ketam Johora singaporensis berjaya menetas di luar sekitaran semula jadinya, sebagai sebahagian daripada usaha bagi meningkatkan semula bilangan spesies yang sangat terancam itu.

Diterajui oleh Kumpulan Kerja Ketam, termasuk anggota Lembaga Taman Negara (NParks), Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Wildlife Reserves Singapore (WRS), usaha berkenaan berhasil menetaskan lebih 40 anak ketam.

Ini adalah anak daripada salah seekor ketam betina yang merupakan antara beberapa jenis ketam yang dikumpulkan para pengkaji pada Disember tahun lalu.

Biasanya ditemui dalam sungai deras di kawasan berbukit, ketam Johora singaporensis, yang biasa dikenali sebagai Ketam Air Tawar Singapura, adalah salah satu daripada tiga spesies ketam yang diketahui, yang hanya boleh dijumpai di Singapura.

Bagaimanapun, dengan pengkaji menganggarkan bilangan spesies dewasa sedia ada hanya beratus-ratus sahaja, ketam air tawar sebesar batu kecil itu hampir pupus. Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) menyifatkannya sebagai amat terancam dan dalam kalangan 100 spesies paling terancam di dunia.

Bagi memastikan telur itu berjaya menetas, pengkaji mengubah tangki menjadi serupa dengan habitat semula jadi ketam itu. Ini termasuk menggunakan air yang diambil daripada sungai, serta memasang pam bagi meniru arus deras dan air kaya oksigen yang didiaminya.

Langkah tambahan, seperti mengasingkan anak ketam itu daripada satu sama lain dan ibu ketam itu sendiri, juga diambil bagi meningkatkan peluang untuk anak-anak ketam itu hidup. Ini kerana ketam Johora singaporensis dikenali sebagai spesies agak ganas, dengan beberapa kes ia makan sesama jenis sehingga menyebabkan kematian.

Dengan pengetahuan terhad mengenai spesies ini, pengkaji berharap dapat mempelajari lebih lanjut mengenai ekologi dan biologi ketam dengan memerhatikannya. Di masa hadapan, pengkaji akan berusaha mendapatkan ketam jantan dan betina mengawan dan menetas lebih banyak anak ketam.

- CNA/IM/im

Top