Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amrin: Usaha kolaboratif penting dalam usaha perang gejala dadah

Encik Amrin berkata demikian sebagai mengulas perangkaan terbaru tentang penyalahgunaan dadah dalam laporan tahunan yang dikeluarkan Biro Narkotik Pusat (CNB) hari ini (25 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin menekankan peri pentingnya usaha kolaboratif pelbagai pihak dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.

Encik Amrin berkata demikian sebagai mengulas perangkaan terbaru tentang penyalahgunaan dadah dalam laporan tahunan yang dikeluarkan Biro Narkotik Pusat (CNB) hari ini (25 Feb).

Menurut CNB lebih ramai penyalah guna dadah kali pertama diberkas pada tahun lalu berbanding 2017, dengan sebahagian besar daripada mereka pesalah muda bawah 30 tahun.

Jumlah pesalah kali pertama meningkat 9 peratus kepada hampir 1,400 pesalah sekaligus membentuk 40 peratus daripada keseluruhan penyalah guna dadah yang ditangkap tahun lalu.

Pada masa yang sama, statistik CNB itu juga mendedahkan semua kumpulan etnik, mencatat pertambahan dengan majoriti atau 1,760 adalah Melayu.

Orang Melayu juga membentuk kumpulan terbesar di kalangan penyalahguna baru dengan 673 diberkas.

Encik Amrin berkata antara sebab anak muda di sini terus terjebak dalam najis dadah adalah salah tanggapan tentang kesan sebenar dadah dan juga akses lebih mudah kepada maklumat tentang tempat dan cara untuk membeli dadah daripada media sosial dan sebagainya.

"Angka yang membimbangkan ini menunjukkan yang kerja kita ini masih berterusan. Lebih ramai yang perlu kita mendekati, lebih ramai ibu bapa yang perlu kita beritahu dan kita mengajak mereka supaya kita berganding bahu bersama-sama menentang dadah kerana dadah itu membahayakan masyarakat kita, menjahanamkan keluarga dan akhlak kita," tegas beliau.

Dalam pada itu, bilangan pesalah berulang meningkat sebanyak 12% kepada 2,072 pesalah pada tahun lalu.

Menurut CNB, jumlah penyalahguna yang ditangkap meningkat disebabkan peningkatan dalam salah guna bahan psikoaktif dan methamphetamine.

Encik Amrin turut berkongsi kegiatan penghasilan dan penyeludupan dadah-dadah jenis itu di rantau ini mencapai paras tertinggi pada tahun lalu.

Namun begitu, CNB sudahpun meningkatkan usaha mengekang bekalan dan permintaan dadah. Dadah yang dirampas pada 2018 dianggarkan bernilai sekitar $6.65 juta.

Dengan kerjasama agensi-agensi Home Team, 26 sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan.

CNB juga terus mendampingi para belia bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah.

Antaranya adalah Kempen Dadah itu Haram yang dijalankan sejak April 2017 untuk menangani isu salahguna dadah dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Encik Amrin berkata: "Usaha kita mendekati masyarakat sentiasa disemak tetapi natijahnya jika kita tidak menggandakan usaha kita sejak beberapa tahun lalu, angka ini mungkin lebih meningkat lagi.

"Saya yakin masyarakat kita akan menyahut cabaran ini dan saya rasa ada satu kesungguhan yang saya dapati kaum masyarakat kita dan masyarakat umum tentang penting usaha ini dan pentingnya kita menentang ancaman ini." 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan