Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amrin sifatkan acara kemasyarakatan wadah berkesan bagi pertingkat kesedaran masyarakat terhadap virus Wuhan

Pertubuhan-pertubuhan masyarakat di Singapura mula mengambil langkah memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran terhadap virus korona Wuhan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pertubuhan-pertubuhan masyarakat di Singapura mula mengambil langkah memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran terhadap virus korona Wuhan.

Misalnya, di satu acara anjuran M³@Woodlands pagi tadi (25 Jan), pembersih tangan (hand sanitizer) dan risalah nasihat kesihatan diagih-agihkan kepada sekitar 200 penduduk berbilang kaum dan agama. Acara tersebut diadakan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Encik Amrin Amin menyifatkan usaha itu sebagai satu langkah baik kerana antara lain ia membantu Pemerintah mendampingi sebilangan penduduk yang masih tertanya-tanya tentang virus tersebut.

"Di acara seperti ini, kita dapat menasihati orang ramai, terutama sekali warga emas. Ada juga bertanya, jika sakit pada musim perayaan ini, bagaimana? Klinik mana yang buka?" kata Encik Amrin yang juga Penasihat Akar Umbi Woodlands.

"Jadi inilah cara kita dapat berkongsi maklumat kepada mereka yang kurang tahu."

VIRUS TIDAK MENGENAL USIA, KAUM

Diminta mengulas apakah yang boleh dilakukan oleh masyarakat Melayu/Islam selepas tiga kes diuji positif virus korona di Singapura, Encik Amrin berkata orang ramai sememangnya boleh memainkan peranan.

Beliau menggesa rakyat Singapura supaya terus menjaga kesihatan dan kebersihan diri sebaik-baiknya.

"Semuanya harus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, untuk menjaga kebersihan diri, kesihatan dan meningkatkan kesedaran dan sebagainya supaya kita dapat elak dijangkiti virus ini," tambah Encik Amrin.

"Ini langkah-langkah yang harus kita ambil kerana sebenar-benarnya, virus ini tidak kenal bangsa, tidak kenal usia juga. Jadi haruslah kita mengambil langkah-langkah," katanya lagi.

Namun, Encik Amrin memberi jaminan rakyat Singapura tidak perlu cemas.

"Pelbagai langkah sudah diambil oleh Pemerintah dan juga badan-badan yang bekerjasama dengan Pemerintah. Yang penting adalah kita tidak perlu cemas, dan menjaga kesihatan diri," jelas beliau.

MUIS TURUT BERI NASIHAT

Semalam (24 Jan), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut menasihati masyarakat Islam supaya menjaga kebersihan diri.

Kubah Masjid Sultan (Gambar: BERITAmediacorp/Taufiq Zalizan)

Gambar fail.

Menurutnya, dengan tiga kes positif di Singapura, penting bagi orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Dalam catatan Facebooknya semalam (24 Jan), MUIS memberi jaminan madrasah-madrasah tempatan sudahpun mengambil langkah-langkah perlu untuk menjaga kebajikan para pelajar dan asatizah.

Mereka yang sakit juga dinasihati supaya berjumpa doktor dan elak ke tempat-tempat sesak, termasuk masjid.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan